Khamis, 8 Oktober 2009

Din Adam…dapat banyak ‘jawatan’ sekarang

Oleh Zamzuri Damanhuri

DI BAGAN Pinang, ketika kempen sedang rancak berjalan, nama ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam tetap menjadi sebutan.

Kali ini, kedengaran cerita mengatakan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan bermurah hati untuk melantik Din, yang pernah menetang Rosli merebut jawatan ketua Umno bahagian akan diberikan (dilantik) jawatan Ketua Penerangan Umno bahagian.

Sejauh mana kebenaran cerita ini, tidak dapat dipastikan kerana Datuk Rosli yang dikatakan mengetuai jentera Umno Negeri Terengganu di Bagan Pinang tidak sempat ditemui untuk ditanya kesahihan cerita ini.

Dari senarai Jawatankuasa Umno bahagian, jawatan Ketua Penerangan disandang Saudara Mahasin Taib. Jika benar Rosli mahu melantik Din, apakah jawatan baru yang bakal diberikan kepada penyandang?

Dari segi implikasi perlantikan, ada dua. Pertama, ia membuktikan sikap Rosli yang lebih mementingkan perpaduan daripada pertelingkahan yang berpanjangan. Rosli mungkin tergugat tetapi tentunya Rosli memberi alasan kepentingan dan kekuatan Umno mengatasi dari kepentingan dan kekuatan peribadi Rosli sebagai ketua bahagian.

Kedua, ramai yang melihat, dalam Umno, jika mahukan jawatan, jadilah penentang. Biasanya orang yang menentang dan kaki buat kecoh dilayan lebih dari seorang ahli yang setia. Penyokong parti di peringkat bawah akan berfikiran, pemimpin mereka tidak perlu risau dengan mereka kerana rata-rata penyokong setia, tetapi kaki kecoh mesti dijaga supaya mereka tidak terus membuat kecoh.

Dalam perkembangan serupa, ahli Umno melihat bagaimana Datuk Ahmad Shaberry Chik yang pernah berada di dalam Parti Melayu Semangat 46 (S 46) dan menetang calon BN (Umno) dalam pilihan raya kecil DUN Kijal kini sudah menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Begitu juga, ramai yang mengetahui sejarah Datuk Seri Dr. Rais Yatim pernah menjadi Timbalan Presiden S 46 dan berkali-kali bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menentang BN di Negeri Sembilan, kini masih boleh kekal sebagai menteri kabinet, walau pemikirannya sudah tidak relevan lagi.

Dua contoh di atas, mungkin membuatkan penyokong Umno di Dungun tersentak dengan desas-desus ini, jika benar Datuk Rosli yang ditentang hebat oleh Din dalam pemilihan Umno bahagian tahun lalu, mahu memberi tempat kepada Din.

Sebagai ketua, Datuk Rosli mestilah mempunyai pertimbangan sendiri mengapa beliau perlu melantik seorang yang mempunyai rekod hitam dalam sejarah ‘memboikot siding DUN Terengganu’ menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun, tetapi dalam masa yang sama, Rosli kenalah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sesuatu keputusan besar sebegini.

Ingat! Sebijak-bijak pelanduk, pelanduk sering melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Kata orang, luka yang sembuh tetapi parut tetap ada. Tindak-tanduk Din yang pernah dilantik menjadi Exco Belia dan Sukan sebenarnya melukan ramai orang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein khabarnya telah melantik Din menjadi Pegawai Khas kepadanya di Kementerian Dalam Negeri. Mustahak betul rupanya Din dalam senerio politik Malaysia dan politik Terengganu.

Jika Din tidak menjadi anggota Geng 10, khabarnya tiada siapa yang mahu mengenali Din. Malahan, ramai penduduk dalam DUN Bukit Besi sudah mula bersungut dengan Din yang dikatakan jarang berada di kawasan sendiri kerana mendiami banglo di Kuala Terengganu.

Malahan, Din pernah didakwa bersikap biadap dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said apabila dia dipelawa menjadi Exco di bawah kepimmpinan baru – menolaknya melalui orang lain. Din juga dikatakan antara ADUN dari Terengganu yang bercakap lepas dan celupar di depan Menteri Dalam Negeri ketika pertemuan semua ADUN dengan Hishammuddin dibuat di Kementerian Dalam Negeri.

Ketika Geng 10 dilihat sudah berpecah, mereka yang setia kepada Umno di Terengganu sudah mula bercakap, kenapa terlalu banyak jawatan mahu diberikan kepada Din apabila dia mengangkat ‘bendera putih’ dan mengaku taat setia kepada Sultan Terengganu?

Adakah ini merupakan upah kepadanya untuk dia menutup mulut atau ada orang yang takut dengan pengaruh Din Adam di Dungun dan di Terengganu?

Bekas ‘Setiausaha Politik’ Din ketika dia menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu dahulu, Abdul Mubin Ismail yang mengelolakan blognya http://jaranganakmelayu.blogspot.com khabarnya meloncat-loncat marah dengan tindak-tanduk Din yang dianggapnya ‘orang pendek ni memang tidak boleh dipercayai’.

Seorang kenalan dari Terengganu memberitahu, Abdul Mubin menangis tidak berhenti-henti mendengar khabar yang Din mahu meninggalkan Geng 10. Maklumlah, selama ini, penulisan Abdul Mubin dalam blognya memberi gambaran bahawa Geng 10 ini membawa obor perjuangan istimewa manakala Datuk Ahmad Said pula merupakan seorang Menteri Besar yang terlalu bermasalah.

Tidak pula ada sesiapa yang memberitahu, apakah selera makan Abdul Mubin makin berkurangan sekarang apabila Din ‘meninggalkan Geng 10’ dan bolehkah Abdul Mubin lena seperti lena orang-orang sihat sejak dua menjak ini.

Kesihan juga Abdul Mubin jika selera makannya berkurangan, lenanya terganggu akibat tingkah laku Din ini kerana jika kesihatannya terganggu akibat tidak ada selera makan dan tidak lena tidur, akan menyebabkan dia tidak mampu menulis dan update blognya yang dikatakan sudah semakin popular kebelakangan ini.

Dalam tulisan-tulisannya, jika ada bumbung stadium runtuh, itu adalah bala dari Tuhan kerana kepimpinan Datuk Ahmad Said tidak diberkati.

Abdul Mubin tidak pula menulis mengapa bumbung stadium runtuh walaupun baru setahun digunakan dan pembinaannya dimulakan dalam zaman pemerintahan Datuk Seri Idris Jusoh.

Abdul Mubin menulis kononnya Datuk Ahmad Said tidak pandai berbahasa Inggeris tetapi tidak pula dia menulis apakah dia pernah mendengar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercakap dalam bahasa Inggeris.

Abdul Mubin juga mendakwa Datuk Ahmad pernah mengajak seorang wakil rakyat Pas bertumbuk di luar Dewan Undangan Negeri tetapi dia tidak menulis mengapa Datuk Ahmad yang ketika itu Exco Kerajaan Negeri di bawah Idris – mencabar wakil rakyat Pas itu berjumpa di luar kerana mempertahankan kerajaan negeri di bawah Idris yang dianggap oleh ADUN Pas itu sebagai lebih zalim dari Yahudi.

Hari ini, jika benar Din Adam dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun, mudah-mudahan dia akan bergerak dari satu DUN ke satu DUN di bawah Parlimen Dungun untuk memberi penerangan mengapa dia terlibat dengan Geng 10 hingga menimbulkan desas-desus mengatakan dia menderhaka kepada Sultan Terengganu dan bersikap biadap dengan kepimpinan di peringkat bahagian dan negeri.

Jika desas-desus ini tidak benar, cerita Datuk Rosli Mat Hassan menghadirkan diri di Jamuan Hari Raya anjuran ADUN Bukit Besi serta bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan juga tidak benar, saya yang mendengar cerita dari mulut ke mulut ini mahu memohon maaf kepada semua pembaca yang sering melayari blog ini.

Mudah-mudahan, ada pembaca yang mengetahui kisah sebenar menulis kepada blog ini untuk menjelaskan cerita sebenarnya supaya pembaca dan rakyat tidak terkeliru dengan cerita betul atau cerita separuh betul.

Yang penting, kepimpinan Umno harus juga memberi pertimbangan dan keadilan kepada ahli-ahli yang setia walaupun dalam masa yang sama mereka mahu mengajak ‘mereka yang tersesat di hujung jalan supaya balik ke pangkal jalan’.

1 ulasan:

Halim Tuah berkata...

PAS TIDAK BERTERIMA KASIH & TIDAK MENGHORMATI ORANG YANG BERJASA
Pada 16 April 1985 Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah telah menegur pucuk pimpinan PAS dalam memonya kerana telah melupakan jasa UMNO/BN yang pernah memberikan nikmat hidup sewaktu Kerajaan Campuran tahun 1974-1977. Apabila PAS keluar, mereka mula memaki hamun UMNO/BN dan berpura-pura lupa seperti ‘Kacang lupakan kulit’. Menurut Ustaz Abu Bakar Hamzah, sikap para pemimpin PAS adalah sikap orang yang tidak mengenang budi & sebagai orang yang berbudi rendah serta tidak layak bagi orang yang mengakui Ulamak memimpin Ummah Islamiyah. Nabi SAW memerintahkan kita agar menjadi manusia yang tahu bersyukur dan berterima kasih. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia (yang membuat kebaikan kepadanya) ia dianggap tidak bersyukur kepada Allah”. (Riwayat Ibnu Abi Dunya). Tapi bagi orang PAS, jelas bertentangan dengan hadis tadi, mereka mendakwa cukuplah bersyukur kepada Allah dan tidak perlu berterima kasih kepada makhluk. Maka jelaslah sikap demikian menggambarkan sikap orang bermazhab JABBARIYAH iaitu menganggap semua perkara adalah datang langsung dari Allah, sementara makhluk tiada hubungan langsung. Tapi bagi AHLIL SUNNAH WAL JAMA’AH menganggap walaupun Allah sebagai penentu kepada segala kejadian, namun makhluk juga ada kaitan sebagai mengadakan sebab-sebab yang diizinkan Allah jua.

http://www.youtube.com/watch?v=PRzYG9vJXAQ

http://www.youtube.com/watch?v=D8Dw3Pv1Lbc

http://www.youtube.com/watch?v=LtRlJNbS_Ec