Oleh Zainal Yusof
MEMBACA tulisan Abdul Mubin Ismail dalam blognya Jarang Anak Melayu atau JAM, yang entri tulisan itu bertarikh 17 September 2009, saya membayangkan penulis yang pernah menjadi pembantu peribadi atau PA, atau di Selangor di panggil Setiausaha Politik kepada Exco, sedang berduka nestapa menjelang fajar Aidil Fitri.
Terima kasih juga kepada blog Citra-Bangsa yang memetik tulisan Abdul Mubin Ismail ini kerana, mudah untuk menatapnya sekaligus membaca komen pembaca-pembaca lain terhadap keletah budak Mubin ini yang nampaknya dia tidak dapat memahami bahawa kepimpinan kerajaan di Terengganu sudah bertukar tangan, dari YAB Datuk Seri Idris Jusoh kepada YAB Datuk Ahmad Said.
Budak Mubin ini bukan sahaja tidak dapat memahami, malahan dia mengajak pembaca-pembaca yang melayari blognya, menghina Datuk Ahmad Said sebagai mana dia menghinanya. Baca semula tulisannya mengenai tindakan Datuk Ahmad Said yang pernah mencabar seorang ADUN Pas, berjumpa seorang dengan seorang – bagi mempertahankan tuduhan ADUN Pas itu kononnya kerajaan BN di bawah kepimpinan Idris Jusoh lebih teruk dari Yahudi.
Saya tidak mahu percaya, ada kawan memberitahu kononnya budak Mubin ini amat-amat sedih hingga hilang selera makan, cukup-cukup merana hingga kurang bercakap dan cukup-cukup kecewa hingga kurang mesra dengan saudara-mara dan jiran tertangga kerana bekas boss yang dipujanya selama ini, Datuk Din Adam kelihatan sudah meninggalkan Geng 10 atau budak Mubin gelarkan mereka sebagai 10 Budak Hitam.
Cerita kawan saya itu lagi, khabarnnya budak Mubin macam rasa nak demam. Dedar badannya, pedih tekaknya kerana dapat tahu yang Datuk Din Adam, yang dikatakannya sebagai pendek dan tidak cukup saiz sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.
Kenapa budak Mubin jadi macam ni ya? Kenapa dalam berbalah, kita tidak pernah memikirkan ruang untuk berbaik. Kalau tidak bersetuju, bukan bermakna kita menentang. Kalau menentang, bukan bermakna kita bermusuh. Kalau bermusuh, bukan bermakna kita selama-lamanya bermusuh.
Sebagai orang politik, mungkin semua percaya, dalam politik penuh dengan permainan yang serba mungkin. Dalam Islam, mana mungkin kita dibenarkan memutuskan sirahtulrahim. Kenapa budak Mubin, diakhir tulisannya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada YAB Datuk Ahmad Said dan mohon maaf zahir sahaja? Kenapa sampai perkara begini pun masih buat main-main. Adakah ini perangai budak-budak? Kenapa tidak mahu memohon maaf zahir dan bathin? Bukankah ini cara yang dituntut agama kita, bermaaf-maafan antara satu dengan yang lain.
Saya tidak berhasrat menulis soal dosa dan pahala. Saya berhajat mengulas tulisan budak Mubin ini kerana budak Mubin ini mengelarkan Geng 10 atau Kumpulan 10 sebagai 10 Budak Hitam. Saya percaya, bila Abdul Mubin berani menggunakan perkataan ‘budak’ dalam tulisannya, bererti dia sudah merasakan dirinya sebagai lebih dewasa dari budak-budak.
Ingat seloka yang biasa kita dengar…makan dengan budak, lauk habis dulu, mandi dengan budak, air keruh dulu…. Jadi, bila berhujah dengan budak seperti Abdul Mubin, kena berhati-hati, bukan kerana takut terkena bidasannya tetapi takut dia tidak faham kerana budak-budak biasanya belum cukup akal.
Kalau budak Mubin sudah dewasa, tentunya dia tumpang seronok apabila mendengar dua saudara yang berbalah, kembali bertaut. Betul seperti tulisan Hambali Abd Latif dalam blognya…carek-carek bulu ayam, lama-lama bercantum semula. Atau air dicincang tak akan putus.
Kalau budak Mubin membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa beliau sanggup jadi orang tengah untuk membantu Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan kemelut politik Terengganu, bermakna Muhyiddin mengharapkan perdamaian dua kumpulan yang bertelagah.
Dengan lain perkataan, sebagai seorang Islam, kita kenalah berusaha mendamaikan kumpulan atau mana-mana pihak yang berbalah dan bukan mengharapkan perbalahan itu berpanjangan. Maka, tanpa ada menggunakan khidmat orang tengah, tiba-tiba mereka kelihatan berdamai, sepatutnya kita bersyukur.
Malangnya, budak Mubin yang selalunya menulis dalam blognya dengan tulisan-tulisan pendek, tiba-tiba menulis panjang lebar menghina ‘perdamaian’. Jenis apakah budak Mubin ini. Spesis apakah budak Mubin ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan