Isnin, 7 September 2009

Jangan beri muka sangat dengan ‘penentang’



Oleh Zainal Yusof

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa beliau bukan ‘orang tengah’ tetapi berhasrat membantu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebenarnya ‘kenyataan yang terlalu memberi muka’ kepada kumpulan yang menentang.

Apa yang sepatutnya dilakukan, panggil seorang demi seorang 10 ADUN penentang ini dan beri kata dua kepada mereka. Jika mereka merasakan diri mereka terlalu hebat, suruh mereka meletakkan jawatan atau mengosongkan kerusi.

Jika mereka tidak mahu, serahkan kepada mereka untuk meninggalkan Umno dan masuk PKR atau sebagainya. Jika dilayan karenah mereka, seolah-olah TPM memberi ruang kepada lebih ramai lagi ADUN yang mempunyai masalah peribadi ‘menggugut’ pucuk pimpinan.

Muhyiddin sendiri tahu bahawa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah terbabit (ke arah menyelesaikan masalah) tetapi menurut TPM nampak ada beberapa perkara yang belum selesai. “Mungkin pada peringkat ini saya boleh bantu dan akan jumpa pihak yang belum selesai lagi masalah, Insyaallah kita akan selesaikan,” kata Muhyiddin selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur di Kampong Kepayang Fair Park dekat Ipoh baru-baru ini.

Umno sebenarnya bukan tidak pernah menghadapi masalah serupa seperti apa yang berlaku di Terengganu, tetapi kebijaksanaan pucuk pimpinan biasanya boleh menyelesaikan.

Ketika Kedah mahu menukar Menteri Besar, dari Tan Sri Osman Arof kepada Tan Sri Sanusi Junid, ada 22 ADUN menandatangani memorandum tidak mahu menerima Sanusi. Tetapi Perdana Menteri (PM) ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memanggil setiap orang 22 ADUN tersebut untuk bersemuka, seorang demi seorang, akhirnya mereka akur.

Kenapa dalam kes Terengganu, PM Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mempunyai cukup keberanian untuk berdepan dengan kesemua 10 ADUN yang menentang perlantikan Datuk Ahmad Said ini? Hebat sangatkah pengaruh 10 ADUN penentang ini hingga menyebabkan PM dan TPM beria-ia sangat mahu ‘mengadakan’ rundingan demi rundingan yang seolah-olah terlalu memberi muka kepada mereka yang menentang.

Penyakit menentang dan menggugut ini akan merebak ke negeri-negeri lain jika PM dan TPM terlalu berlembut dengan mereka. Takut apa sebenarnya dengan Geng 10 ADUN penentang ini? Jika terpaksa membubarkan DUN Terengganu, teruskanlah asalkan ‘duri dalam daging’ ini boleh dikeluarkan.

Ketika inilah sebenarnya PM dan TPM boleh mengenal pasti siapakah sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya lawan dalam Umno.

Potonglah ‘bahagian’ yang dikesan mendapat barah kerana jika tidak, ia akan merebak.

Atau, jika Najib dan Muhyiddin sedar, sebenarnya dalam Geng 10 ini, ada tiga empat orang sahaja yang ‘menjadi ketua’ kepada yang lain-lain. Jika perlu, ambil tindakan ‘brutal’ kepada mereka yang dikenal pasti sebagai pembawa masalah.

Kenapa nak simpan mereka ini? Kenapa perlu korbankan Datuk Ahmad Said yang nyata sudah membuktikan dirinya sebagai seorang Menteri Besar yang dapat diterima rakyat tetapi tidak dapat diterima 10 wakil rakyat?

Selepas ini, PM dan TPM perlulah memilih calon-calon wakil rakyat yang setia kepada parti, tahu Perlembagaan dan boleh menghormati udang-undang.

Amatlah rugi apabila Umno memilih wakil rakyat dari kalangan mereka yang cetek fikiran, taksub kepada seseorang hingga menyebabkan sanggup menjadi perosak kepada kestabilan parti yang banyak berjasa kepada diri wakil-wakil rakyat ini dan negara.

Atau, jika ada ‘budget’ PM dan TPM bolehlah menghantar kesemua 10 ADUN ini menghadiri kursus ‘mendalami’ pemahaman Perlembagaan Umno dan belajar untuk mencintai Umno, parti yang benar-benar terbukti sudah banyak berjasa kepada orang Melayu dan agama Islam.

Tiada ulasan: