Selasa, 8 September 2009

Rakyat Terengganu di DUN Sura ke yang terabai?


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah


KETIKA Geng 10 ADUN BN buat hal di Terengganu, ADUN Sura dari Pas, Wan Hassan Mohd Ramli mendakwa, akibat dari perbalahan itu, kini rakyat Terengganu terabai.

Namun, dalam ucapannya di Markas Pas Seberang Temerloh, Pahang baru-baru ini, Wan Hassan tidak pula menyebut rakyat Terengganu yang mana terabai. Adakah rakyat Terengganu yang mengundinya di DUN Sura atau rakyat Terengganu yang tinggal dan menjadi pengundi di Parlimen Marang, kawasan yang diwakili Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sudah menjadi kebiasaan, para penceramah Pas memang suka bercakap secara umum dan tidak fokus kepada satu-satu isu, kerana mereka tidak mempunyai kajian mendalam sebelum bercakap. Ini termasuklah ADUN Sura ini, yang menang kerusi DUN Sura dengan majoriti 1,000 undi mengalahkan calon BN, Mohd Rosli Harun.

Sebenarnya, ketika ADUN Sura dan Geng 10 sedang membuat fitnah dan mengecam kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, kerajaan negeri dan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu sebenarnya tidak pernah ‘berhenti’ daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat.

Itulah sebabnya, jika sesiapa yang tahu pergerakan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kerajaan, termasuk JKKK, Pegawai Daerah dan semua peringkat kepimpinan terus menunaikan tanggungjawab masing-masing tanpa mengambil kira mereka penyokong Umno atau tidak.

Barangkali yang tidak bekerja untuk membela nasib rakyat adalah wakil-wakil rakyat Pas, termasuk ADUN Sura yang sibuk berada di luar kawasan kerana memberi ceramah politik. Dalam masa yang sama, Geng 10 ADUN Umno juga dikatakan semakin sibuk untuk berada di luar kawasan kerana mahu memastikan kerja-kerja memfitnah Menteri Besar boleh terus dijalankan.

Hari ini, kerja-kerja memburuk-burukkan Menteri Besar sudah disambung oleh wakil rakyat Pas, termasuk ADUN Sura yang memungkinkan kerja-kerja Geng 10 ADUN Umno menjadi bertambah ringan sekarang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri bersedia menyampaikan apa-apa sumbangan yang membolehkannya berjumpa dengan rakyat dan murid-murid sekolah, termasuk kalangan guru-guru dan ibu bapa, walaupun kadang-kadang kesihatannya sendiri terabai.

Harakahdaily.net hari ini, Selasa, September 08, 09 melaporkan kenyataan Wan Hassan yang sekaligus mendakwa kononnya kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said mengabaikan rakyat Terengganu.

Kalau Geng 10 ADUN Umno sedar, angkara perbuatan mereka, menyebabkan Umno dan kerajaan menjadi bahan kritikan. ADUN Sura itu turut mengajak rakyat memilih wakil rakyat di kalangan mereka yang mewakili parti Islam yang tentunya tahu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Sebenarnya, apa juga kritikan yang datang dan dihalakan kepada Umno dan kerajaan, kesalahannya bukan kerana kelemahan kepimpinan sebenarnya tetapi perbuatan segelintir wakil rakyat yang tidak setia kepada parti.

Apakah Geng 10 mampu mempertahankan kritikan ini atau mereka seronok dengan kritikan dan serangan dari pembangkang ekoran sikap mereka? Wan Hassan tidak menyebut secara spesifik di manakah rakyat Terengganu yang terabai, di manakah lokasinya dan berapa orang yang dia maksudkan terabai?

Sebenarnya ADUN Sura ini bercakap soal ‘perbalahan’ dan ditambah dengan rakyat terabai. Hakikatnya tiada yang terabai, tetapi kurang sedap kalau berceramah, mahu menyebut soal perbalahan jika tiada kesan dari perbalahan itu.

Itulah sebabnya, kalau Geng 10 sedar akibat dari perbuatan mereka, memberi peluang kepada pembangkang mengkritik dan menjaja isu ini, lebih baik jika mereka menghentikan kerja sia-sia ini. Tahukah mereka, akibat dari mereka yang tidak menghadirkan diri ketika kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ke Kuala Berang baru-baru ini, banyak media yang pro pembangkang menjadikan ia sebagai suatu isu yang kononnya memperlihatkan kemelut politik di Terengganu masih membara.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh seorang anggota Geng 10 kononnya perlantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu semakin menambah kekusutan juga sebenarnya ‘membuka pekong’ sendiri yang membolehkan pembangkang terus membuat kritikan.

1 ulasan:

C L J berkata...

Apa pula kaitannya orang Temerloh dengan DUN Sura tu. Bulan2 puasa ni......