Jumaat, 4 September 2009

Hanya beberapa Adun sertai majlis Muhyidin

HULU TERENGGANU, 3 Sept - Hanya empat sahaja dari anggota Exco dan hanya satu sahaja Adun Umno yang kelihatan dalam majlis berbuka puasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang hari ini.

Bahkan Adun Ajil, Rosol Wahid, yang kawasannya terletak dalam Parlimen Hulu Terengganu juga tidak kelihatan dalam majlis Timbalan Perdana Menteri hari ini. Begitu juga Datuk Seri Idris Jusoh, bekas MB dan juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu.

Inilah realiti permasalahan Umno di Terengganu sekarang sehingga Muhyidin dalam sidang medianya terpaksa menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam krisis di Terengganu sekarang.

Muhyidin juga mengakui Umno Terengganu sekarang dilanda krisis.

“Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.

“Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar ... lepas hari raya atau bila masa yang sesuai,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu itu.

Menurut maklumat, hanya sebahagian kecil sahaja wakil rakyat Umno yang hadir dalam pertemuan tertutup para pemimpin Umno dengan Muhyidin itu.

Muhyidin sampai ke Kuala Terengganu jam 4.30 petang tadi dan terus ke Hulu Terengganu untuk mengadakan pertemuan itu. Turut serta bersama beliau adalah Datuk Seri Hishamudin Hussein yang merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu serta datuk Ahmad Said, timbalan beliau yang juga MB Terengganu.

Beliau kemudiannya berbuka di Masjid Sultan Mahmud dan solay Isyak serta terawih di Masjid Telok Menara, Manir iaitu dalam Dun yang diwakili oleh Datuk Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Ketua Pembangkang Dun Terengganu.

Mahyudin ke Terengganu di tengah-tengah berita panas yang melibatkan Umno Terengganu. Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, sembilan Adun Terengganu dikatakan akan melompat ke PKR dan membentuk kerajaan baru di Terengganu.

Mereka telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dekat sebuah hotel di Kemaman.


(Dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com )

Tiada ulasan: