Jumaat, 18 September 2009

Gencatan Senjata di Terengganu : Bolehkah sembuh luka yang berdarah?


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

SERUAN ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam supaya semua pihak diminta menghentikan segala tohmahan dan khabar angin berhubung pertelingkahan yang kononnya berlaku antara beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang dilabel penyokong bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dengan Menteri Besar Datuk Ahmad Said bolehlah dianggap sebagai gencatan senjata di Terengganu.
Berita ini sebenarnya berita baik dan semua pihak seharusnya menyokong hasrat Din Adam ini kerana dari kenyataan Din Adam ini, seolah-olah tidak pernah berlaku pertelingkahan antara 10 ADUN yang pernah memboikot persidangan DUN Terengganu dengan Menteri Besar.
Kata Din, pertelingkahan yang dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Datuk Ahmad hingga mewujudkan dua puak bertelagah dalam Umno Terengganu sebenarnya adalah mainan politik pihak tidak bertanggungjawab.
Ketika saya mengurut dada tanda bersyukur dengan gencatan senajata di Terengganu ini, hati kecil saya tertanya-tanya, kenapa selepas 18 bulan isu ini digembar-gemburkan, baru hari ini (dalam bulan Ramadan) Din Adam, salah seorang yang dikatakan bersama Geng 10 tampil membuat kenyataan?
Jika tiada pertelingkahan berlaku, jika tiada kemelut yang timbul dan jika tiada angina, mustahil pokok boleh bergoyang – kenapa ya, selepas begitu lama baru seorang dari 10 ADUN yang dikatakan tidak sehaluan dengan Menteri Besar tampil membuat kenyataan?
Susah sangatkah untuk menghentikan segala tohmahan dan khabar angin yang dikatakan berlaku, jika semua 10 ADUN yang dikatakan pernah memboikot persidangan DUN dan kemudiannya, menghadirkan diri tetapi menjahit mulut masing-masing dari bercakap di dalam DUN, tampil dan berikrar di depan kepimpinan negeri, bagi menafikan segala tohmahan tersebut?
Kalaulah Din dan lima ADUN yang bersama-samanya sekarang, iaitu Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Wan Mohd Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) bertindak awal, mustahil cerita-cerita mengenai kemelut ini tidak berlanjutan.
Apakah keenam-enam ADUN yang diketuai Din kini bertindak sedemikian kerana bimbang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tampil menjadi ‘orang tengah’ bagi mendamaikan kumpulan yang bertelagah?
Kalaulah Din dan lima lagi ADUN atau lebih sesuai dipanggil ‘Geng Enam’ dapat mengenal pasti siapakah pihak tidak bertanggungjawab itu, yang mereka maksudkan, eloklah kalau boleh mendedahkannya bagi dikenali oleh semua orang – agar mereka tidak terus memainkan isu ini di masa-masa akan datang.
Din yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) negeri, berkata semua ADUN juga sentiasa menyokong segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti khususnya dalam mengekalkan kerajaan sedia ada.
Nampaknya, ketika semua orang yang mengikuti perkembangan politik Terengganu percaya berlaku pertelingkahan antara Geng 10 dengan Menteri Besar, tiba-tiba Din menyeru supaya semua pihak menghentikan semua tohmahan dan khabar angin.
Ini seolah-olah tidak pernah berlaku pertelingkahan. Ia seolah-olah tidak pernah ada cerita ada pemboikotan persidangan DUN. Ia seolah-olah tidak pernah berlaku kempen-kempen secara senyap dan terbuka, pihak-pihak tertentu yang mengencam kepimpinan Menteri Besar.
Jika apa yang dikatakan Din ini benar, bererti tidak wujudlah Geng 10 ini di Terengganu. Jikalah bernar apa yang dikatakan Din ini, pucuk pimpinan di Kuala Lumpur sebenarnya tertipu dengan robongan-rombongan dari Geng 10 yang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan beberapa pihak tertentu.
Kalaulah apa yang dikatakan Din ini benar, kenapakah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sendiri pernah dipetik sebagai berkata; “kita berusaha mententeramkan situasi di Terengganu dalam masa terdekat”.
Apakah tawaran Muhyiddin mahu menjadi orang tengah yang kemudiannya dinafikan, tidak ada kaitan dengan cerita kemelut politik Terengganu? Apakah Din Adam mahu memberitahu dunia bahawa Najib, Muhyiddin, Hishammuddin dan Ahmad Said tidak berkata benar dalam isu politik Terengganu?
Kata Din, “Sebenarnya keadaan di Terengganu (Umno) tidak ada masalah dan isu besar Cuma tindakan sesetengah pihak yang cuba memperlihatkan seolah-olah di Terengganu ada masalah,”
Din juga baru mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri di Putrajaya.
Hari ini, selepas Enam ADUN ini akur dengan perlantikan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar oleh Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas pilihan raya umum lalu, menggantikan Idris yang juga ADUN Jertih.
“Hubungan kita (ADUN) dengan Menteri Besar macam biasa dan tidak ada masalah kerana kita akur dan patuh dengan perlantikan yang dibuat oleh Tuanku dan kita tidak akan sekali-kali derhaka kerana kita setia kepada baginda,” katanya.
Apa pun Din katakan, ia menunjukkan perubahan. Tidak kiralah siapa dan pihak mana yang berubah tetapi Din jangan sesekali cuba menyalahkan pihak lain, apabila timbul cerita pertelingkahan dalam politik Umno di Terengganu.
Banyak pihak sebenarnya yang terluka. Banyak pihak yang berdarah. Banyak pihak yang terguris. Walaupun lukanya nampak sembuh, parutnya tetap ada. Din dan lima lagi rakan ADUNnya tentunya faham dan reti perkara ini.
Mustahil, sebagai ADUN, mereka tidak faham hal-hal seperti ini. Kata orang-orang tua, terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak perbuatan, buruk akibatnya.
Marilah kita berdoa semoga kesedaran yang timbul dalam jiwa keenam-enam ADUN ini adalah kesedaran kerana mereka insaf. Janganlah kerana ada sebab-sebab lain atau janji-janji bersyarat bagi mengejar jawatan sebagai kompromi kepada gencatan senjata ini.

2 ulasan:

anak bukit besi berkata...

Hendak kenal siapa din adam? Bertanyalah kepada pejuang2 dan ahli2 UMNO yang pernah suatu ketika dahulu membawanya ke persada politik tanahair. Hendak kenal din adam? Bertanyalah kepada ahli2 UMNO di Bukit Besi...tanyakan kepada mereka siapakah Din Adam ini. Nescaya jawapan yang terpacul adalah senada di antara satu sama lain..sangat2 negatif. Tanyakan kpd Haji Taib bagaimana Din Adam menjatuhkan beliau sbagai Ketua Umno yg juga merupakan pengasas UMNO di Bukit Besi. Tanyakan juga kpd bekas YB Dun B.Besi Ustaz Awang Jaabar bagaiman liciknya dan khianatnya Din Adam membentes dan menghenyak Ustaz Awang Jaabr sehingga tersungkur di medan politik. Tanyakan juga kpd 67 orang ahli UMNO yg tidak diberi Dana Raya tahun lepas kerana bangun tidak bersetuju dengan Din Adam sewaktu Mesyuarat Agung Cawangan sedangkan mereka tergolong dlm org2 miskin dan daif. Tanyakan kpd Roslan Taib apa yg ditawarkan oleh Din Adam ketika Roslan ingin menentang Din secara demokrasi sbg Ketua Cawangan B.Besi. Tanyakan juga kpd org2 B.Besi mengapa Din Adam mendirikan banglo jutaan ringgit di Gong Badak bukan di Bukit Besi? Tanyakan kpd Din Adam kemanakah hasil lombong yg dibawa keluar dr bumi B.Besi selama hampir 8 tahun sehingga org2 B.Besi sedikitpun tidak merasa nikmatnya sedangkan Din Adam adalah ahli lembaga pengarah Tabung Warisan. Tanyakan juga kpd Din Adam kemanakah perginya wang Org Kurang Upaya puluhan ribu ringgit yg laporan auditnya tercatat penyelewengan yg nyata. Tanyakan kpd Din Adam bagaimana seorg teknisen rendah dlm sekelip mata mampu mengumpul kekayaan walau baru sepenggal menjadi YB? Tanyakan juga org2 UMNO Durian Mas mengapa memakai sebelah selipar ketika PRU-12 undi hanya utk UMNO Parlimen ttp tidak DUN B.Besi? Tanyalah dan terus bertanya dan akhirnya akan ketemu jawapan siapakah Din Adam yang sebenarnya.... Usah bertanya kepada ternakannya si Mubin JAM. Nescaya kebodohan melanda diri..kerana Din Adam pantang ada org yang lebih pandai darinya. Andai masih juga belum ketemu jawapannya, cubalah bertanya kpd YB Rosol siapa kawan siapa lawan. Insya ALlah YB Ajil ada jawapannya.

C L J berkata...

Kalau dah nak selesai tu berilah ruang supaya ia selesai. Tak payahlah nak ungkit macam macam lagi seperti tak nak beri ruang untuk penyelesaian. Kalau nak ikutkan boleh diungkit apa dan siapa yang tak boleh diungkit. Jangan nampakkan diri kita pula menjadi nampak seperti ada kecenderungan untuk memberi untung kepada pihak pembangkang. Melainkan kita memang bersedia untuk jenama itu dan mendapat pengiktirafan sewajar begitu.
Semuga kita semua tergolong sebagai orang baik baik yang sentiasa mencari peluang untuk mencari perdamaian.
Inshaallah.