Oleh Zamzuri Damanhuri
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak marah apabila ada perwakilan MIC mencadangkan supaya dikalungkan selipar kerana keceluparannya membuat komen terhadap pemilihan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Namun, dia marah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang pernah mengecamnya selain seorang Menteri Besar yang pernah mencadangkan supaya bekas Perdana Menteri itu disingkirkan dari Umno.
Hari ini, ketika sibuk orang bercakap mengenai pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Dr. Mahathir yang entah pernah sampai ke situ atau tidak, turut membuat komen dan seperti biasa, komennya adalah komen yang boleh merosakkan.
Beliau menyarankan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad tidak dipilih sebagai calon untuk mewakili BN di DUN Bagan Pinang kerana Mohd Isa dikatakan pernah terpalit dengan kesalahan terlibat dengan politik wang dalam pemilihan Umno tahun 2004.
Sikap Dr. Mahathir ini, mengungkit kisah lama adalah contoh sebenar sikap orang Umno. Dulu, ada seorang bekas Ketua Menteri difitnah kerana terbabit dengan kes perempuan bawah umur. Walaupun kes itu tidak pernah dibuktikan berlaku tetapi orang-orang Umno masih mahu mengaitkan bekas Ketua Menteri itu dengan budak perempuan bawah umur.
Bekas Ketua Menteri ini pernah menyebabkan Lim Guan Eng dipenjarakan kerana memfitnahnya, tetapi orang Umno tidak pernah menyanjung kehebatan bekas Ketua Menteri ini.
Orang Umno lebih suka bercakap, bekas Ketua Menteri ini terbabit dengan kes budak perempuan bawah umur daripada bercakap soal kehebatan bekas Ketua Menteri ini berjaya membawa seorang pemimpin parti pembangkang merengkok ke dalam penjara.
Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman bahawa Guan Eng bersalah kerana memfitnah bekas Ketua Menteri itu, di mana orang-orang Umno lain ketika itu? Mengapa mereka tidak bersorak gembira kerana terbukti pemimpin pembangkang memang disahkan memfitnah?
Hari ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pula berkelaluan begini. Ketika beliau tidak suka dikecam sesama Umno, kenapa dia suka mengecam pemimpin-pemimpin Umno yang lain? Tahukah dia, ada seorang pemimpin Pas, pernah ditangkap berada sebilik dengan seorang perempuan di sebuah hotel ternama di Kota Bharu.
Perempuan itu isteri orang ketika itu. Namun, bukan sahaja tiada siapa orang-orang Pas tidak mahu menyebut cerita itu lagi, malahan, orang-orang Umno pun tidak berminat untuk bercakap isu tersebut. Maknanya, kalau berlaku dalam Pas dan DAP, orang Umno termasuk Dr. Mahathir mahu senyapkan tetapi kalau ada kesilapan sedikit berlaku dalam Umno, beliaulah yang rajin memberi komen.
Dr. Mahathir berhak membuat komen kerana tiada undang-undang menyekat beliau daripada bercakap apa-apa juga isu yang beliau fikirkan perlu ditegur tetapi tegurlah untuk kebaikkan dan bukan menegur untuk merosakkan.
Ketika beliau memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri menggantikannya, tiada siapa menyerangnya tetapi beliau memilih sikap menyerang Abdullah hingga Umno rosak.
Hari ini, beliau cuba memberi gambaran kononnya Umno rosak kerana Abdullah tetapi beliau tidak pernah mahu mengaku bahawa kerosakkan itu disebabkan oleh perbuatan beliau dan keluarganya hingga sanggup keluar dari Umno dan masuk semula apabila Abdullah bersara.
Contoh apa yang ingin ditunjukkan? Dalam Umno, sikap seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir, mengutuk, mengungkit dan mengecam sama-sama sendiri memang subur. Jasa yang Mohd Isa buat terhadap Umno, termasuk memberi kemenangan 100 peratus kepada Umno dan BN di Negeri Sembilan dalam tahun 1999, ketika keadaan politik tidak stabil, tidak pernah mahu disebut.
Dr. Mahathir merasakan Umno kuat kerana beliau seroang. Hakikatnya, tidak. Baca wawancara Tun Musa Hitam dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini. Hayati betul-betul apa pandangan Musa terhadap Dr. Mahathir yang ‘perasan’ kononnya beliau terlalu hebat.
Masalah yang berlaku dalam Umno ini sebenarnya berpunca daripada sikap Dr. Mahathir. Ketika beliau mahukan Musa, beliau kerjakan Tengku Razaleigh Hamzah habis-habisan. Selepas beliau tidak bersetuju dengan Musa, beliau kerjakan Musa hingga Musa tewas.
Siapa yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno? Selepas itu, beliau memecat Anwar hingga Umno kucar-kacir. Beliau boleh memenjarakan Anwar tetapi Umno sudah rosak teruk sebelum Abdullah menggantikannya.
Kalau sesiapa masih ingat kemenangan BN dalam PRU 2004 yang gilang gemilang, tentu sedar bahawa kebencian pengundi kepada Dr. Mahathir sudah tidak terkawal lagi. Mereka memberi kemenangan kepada BN di bawah Abdullah hanya kerana mahu menghantar mesej kepada Dr. Mahathir, selamat jalan!
Bila BN kalah teruk di beberapa negeri dalam PRU 12, 2008 – Dr. Mahathir bangkit dengan kebanggaan kononnya Abdullah meninggalkan rekod hitam dalam sejarahnya menerajui Umno. Hakikat sebenarnya, kekalahan BN dalam PRU 12, adalah ulangan kekalahan BN (ketika itu Perikatan) dalam tahun 1969 – di mana Dr. Mahathir sendiri tewas di tangan Allahyarham Yusof Rawa.
Sikap orang Umno, seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir adalah sikap biasa yang tidak wajar diteruskan. Kita selalunya berantakan sama-sama sendiri hingga mengungkit perkara-perkara yang lepas seolah-olah semua manusia tidak boleh melakukan kesilapan.
Orang Umno, tidak berupaya menyerang musuh. Dr. Mahathir tidak ingat bahawa ketika dia bermasalah dengan Anwar, Mohd Isalah orangnya yang terkehadapan mempertahankan beliau dan mencadangkan Anwar dipecat dari Umno dan kemudiannya disokong oleh mereka yang segan silu dengan Anwar.
Dr. Mahathir lupa, ketika dia tidak berjaya menjadi perwakilan (G7) di Bahagian Kubang Pasu, Mohd Isa menang tanpa bertanding di Teluk Kemang.
Satu perkara yang Dr. Mahathir perlu tahu, selain dari beliau tidak mengundi di Bagan Pinang, beliau juga mungkin tidak pernah sampai di situ dan tiada siapa yang beliau kenal. Bolehkah beliau menafikan sokongan yang Mohd Isa terima di Bagan Pinang?
Tahukah beliau, salah satu sebab kekalahan tiga DUN dari lima DUN di Teluk Kemang termasuk kekalahan BN di Teluk Kemang kerana protes pengundi terhadap penggantungan Mohd Isa yang disifatkan sebagai ‘kesilapan’ Umno melihat kes ini – pendakwaan dan penghukuman terpilih!
Jumaat, 18 September 2009
Dr. M – Contoh sebenar sikap orang Umno
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Ulasan yang bijak. Tahniah. Sahabat2 yang membaca ulasan ini dipersilakan terus membaca "Kaedah Manusia Melayan Manusia" dilaman tokjanggutkeramat. Ada kaitan dan sepemikiran.
Catat Ulasan