Sabtu, 19 September 2009

Jika Dr. M boleh sedih dan marah, Ahmad Said macam mana?



Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

BAGI saya, kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambarnya dikalung selipar tetapi amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota Umno sendiri.
Kalau beberapa ADUN Umno di Terengganu mampu memahami kata-kata Dr. Mahathir itu, sebenarnya perasaan marah atau sedih mungkin juga melanda Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kerana beliau bukan diganggu oleh parti-parti lawan atau parti rakan komponen BN, sebaliknya dari kalangan Umno sendiri.
Dalam kes Dr. Mahathir, beliau merujuk seorang bekas Menteri Besar Kedah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang pernah mengecamnya – sekali, tetapi berbeza dengan apa yang berlaku, beberapa ADUN (dulunya 10 tetapi kini khabarnya tinggal empat sahaja), menganggu Datuk Ahmad sejak 18 bulan lalu.
Sebagai seorang negarawan, Dr. Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun (1981-2003) pun boleh terasa marah atau sedih, inikan pula Datuk Ahmad Said yang baru 18 bulan menjadi Menteri Besar, dengan cara perlantikannya penuh kontroversi.
Jika boleh, baki empat ADUN yang masih mahu berkeras, mahu mengganggu pentadbiran Datuk Ahmad Said dan mahu memberi gambaran kononnya Umno di Terengganu masih bergelora, eloklah menyelami kata-kata Dr. Mahathir dalam bulan Syawal ini.
Memang terasa sedih dan marah kalau sama-sama sendiri, sama-sama dalam Umno yang menikam kawan dari belakang. Berdepan dengan musuh, perkara biasa dalam perjuangan tetapi bila ada duri dalam daging, ia cukup menyusahkan!
Apa salahnya, jika keempat-empat ADUN yang masih enggan menerima hakikat bahawa Menteri Besar Terengganu sekarang adalah YAB Datuk Ahmad Said, lebih baik bersara dan berundur dari arena politik. Jika pelru berehat seketika. Bila Datuk Ahmad Said bersara kelak, masuklah balik. Aktiflah semula. Ini lebih baik daripada menjadi gunting dalam lipatan.
Dr. Mahathir pernah keluar Umno apabila beliau tidak bersetuju dengan Presiden Umno ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Apabila Abdullah bersara, Dr. Mahathir masuk balik Umno, bersama isteri dan anaknya.
Langkah ini dibuat mungkin kerana Dr. Mahathir merasakan, mesej yang mahu dihantar kepada Abdullah jelas, beliau tidak dapat bersama-sama Abdullah dalam Umno yang Abdullah pimpin. Kenapa pengajaran dari Dr. Mahathir ini tidak oleh diikuti oleh Idris Jusoh, Rosol Wahid, Zakaria Abdullah dan Zawawi Ismail?
Keluarlah dari Umno. Tinggalkanlah Umno kerana masa ini ketua di Negeri Terengganu ialah Datuk Ahmad walaupun jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri disandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Cuba Idris dan rakan-rakannya ini meletakkan dirinya sendiri dalam kedudukan Datuk Ahmad. Apakah beliau mahukan perkara serupa berlaku?
Lagi pun, Idris tentunya tahu, dia digugurkan dari jawatan Menteri Besar adalah atas pilihannya sendiri. Mustahil Idris tidak tahu yang Istana Terengganu tidak mahukannya lagi. Jika Idris sudah tahu, kenapa dia tidak berusaha untuk berpindah dari bertanding di DUN Jerteh ke Parlimen Besut?
Ada satu cerita mengatakan Idris menyusun strategi – mengenepikan ketua-ketua bahagian yang dirasakan berpotensi menjadi saingannya bagi merebut kerusi Menteri Besar. Namun, Allah menyusun yang terbaik untuk Negeri Terengganu dan rakyatnya, apabila nama Datuk Ahmad Said tiba-tiba menjadi pilihan Baginda Sultan Terengganu.
Presiden MIC, datuk seri Samy Vellu bukan seorang yang beragama Islam. Dia juga bukan orang Melayu. Malahan, dia bukan anggota Umno tetapi jiwanya bersih dan jujur. Dia sedia memohon maaf dari Dr. Mahathir di atas keterlanjuran perwakilan dari Pahang, M. Sukumaran terhadap Dr. Mahathir.
Berbeza dengan empat ADUN Umno Terengganu yang masih berkeras ini. Mereka anggota Umno. Mereka orang Islam. Mereka juga adalah orang Melayu yang tentunya tahu erti berbudi bahasa dan beradap sopan. Kenapa mereka tidak mahu belajar dari Samy Vellu dalam hal memohon maaf?
Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada Datuk Ahmad Said ialah kesabaran yang cukup tinggi. Walaupun beliau diasak dan dimalukan begitu rupa, beliau tidak melatah dan tidak marah-marah. Jauh sekali melahirkan rasa sedihnya seperti mana Dr. Mahathir meluahkannya.
Malahan, belum pernah beliau menganjurkan majlis untuk mengecam kumpulan yang tidak menyokongnya ini. Berbeza dengan kumpulan ini, mereka menyusun gerakan untuk menjatuhkan Datuk Ahmad, walaupun jatuh atau naik seseorang itu adalah atas kehendak Allah jua.
Apakah kumpulan empat ADUN ini tidak percaya yang menaikkan seseorang dan menjatuhkan seseorang adalah dengan kuasa Allah?
Memetik kata-kata Datuk Ahmad, di kalangan ADUN-ADUN di Terengganu sekarang, beliaulah yang paling senior jika dibandingkan dengan ADUN-ADUN lain, termasuk Idris Jusoh sendiri. Pertama, beliau lama. Kedua, beliau sudah lebih dua penggal menjadi Exco. Beliau juga pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri dan Exco Pemuda Umno Malaysia.
Pengorbanan beliau yang terbaru, sanggup tidak bertanding MT kerana mahu menjamin kemenangan calon dari Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Dari sumber yang rapat dengan Menteri Besar, walaupun teruk Idris dan rakan-rakannya mengerjakannya, beliau tetap mengundi Idris untuk kerusi MT.

Tiada ulasan: