Oleh Zainal Yusof
Blogger http://memobelakang.blogspot.com menulis mengenai calon BN di Bagan Pinang dengan hujahnya sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak bersetuju dengan nama bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Datuk Seri Utama, Mohd Isa Abdul Samad diketengahkan!
Tanpa apa-apa fakta, selain dikaitkan dengan hukuman Lembaga Disiplin Umno, kerana terlibat dengan politk wang, pembaca semua boleh menilai pandangan ini dengan stabil atau tidak fikiran blogger ini dengan membaca semula buku bertajuk POLITIK WANG Isa Jadi Mangsa? Yang diterbitkan dalam tahun Julai 2005.
Dalam tulisannya…penulis ini meraban, merayau dan teraba-raba mencari sebab mengapa Mohd Isa dikenakan dengan tindakan oleh Lembaga Disiplin – hingga dia mengaitkan kononnya Mohd Isa ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, telah tidak menyambung kontrak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shahid Taufek dan menggantikannya dengan Datuk Roslin, Ketua Pengarah DBKL.
Jadi apabila dia sendiri tidak merujuk tulisannya dalam buku yang ditulisnya itu, kita boleh tahu mengapa dia menulis ikut selera dia dan mencadangkan supaya nama Mohd Isa tidak disenaraikan. Mudah-mudahan, jika benar-benar Mohd Isa tidak disenaraikan, keputusan itu dibuat kerana sebab-sebab lain dan bukan kerana cadangan dari blogger cop ayam ini.
Satu ketika, dia mengatakan kawan dia ada minta tapak berniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Isa batalkan kerana Tan Sri Mohd Isa mahu berikan kepada seorang pemimpin MCA yang banyak membantu Mohd Isa ketika bertanding jawatan Naib Presiden.
Dalam parageraf yang lain, blogger ini menulis, kuasa Datuk Bandar lebih besar dari kuasa Menteri Wilayah Persekutuan. Jika Menteri sokong tetapi Datuk Bandar tidak, nescaya permohonan itu tidak akan berjaya walaupun mendapat sokongan dari Mohd Isa selaku Menteri Wilayah Persekutuan.
Dalam masa yang sama, dia menulis juga kononnya pihak Istana Negeri Sembilan terlibat menjatuhkan Mohd Isa dan ada konspirasi untuk melihat Mohd Isa tersungkur tetapi dalam masa yang sama, dia tidak pula menyebut secara khusus apakah bukti-bukti hujahnya itu.
Disebabkan fikiran bogger ini kurang stabil, kita sebagai pembaca blog dan media baru ini haruslah berhati-hati supaya tidak terasak dengan fakta mainan yang ditulis dan disediakan oleh seseorang yang kurang stabil pemikirannya. Lagi pun penulis ini terlalu banyak masalah peribadi hingga ada blogger di Terengganu mengelarkannya ‘penulis RM500’ kerana ada kisah ‘duit raya untuk wartawan’ di Terengganu.
Maka, mereka yang tidak patut balik dari Kuala Lumpur untuk ke Kuala Terengganu bagi mengejar RM500 pun berkejar ke Kuala Terengganu kerana ‘envelop’ ini. Maka, kita sudah boleh tahu standard blogger cop ayam ini… supaya jangan terpedaya!
Perlantikan Roslin sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur sebenarnya atas kuasa Perdana Menteri dan diperkenankan Yang DiPertuan Agung. Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Mohd Isa boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri tetapi jika Perdana Menteri tidak bersetuju, Menteri Wilayah Persekutuan bolehlah mengumumkan sahaja keputusan Perdana Menteri itu, tanpa boleh membantah.
Sejarah perlantikan Roslin, tetap tertulis dengan tinta emas DBKL kerana beliaulah satu-satunya Datuk Bandar Kuala Lumpur dari kalangan orang dalam DBKL sendiri – hingga menyebabkan seorang penulis picisan merengkok dalam lokap polis kerana menerima upah menulis buku bertujuan menjatuhkan maruah Datuk Bandar.
Mohd Isa layak menjadi calon di DUN Bagan Pinang jika pucuk pimpinan mempunyai keyakinan Mohd Isa boleh menang di situ. Mohd Isa juga tidak perlu menerima tawaran menjadi calon di DUN Bagan Pinang kalau beliau merasakan ada calon lain yang boleh membawa kemenangan kepada BN di situ. Tetapi janganlah, jika bukan Mohd Isa yang bertandingdi DUN Bagan Pinang, apabila kalah nanti, ada pula tohmahan kononnya Mohd Isa sabotaj calon BN hingga menyebabkan BN kalah.
Mohd Isa sudah melalui banyak ujian selama menjadi pemimpin Umno. Ketika menang kerusi Naib Presiden Umno dalam tahun 2004, dengan undi 1,507, beliau dikenakan tindakan disiplin. Beliau kehilangan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, kehilangan jawatan Naib Presiden Umno, kehilangan jawatan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, kehilangan jawatan Ketua Umno Cawangan Bagan Pinang dan paling menyedihkan, isterinya Puan Sri Hazizah Tumin meninggal dunia ketika beliau sedang menjalani hukuman tersebut.
Cukuplah menyerang Mohd Isa!
Khamis, 24 September 2009
Cukuplah menyerang Mohd Isa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan