Jumaat, 25 September 2009

Pemimpin Umno mesti tegas beri ulasan


Oleh ERNEDA PASOLA (Wartawan Sinar Harian)

SABAK BERNAM – Pemimpin Umno mesti tegas dalam membuat kenyataan dan ulasan supaya apa yang diperkatakan pada hari ini tidak berubah pada keesokannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Sungai Air Tawar Datuk Raja Ideris Raja Ahmad berkata, jika perkara itu terus berlaku tentunya menjejaskan kredibiliti parti dan individu terbabit.
Menurutnya, apa yang berlaku di Bagan Pinang contohnya, pucuk pimpinan membuat penetapan menyerahkan kepada Umno Bahagian Teluk Kemang untuk mengenal pasti sendiri calon yang sesuai untuk bertanding mengisi kekosongan.
“Namun, ada komen untuk mengemukakan lebih dari satu calon, apabila Umno Bahagian Teluk Kemang bersepakat mengambil keputusan untuk menamakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
“Untuk mencapai keputusan berkenaan, Umno Bahagian Teluk Kemang mungkin sudah berbincang, berbahas dan mengenal pasti calon, keputusan yang dicapai perlu dihormati. Biarpun mengemukakan satu calon, pucuk pimpinan perlu menerima keputusan tersebut kerana ia adalah suara akar umbi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam dan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor berkata, Umno Bahagian Teluk Kemang sudah tentunya melihat dan menilai semua aspek termasuk tindakan disiplin parti dan merasakan Tan Sri Isa adalah calon BN yang paling sesuai.
Menurut Raja Ideris tindakan memberikan kenyataan dan ulasan yang tidak tegas seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan memanipulasi isu calon BN sebagai isu yang tidak selesai.
“Keputusan Umno Bahagian Teluk Kemang perlu dihormati memandangkan Bahagian Umno berjiran juga bersetuju dengan percalonan tersebut.
“Sekarang bukan masa untuk kita bercakap tetapi menghormati keputusan pencalonan dan bekerja memenangkan calon BN,” katanya.
(Dipetik dari Sinar Harian, Jumaat 2009, September 25)

Tiada ulasan: