Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)
SAYA amat mengkagumi! Inilah namanya perbezaan dalam persamaan. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita tidak perlu bermusuh. Tiga komen kepada tulisan saya yang menyentuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendapat komen dari tiga pelawat yang menggelarkan diri mereka ‘bola tampar’, Che Leh Jangok dan Bengah @ Serling.
Sebenarnya, ketika saya menulis, (sila lihat tulisan saya bertajuk Dr. Mahathir lebih besar dosanya kepada Umno – Rabu 2009, September 23) saya memang tidak mengharapkan sesiapa bersetuju dengan pendapat dan pandangan saya terhadap apa yang saya hujahkan. Ini kerana, siapalah saya yang hendak berhujah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang pemimpin Melayu bertaraf dunia.
Namun, saya mempunyai tanggungjawab kepada agama dan bangsa saya. Saya perlu berkata walaupun pahit. Saya perlu menegur, walaupun saya akan diserang kembali. Itu perkara biasa kerana menulis ini adalah kelebihan yang Allah berikan kepada saya dan saya perlu menggunakannya.
Tidak perlu saya menulis apakah kesalahan Dr. Mahathir hingga menyebabkan dia dipecat dari Umno kerana saya pun tidak tahu apa kesalahannya kecuali ada penulis yang menulis mengatakan dia dipecat kerana dia menulis buku Malay Dilemma. Entah betul entah tidak, saya tidak tahu.
Kemudian, saya diberitahu oleh kawan-kawan dan ada juga terbaca di dalam beberapa rencana, Dr. Mahathir ketika dipecat pernah naik ke pentas Pas, berucap. Apa yanjg diucapkan pun saya tidak tahu tetapi mustahil dia naik pentas Pas untuk memuji dan mempertahankan Umno yang memecatnya.
Kita mungkin tidak suka kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Tetapi janganlah kerana kita tidak sukakannya, menyebabkan kita tidak berlaku adil kepadanya. Adakah Mohd Isa seorang sahaja dalam Umno (saya tidak mahu membincangkan mereka yang dalam PKR, DAP dan Pas) melakukan kesalahan yang melanggar disiplin parti?
Ketika digantung selama tiga tahun, pernahkah kita mendengar Mohd Isa naik pentas Pas menyerang Umno? Pernahkah kita mendengar Mohd Isa naik ke pentas-pentas politik menyerang Perdana Menteri? Kenapa Dr. Mahathir nak serang Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi?) sedangkan dialah yang melantik Pak Lah menjadi penggantinya. Bukan Mohd Isa yang melantik Pak Lah. Bukan Pas yang melantik Pak Lah. Bukan DAP yang melantik Pak Lah.
Jadi, kalau Dr. Mahathir nak marahkan Pak Lah, marahlah diri dia sendiri. Kalau Dr. Mahathir nak salahkan Pak Lah, salahkanlah diri dia sendiri. Kalau dia tidak mahu menyalahkan diri dia sendiri, dia kenalah tahan dengan kritikan dan teguran orang lain kerana ketika dia berkuasa, dia pun tidak mahu mendengar pandangan dan teguran orang lain.
Persoalan saya, kenapa mahu diulang-ulang bercakap BN jangan meletakkan Mohd Isa sebagai calon di DUN Bagan Pinang? Kenapa wartawan dan media mahu menyiarkan berita serupa berulang-ulang? Ini yang saya persoalkan dan saya merasakan, ada niat dan agenda tertentu untuk menyekat Mohd Isa daripada naik semula dalam politik.
Bila kita bercakap berulang-ulang, itu namanya menghina. Bila kita menghina Mohd Isa, bermakna kita menghina orang AJK Umno Bahagian Teluk Kemang) yang mencalonkan Mohd Isa. Seolah-olah, kita mahu beritahu dunia, jangan dengar atau ikut kehendak Umno Bahagian Teluk Kemang.
Bolehkah Dr. Mahathir sebutkan salah seorang dari 40 orang lebih AJK Umno Bahagian Teluk Kemang yang lebih layak mewakili BN dari Mohd Isa di DUN Bagan Pinang?
Dr. Mahathir ini sebenarnya tidak rapat dengan Umno. Dia sibuk dengan agenda ‘dunia’ dia ketika dia menjadi Presiden Umno. Kesannya, inilah Umno yang dia wariskan kepada kepimpinan baru tetapi dia menyalahkan Pak Lah kononnya menyebabkan kerosakan.
Bercakap soal politik wang, apakah sebenarnya definasi politik wang sebenarnya? Apakah Mohd Isa benar-benar terlibat dengan politik wang? Kalau beliau terlibat, adakah beliau seorang sahaja yang terlibat? Kenapa dalam Umno, keputusannya tidak boleh dibawa ke mahkamah?
Ini bermakna, Perlembagaan Umno bukan undang-undang. Tetapi perlembagaan parti penting kerana mustahil ada parti yang tidak berperlembagaan. Namun, apabila parti membuat keputusan, Mohd Isa akur dan taat, bererti beliau sudah insaf dan bersedia memperbaiki kesilapan dan kelemahan.
Ada orang Umno, keluar Umno masuk parti pembangkang, lawan Umno dalam pilihan raya dan masuk Umno kembali dan kini menjadi Menteri. Adakah ini tidak salah dan tidak berdosa kepada Umno?
Dengan hujah ringkas saya ini, saya menjemput pelayar-pelajar blog yang sudi membawa tulisan saya supaya terus memberikan komen supaya kita dapat mencari kesimpulan yang lebih baik, pemimpin macam manakah yang dipelrukan dalam alaf sekarang. Adakah pemimpin yang bersifat seperti Dr. Fuat Zarkashi dan Datuk Saifuddin Abdullah yang menyokong pandangan Dr. Mahathir Mohamad tetapi dalam masa yang sama, mereka sendiri ‘sibuk menepis’ kedatangan kawan-kawan ke pejabatnya takut ada yang meminta pertolongan mendapatkan tender-tender kementerian atau pemimpin yang tidak perlu bersusah payah berjuang dalam Umno, tetapi akhirnya dapat habuan kerana kononnya mereka lebih pandai dari orang-orang Umno termasuklah seperti Datuk Jamil Khir yang menjaga hal ehwal Agama Islam dalam kabinet Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Khamis, 24 September 2009
Terima kasih atas komen anda…
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan