Ahad, 30 Ogos 2009

Terima kasih Datuk Ahmad…kata keluarga Mohamad Ayub


Oleh Malek Saiful Muda

BAGI Mohamad Ayub Mansur, 7 tahun, dia mungkin belum dapat merasai kesyukuran kedua ibu dan bapanya, Haryati Ahmad Fauzi dan Mansor Embong apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri Terengganu menanggung kos pembedahannya, berjumlah RM30,000.

Menurut Haryati, banyak perbelanjaan telah dikeluarkan merawat anaknya yang mengidap penyakit jantung berlubang sejak dia dilahirkan tetapi kesediaan Kerajaan Negeri menanggung kos pembedahan merupakan berita paling gembira dalam bulan Ramadan ini.

Menurutnya, Ramadan tahun ini amat bermakna bagi mereka sekluarga apabila kerajaan negeri bersedia menanggung kos pembedahan anaknya.

Lebih bermakna lagi, berita gembira itu disampaikan sendiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mengunjungi rumah keluarga Haryati di Kampung Tok Ku, Cabang Tiga dekat Kuala Terengganu.

Haryati berkata, dia tidak menyangka kesukarannya untuk menanggung kos rawatan anaknya itu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Katanya, dengan sumbangan yang diberikan itu insyaAllah anaknya akan pulih dan dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

“Setiap kali melihat wajah Ayub yang lesu saya bimbang berlaku sesuatu kepadanya selain risau memikirkan persekolahannya yang sering ditinggalkan sehingga pihak sekolah memberi amaran untuk membuang Ayub.

“Namun tiada apa yang saya boleh dilakukan kerana Ayub sentiasa tidak bermaya untuk ke sekolah ekoran sering lelah dan demam,” katanya sambil memberitahu Ayub hanya ke sekolah dua atau tiga kali dalam seminggu.

Haryati berharap, selepas pembedahan tersebut Ayub akan sihat dan boleh menyambung persekolahannya semula.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar ketika ditanya mengenai sumbangan itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Katanya, setelah selesai memperoleh semua maklumat tentang keadaan Ayub, pembedahan akan dijalankan segera dan kerajaan negeri akan menanggung semua kos pembedahannya.

“Kita juga akan minta ibu bapanya memaklumkan kepada pihak sekolah agar tidak membuang Ayub,” katanya. (Berita Mingguan Malaysia)

1 ulasan:

C L J berkata...

Mujurlah orang susah di KT mendapat perhatian YAB MB sendiri. KT dah tak ada MP.