Sabtu, 29 Ogos 2009

Macam ada yang tak kena dengan Geng 10 di Terengganu



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kena tahu cerita ini. Salah seorang ADUN yang pernah dengan ‘cetek fikirannya’ memboikot persidangan DUN Terengganu, kini sudah mengorak langkah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin PKR.
ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad dalam kenyataannya kepada portal Malaysiakini mengesahkan memang ada rundingan dengan beberapa wakil rakyat berhubung cadangan untuk lompat parti.
Arahan siapa ya perundingan ini boleh berlaku? Ketika jurucakap Geng 10, Datuk Rosol Abdul Wahid menafikan ada pertemuan dan perundingan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nawi pula bercakap dalam nada yang berlainan.
Apakah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tahu dan diberitahu mengenai perkembangan ini?
Kumpulan ini, selagi tiada tindakan yang betul-betul ‘brutal’ dikenakan terhadap mereka, mereka akan melakukan apa sahaja, demi untuk menjahanamkan Umno dan BN di Terengganu. Mereka akan berhenti berbuat demikian, jika ketua mereka ‘diusir’ keluar dari Terengganu atau dengan bahasa lain, tarik balik gelaran yang pernah diberikan kepada ‘ketua mereka’.
Hishammuddin dan Najib pasti tahu siapa ketua kepada Geng 10 ini. Mereka bermaharajalela sekarang ini kerana mereka yakin ketua mereka melindungi mereka. Mereka percaya, ketua mereka adalah pencipta ketamadunan Islam dan Melayu di Terengganu. Tanpa ketua mereka, Terengganu mereka anggap tidak bertamadun.
Malahan, mereka ini juga menganggap bahawa pemimpin yang mereka sanjung ini adalah seorang pemimpin yang bertaraf dunia dan rugilah Najib tidak membariskan ketua mereka menjadi Menteri atau Timbalan Perdana Menteri kerana, selama ini mereka semua didodoikan dengan cerita-cerita, ketua mereka ini terlalulah hebatnya!
Betullah dakwaan portal berita ‘Malaysian Insider’ yang mengatakan ada pertemuan. Lokasi perjumpaan itu di sebuah hotel di Kemaman. Tarikhnya, selepas pilihan raya kecil DUN Manek Urai. Memetik kata-kata Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Ustaz Harun Taib, mereka ini adalah ‘kumpulan jijik’ jika mereka melompat.
Di sini Najib dan Hishammuddin kena ‘ukur’ atau letakkan ‘KPI’ Geng 10 ini. Spesis apakah mereka ini. Sekali cakap tidak ada pertemuan dan perbincangan dan sekali lagi cakap ada pertemuan dan perbincangan. Jika Malaysian Insider boleh menghidu lokasi dan tarikh pertemuan, mustahil Polis Cawangan Khas tidak dapat menghidunya. Mustahil tiada laporan diberikan kepada Menteri Besar dan Perdana Menteri, termasuk kepada Menteri Dalam Negeri.
Sia-sialah usaha Najib yang berjanji mahu mententeramkan Umno Terengganu dalam masa terdekat kerana ketika Najib memikirkan formula ‘mententeramkan’ itu, ulat-ulat ini bergerak pantas untuk memintas jalan menumbangkan kerajaan.
Mereka tidak ada memasang niat lain, kecuali memastikan Umno dan BN terkubur di Terengganu. bagi mereka, hanya seorang sahaja yang layak untuk menjadi Menteri Besar Terengganu, yang akan mereka sokong kerana orang itu adalah pemimpin bertaraf dunia yang jauh lebih hebat dan jauh lebih handal dari Najib dan Hishammuddin.
Jika Najib dan Hishammuddin tidak pernah mencipta tamadun, pemimpin yang Geng 10 agung-agungkan ini adalah pencipta tamadun. Lagu ini sentiasa didodoikan selama era kepimpinan seseorang di Terengganu dari 2004-2008. Maka, terlenalah mereka ini hingga mereka tidak sedar bahawa Perdana Menteri Malaysia sekarang bukan lagi Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Umno sudah bertukar dari Abdullah kepada Najib.
Berita yang disiarkan Malaysiakini disiarkan sepenuhnya di bawah;





ADUN akui ada rundingan keluar Umno

Salhan K Ahmad & Abdul Rahim Sabri
Ogos 28, 09
6:16pm

Seorang wakil rakyat Umno Terengganu hari ini mengakui memang ada rundingan melibatkan beberapa orang wakil rakyat lain parti berkenaan berhubung cadangan untuk lompat parti.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata cakap-cakap mengenai tindakan untuk meninggalkan Umno bermula sejak dua bulan lalu, berikutan rasa tidak senang dengan kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini bermula daripada cadangan. Cadangan ini ada daripada PKR dan ada daripada individu," katanya kepada Malaysiakini, tanpa menamakan individu-individu berkenaan.

Jelasnya, pertemuan seumpama itu juga diadakan secara tidak rasmi di antara beliau sendiri dan beberapa lagi wakil rakyat Umno negeri itu.

Beliau turut mengesahkan terdapat sembilan orang wakil wakyat Umno yang kini tidak lagi menyokong kepimpinan ADUN Kijal.

"Memang betul kami tidak berpuas hati dengan menteri besar," kata Nawi lagi.

Ditanya sama ada wujud rundingan balas pihak menteri besar atau Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk memujuk mereka kekal dalam Umno, Nawi berkata: "Tidak ada."

Beliau juga menolak laporan media bahawa tindakan mereka itu akan disekat oleh pemimpin-pemimpin tertentu PAS Terengganu.

"Maknanya sekarang ini, bebaslah (kami) sama ada hendak kekal atau hendak keluar daripada parti," katanya.

Sementara itu, ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah pula tidak tahu-menahu mengenai rancangan sembilan wakil rakyat Umno di negeri itu untuk menyertai PKR.

"Saya sendiri tidak pernah mendengar (nak lompat). Belum ada lagi yang nak lompat,” kata wakil rakyat Umno itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

"Kita tidak pernah berbincang tentang perkara ini."

1 ulasan:

C L J berkata...

Buatlah apa yang patut.
Cakaplah apa yang sedap.
Asal rambut masih kental.
Asal tepung masih sekepal.