Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
BAGI orang-orang Umno, mungkin mereka tidak mahu menyentuh akhbar Harakah. Atas sebab itu, dipetik satu berita yang disiarkan Harakah Bil 1469 31 Ogos- 3 September 2009 bertajuk Exco dedah tujuh projek bermasalah.
Mudah-mudahan, Geng 10 di Terengganu, yang berhempas pulas mahu merosakkan imej kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, mengambil tahu bahawa ketika pentadibiran bekas Menteri Besar yang lalu, projek-projek ini mereka laksanakan secara tidak berhemah menyebabkan kepimpinan sekarang menghadapi masalah.
Mudah-mudahan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tahu kisah sebenar apa yang berlaku di Terengganu dan Geng 10 tidak kisah jika ada bangunan runtuh asalkan mereka boleh meruntuhkan ‘institusi pemerintahan’ Datuk Ahmad Said.
Disiarkan petikan berita tersebut;
Kuala Terengganu: Dewan Undangan Negeri Terengganu diberitahu sejumlah tujuh projek kemudahan awam, bangunan serta mercu tanda Kerajaan Negeri Terengganu dikategorikan sebagai bermasalah.
Pengakuan ini dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut.
“Antaranya Dewan Sekolah Menengah Bukit Besi, Dungun, Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai yang struktur bumbungnya runtuh, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin juga bumbungnya runtuh.
“Stadium Tertutup di Kompleks Gong Badak juga masih dalam proses baik pulih. Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Seberang Takir mengalami masalah siling runtuh.
“Pusat Akuatik Kolam Renang di Batu Burok yang mengalami masalah kebocoran dan diarah tutup, Taman Tamadun Islam (TTI) yang masih dalam kerja-kerja pembaikan,” jelasnya.
Menurut Yahya, jangkaan kos baik pulih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh menelan belanja RM35 juta.
Dalam perkembangan lain, sebuah menara komunikasi bernilai RM15 juta tumbang dan menghempap Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Hulu Besut yang terletak tidak jauh dari menara tersebut. Menteri Besar dipetik sebagai berkata, menara tersebut dibina oleh kontraktor tempatan sejak tiga tahun lalu dan dipecahkan beberapa fasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan