Khamis, 6 Ogos 2009

Kelantangan Muhyiddin memang dinanti-nanti


Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)
citra_bangsa@yahoo.com

SATU perangai kurang baik yang ada pada kepimpinan Umno hari ini ialah ‘membiarkan’ kawan-kawan mereka dibelasah. Bagi mereka, biarlah pembangkang membedal pemimpin Umno asalkan jangan usik nama mereka.
Terkini, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang membidas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menerima ‘surat peguam’ Anwar dan ketika ini, Muhyiddin kelihatan bersendirian.
Khabarnya, Muhyiddin menerima SMS yang bukan sedikit dari kenalan dan kawan-kawan dalam Umno kerana mahu memberi sokongan moral kepada kenyataannya itu tetapi, secara terbuka, mereka di kalangan Pemuda, Wanita, Puteri, Naib-Naib Presiden, Ahli MT dan kepimpinan semua peringkat di bahagian-bahagian, sedang menyembunyikan diri.
Mereka ini, berani di belakang tetapi mahu membiarkan Muhyiddin yang mempertahankan Umno, bersendirian. Barangkali, mereka tidak mempunyai keberanian yang setanding dengan Muhyiddin dan kemungkinan juga, mereka memang dilahirkan dalam bulan ‘seram’ dan hari muram.
Sebenarnya, Muhyiddin pun tidak memerlukan sokongan dari sesiapa kerana darah pahlawan yang ada pada diri Muhyiddin telah membuktikan beliau sedia ‘bertempur’ bersendirian tanpa memerlukan pertolongan sesiapa.
Namun, Umno ini bukan Muhyiddin seorang yang punya. Umno di punyai oleh 3 juta ahlinya dan dari 3.5 juta ahli itu, ada tiga Naib Presiden, ada seorang Ketua dan naib ketua Pemuda, Wanita dan Puteri, selain dari Exco-exconya.
Umno juga mempunyai 40 ahli Majlis Tertinggi (MT), selain mempunyai Pengerusi Badan-Badan Perhubungan Umno negeri-negeri, timbalan-timbalan pengerusi, ketua-ketua penerangan, setiausaha-setiausaha dan ketua-ketua bahagian serta sayap tiga peringkat.
Malangnya, semua mereka ini sedang bersembunyi di sebalik sehelai lalang. Mereka membiarkan Muhyiddin diserang Anwar Ibrahim ekoran kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan Anwar sebagai pengkhianat.
Rugikah mereka jika mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Muhyiddin yang juga merupakan pendirian Umno? Kalau tidak rugi, kenapa menyepi? Apakah ini bukan musim pertandingan menyebabkan mereka tidak merasakan ‘keuntungan’ jika bercakap dan hakikat sebenar, mereka ini takut diserang Anwar.
Ketua Pembangkang itu meminta Muhyiddin meminta maaf darinya tetapi Muhyiddin memilih untuk tidak berbuat demikian. Inilah kelebihan Muhyiddin dan tidak rugilah perwakilan Umno yang berjumlah 2,600 orang mengundinya, kecuali 951 yang memberi undi kepada Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Di mana Munyiddin menyebut yang Anwar ini adalah pengkhianat? Muhyiddin dipetik sebagai berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu.
Muhyiddin berkata demikian di Umno Bahagian Seri Gading, salah satu bahagian yang cukup bersejarah dalam politik negara ini. Umno Bahagian ini dipimpinan Timbalan Pengerusi Tetap Umno Malaysia, Datuk Mohamad Aziz dan Seri Gading pernah diwakili Allahyarham Tun Hussein Onn, Datuk Mustaffa Mohamad dan Allahyarham Mohd Yassin Kamari.
Khabarnya Anwar cukup terkejut dengan ‘bidasan’ Muhyiddin ini. Itulah sebabnya, tidak dia tidak menunggu lama untuk meminta peguamnya supaya menghantar surat menuntut maaf darinya jika tidak mahu disaman.
Namun, Anwar yang sudah semakin keliru sekali lagi tersentak apabila Muhyiddin menegaskan bahawa “saya memilih untuk tidak meminta maaf”. Jika selama ini Muhyiddin dilihat sebagai seorang yang pendiam, susah tersenyum dan sering melalui kesukaran untuk naik dalam politik, kini sudah menunjukkan ‘belangnya’.
Oleh itu, jika Anwar dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berani dibidasnya, Muhyiddin sebenarnya membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia, bahawa beliau memang layak berganding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga merupakan seorang pemimpin yang cukup berani, tegas dan bersemangat.
Umno sebenarnya sudah lama merindui watak-watak seperti Muhyiddin ini. Umno kehilangan Saadon Jubir, Jaafar Albar, Harun Idris dan Dr. Ismail Abdul Rahman.
Umno sebenarnya memang teraba-raba mencari seseorang yang lantang untuk berdepan dengan karut-marut pemimpin yang disifatkannya sebagai ‘lidah bercabang’ dan putar-belit fakta sebenar.
Hari ini, kerinduan ahli-ahli Umno terubat. Muhyiddin muncul ketika ianya sangat-sangat diperlukan. Tiada siapa yang berani menyerang Anwar dengan kata-kata pengkhianat, lidah bercabang dan memutar belitkan fakta, kecuali Muhyiddin.
Tentunya Anwar tidak dapat menerima bidasan Muhyiddin itu. Malahan, selama ini ramai yang mengatakan Muhyiddin adalah orang Anwar dan salah satu sebab mengapa Muhyiddin agar tercicir dari hirerki kepimpinan Umno suatu ketika dahulu, kerana fitnah ini.
Malahan, selama ini Anwar yang menumpang pengaruh Muhyiddin, kononnya mahu dilihat sebagai seorang yang mempunyai pengaruh yang kuat di Johor ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor.
Padahal, sejarah membuktikan, Muhyiddin tidak pernah meminggirkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan dalam masa yang sama, melebihkan Anwar Ibrahim ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Biasalah, Muhyiddin dicemburui kerana kebolehannya. Muhyiddin dibenci kerana bekerja kuat untuk parti dan negara tetapi mereka yang mengkritiknya sering kali memfitnahnya dengan cerita-cerita Muhyiddin mengadai tanah dan pembangunan di Johor kepada Singapura.
Terbaru, dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob mendakwa Muhyiddin menjual banyak tanah kepada Singapura dan apabila Muhyiddin meminta Salahuddin membuktikan dakwaannya, bekas Ketua Dewan Pemuda Pas itu berdiam diri.
Khabarnya, Muhyiddin masih tidak berhenti-henti menerima SMS dengan kata-kata sokongan ekoran kenyataannya itu.

Tiada ulasan: