Jumaat, 28 Ogos 2009

Kalaulah sikap MB boleh menjadi contoh…


Oleh Zainal Yusof

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said nampaknya cukup berhati-hati apabila bercakap mengenai pakatan 10 ADUN yang kini menjadi bahan berita panas, ekoran ada dakwaan mengatakan mereka yang dikenali sebagai Geng 10 sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri Terengganu yang ingin menyertai pakatan 10 ADUN.

Menurutnya, sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, beliau tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kerana mempunyai ketua yang harus dihormati dan dipatuhi.

“Saya tidak boleh memutuskan untuk mengambil tindakan atau tidak, seperti yang saya jelaskan, bukan kuasa saya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Zakat bagi Dewan Undangan Negeri Kijal di Bandar Seri Bandi, Kemaman baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa pakatan 10 ADUN yang menentangnya itu kini semakin bertambah kepada 18 ADUN.

Datuk Ahmad memberitahu, sebarang bentuk spekulasi dalam politik adalah perkara biasa dan beliau tidak akan meninggalkan pesanan kepada mana-mana ADUN yang menyertai pakatan berkenaan.

“Kalau media rasa bertambah, tulislah jumlah tersebut, saya tidak boleh komen apa-apa. Lagipun saya tidak boleh menjatuhkan hukuman, bukan kuasa saya.

“Saya tidak boleh memutuskan untuk mengambil tindakan atau tidak terhadap ADUN seperti yang saya jelaskan, bukan kuasa saya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Ulasan dan kenyataan Menteri Besar Terengganu ini membuktikan beliau tidak mempunyai sangkaan buruk kepada sesiapa di kalangan ADUN Umno di Terengganu walaupun di luar, pelbagai pihak mengatakan semakin ramai ADUN Umno dari Terengganu berusaha untuk menjatuhkan kepimpinan beliau.

Sehubungan dengan itu, Datuk Ahmad dilihat mahu menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk melihat dan mengambil tindakan terhadap ADUN Umno yang bukan setakat memburuk-burukkan parti sebaliknya sudah sampai merosakan imej parti di mata umum.

Namun, setakat ini, tidak kedengaran mana-mana pihak di Kuala Lumpur yang berani mengambil tindakan terhadap gelagat 10 ADUN Terengganu yang didakwa telah menyebabkan imej parti itu rosak.

Malahan, 10 ADUN ini dikatakan mendapat layanan istimewa dari ‘pihak Kuala Lumpur’ kerana khabarnya 10 ADUN ini dikatakan cukup rajin berada di Kuala Lumpur jika dibandingkan berada di kawasan yang mereka wakili.

Berbanding dengan ADUN-ADUN lain, masing-masing sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing hingga tidak mempunyai banyak masa ke Kuala Lumpur dan pergi dari satu pejabat ke satu pejabat untuk mencerca orang lain.

Menteri Besar sendiri tidak membenarkan mana-mana ADUN yang simpati dengannya untuk menjalankan kerja-kerja mempertahankan dirinya di Kuala Lumpur sebaliknya beliau mengarahkan semua wakil rakyat sentiasa mendekati rakyat dan merasai denyut nadi rakyat.

“Saya mahu wakil-wakil rakyat mengutamakan rakyat dan jangan membuat kerja-kerja untuk kepentingan puak atau diri masing-masing,” beliau dipetik sebagai berkata.

Kalaulah sikap MB ini boleh dijadikan contoh…alangkah baiknya imej parti di mana umum!

Tiada ulasan: