Sabtu, 29 Ogos 2009

Kenapa Datuk Ahmad pernah ajak Adun Pas bertumbuk?


Oleh Malek Saiful Muda

SELAMA ini, apabila terbaca satu artikel dalam Sinar Harian bertarikh 8 Ogos 2009, ada artikel bertajuk ‘Apa kalutnya politik Terengganu’ dan ulasan pajang lebar serta penghinaan dari blogger Abdul Mubin Ismail dalam blognya ‘jaranganakmelayu’ bertarikh 9 Ogos 2009 bertajuk Yang Tak Terkata Tapi Tertulis’ saya membayangkan ada sesuatu yang tak kena pada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Tulis Sinar Harian;

‘Ketika jawatan Menteri Besar Terengganu masih panas selepas pilihan raya umum yang lalu, sebuah akhbar bahasa Inggeris pernah menyebut Ahmad Said mempunyai psikologi yang tidak stabil kerana beliau pernah mencabar ADUN Pas bergaduh di luar Dewan Undangan Negeri itu. Selain itu, akhbar berkenaan mendedahkan bahawa Ahmad Said lemah penguasaan bahasa Inggerisnya, walaupun diakui ini bukannya kriteria penting untuk menerajui sebuah negeri di Pantai Timur. Baru-baru ini, akhbar itu memaparkan Ahmad Said kerana gaut, terpaksa dipapah ketika menghadiri majlis di Istana Maziah.’

Tulis pula Abdul Mubin;

\(1) Tak baik mengatakan MB Mat Said orang yang mempunyai psikologi yang tidak stabil semata-mata kerana dia mencabar ADUN PAS bergaduh di luar dewan. MB Mat Said bukan ‘mencabar untuk bergaduh’ tetapi hanya sekadar ‘mengajak’ Wahid Endut (Adun PAS Wakaf Mempelam) bergomol di luar dewan saja. Selain itu tak ada lagi… Yang sebelum itu, masa awal-awal jadi ADUN dan dilantik sebagai YDP MDK, beliau hanya sepak terajang bakul sayur penjaja sayur di pasar Kemaman. Bukan sepak terajang orang. Itu bukan bergaduh. Bergaduh antara orang dengan orang, bukan orang dengan bakul

Tahukah pembaca, khususnya peminat politik di luar Terengganu kenapa YAB Datuk Ahmad Said mencabar seorang ADUN Pas, Mohd Abdul Wahid Endut untuk bertumbuk? Adakah beliau memang tidak stabil psikologinya?
Lebih menghairankan, Datuk Ahmad tidak pula menjawab ‘serangan’ media-media tersebut, sebaliknya memilih untuk berdiam diri. Mereka yang tahu sekali pun kenapa Datuk Ahmad bersikap sedemikian, tidak langsung bercakap untuk menyatakan kebenaran hanya kerana bimbang ‘saham’ Datuk Ahmad ‘menaik’.
Rupa-rupanya, kejadian mencabar YB Mohd Abdul Wahid Endut untuk ‘bertemu satu dengan satu’ dibuat ekoran dakwaan wakil rakyat Pas itu bahawa Kerajaan Negeri Terengganu lebih teruk dari Yahudi.
Ketika dakwaan itu dibuat, Menteri Besar Terengganu adalah Datuk Seri Idris Jusoh. Datuk Ahmad hanyalah salah seorang Exco yang bangkit mempertahankan kerajaan negeri dan bukan kerana ‘psikologinya tidak stabil’.
Keberaniannya tidak disenangi. Ada sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyelarnya. Kemudiannya, akhbar harian berbahasa Melayu pula mengutip cerita itu. Disambung lagi oleh blogger Abdul Mubin Ismail.
Tiada siapa yang bangkit mempertahankan Datuk Ahmad. Apabila ada blogger yang cuba mencari kebenaran, ada pelayar laman-laman portal menyindir kononnya dibayar melalui bank akaun dan sebagainya.
Abdul Mubin pula kerap menggelar blogger yang mempertahankan fakta dan kebenaran sebagai ‘lembu yang bergembala’.
Dalam kesibukan memfitnah itu, mereka semua lupa bahawa Allah menjanjikan ‘apabila datang kebenaran maka lupuslah kebatilan’ .
Penulis Abdullah Ngah menulis dalam Siasah 30 Ogos-5 September 2009; ‘Datuk Ahmad Said, ketika Mohd Abdul Wahid Endut menyatakan bahawa kerajaan Terengganu lebih teruk dari Yahudi tidak lama dahulu naik berang. Pendek kata dia tidak terima sama sekali.
Beliau begitu marah dan tergamak mengeluarkan kata-kata “jahat itu Yang DiPertua” terhadap YB Mohd Abdul Wahid Endut, mereka berdua bertikam lidah termasuk mencabar untuk membuat perhitungan seorang lawan seorang di mana-mana sahaja’.
Kebetulan Ahmad Said seorang Exco kanan dan bertanggung jawab mempertahankan kerajaan yang diterajui Idris Jusoh dari dituduh sebagai kerajaan yang teruk macam Yahudi.

Apa yang peliknya dalam keadaan politik sekarang, tiada siapa tahu sebenarnya Datuk Ahmad Said seorang hero kepada Umno dan Barisan Nasional (BN). Namun, kehebatannya mahu dikambus oleh mereka yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Kehebatan Datuk Ahmad berhadapan dengan Pas menjadi satu kesalahan pula oleh mereka yang tidak bersetuju dengannya. Padahal, inilah hero Umno Terengganu dan inilah orangnya yang layak menjadi Menteri Besar selepas Idris Jusoh digugurkan.
Blogger Abdul Mubin pastinya tahu kisah ini tetapi disebabkan ‘matanya sudah dibutakan, telinganya sudah dipekakkan’ dan jiwanya sudah tidak dapat mempertahankan kebenaran, maka dia sama-sama dengan akhbar berbahasa Inggeris dan sebuah akhbar berbahasa Melayu, memutar belitkan fakta.
Datuk Ahmad Said sebenarnya mengadai nyawa mempertahankan kerajaan BN di bawah kepimpinan Idris Jusoh telah dianggap sebagai seorang yang ‘psikologi yang tidak stabil’ sedangkan inilah sebenarnnya kewajiban seorang ahli parti yang setia dan bertanggungjawab.
Ketika Exco-exco lain sibuk mengira komisen membina stadium, pusat akuatik dan pemebesaran lapangan terbang, Datuk Ahmad mengenepikan semua keseronokkan itu kerana keikhlasannya untuk mempertahankan kerajaan negeri.
Namun, apa yang diterimanya sekarang ialah fitnah dan cacian dari kawan-kawannya dahulu yang sama-sama berjuang untuk mempertahankan parti dan negeri.
Apakah Idris Jusoh tidak ingat semua ini? Apakah Datuk Rosol Abdul Wahid tidak sedar perkara ini? Apakah Datuk Din Adam tidak tahu menahu kehebatan Datuk Ahmad Said ini?

Tiada ulasan: