Selasa, 28 Julai 2009

Yasmin Ahmad…Pemergianmu tiada pengganti


Oleh Daud Hj Ibrahim
daud772@hotmail.com

SELAMA hayatnya, saya tidak pernah dapat berjumpa dengannya. Tetapi, tiba-tiba datang suatu perasaan sedih dan hiba secara tiba-tiba apabila mendapat tahu Yasmin diserang strok ketika ‘membentangkan’ kertas kerja.
Bagi saya, kemampuan dan kebolehannya, tidak memerlukan Allahyarham membentangkan apa-apa kertas kerja kalau mana-mana pihak mahu menerbitkan program atau projek yang Allahyarham cadangkan.
Kebetulan, Yasmin berasal dari Muar dan saya juga. Saya teringat di zaman persekolah ketika saya mula-mula terjun ke dunia teater dan penulisan. Ketika itu tidak pernah terdengar nama Yasmin Ahmad. Yang saya ingat Rosminah Tahir, Saparman Bakri, Zulkarim Daud dan Mokhtar Yusof.
Kebolehannya saya kagumi sejak sekian lama. Namun saya pendamkan sahaja perasaan itu tetapi tetap menghargainya. Cuma, saya anggap kehadirannya dalam dunia perfileman dan pengiklanan ini seolah-olah secara tiba-tiba sahaja.
Rekod kerjanya sudah membuktikan. Pemikirannya tidak tercapai mereka yang tidak melalui jalan yang Allahyarham lalui. Walaupun masyarakat setempat memandang rendah kebolehannya, namun masyarakat luar, amat menghargainya.
Akhirnya, Allah mengambilnya dalam masa yang begitu pantas. Doakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan para solehah. Rasa sedih saya membawa saya mengajak anak-anak dan seluruh keluarga membacakan al-Fatihah untuk disedekahkan kepada roh Allahyarham. Pemergiannya tiada pengganti.
Ya Allah! Sesungguhnya Kau lebih mengetahui sebab apa kau ambil nyawa Allahyarham Yasmin dalam keadaan dunia perfileman dan pengiklanan masih memelerlukan sentuhan ajaibnya. Jika itu yang terbaik, Kau ampunilah dia dan kau balaslah segala jasa dan budinya dengan pembalasan yang terbaik.
Kau ampunilah dosa-dosanya dan sesungguhnya Kau maha pengampun. Amin.

Tiada ulasan: