Selasa, 28 Julai 2009

Umno jangan layan karenah Nik Aziz


Oleh Zainal Yusof
citra_bangsa@yahoo.com

KETIKA ini, orang-orang Umno sedang ‘merayakan’ kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperlihatkan dia seorang ‘ahli politik’ yang tidak pernah konsisten. Bagi orang Umno, barangkali, sikap terbuka Nik Aziz itu ‘baik’ buat orang-orang Melayu dan agama Islam.
Menurut Nik Aziz, dia tidak bermusuh dengan individu yang berada di pihak lawan sebaliknya pemusuhan berlaku melibatkan ideologi yang dibawa oleh parti tertentu.
Sepatutnya, para pemimpin Umno jangan melayan karenah Nik Aziz ini. Biarlah Mustapa Mohamed sahaja berurusan dengan dia kerana memetik kata-kata Mustapa; “saya anak Kelantan, saya orang Melayu dan saya beragama Islam” sama seperti Nik Aziz.
Orang lain, termasuk Muhyiddin Mohd Yassin, Hishammuddin Hussein Onn, Zahid Hamidi dan Rzali Ibrahim lebih baiklah buat kerja-kerja lain dan jangan terperangkap dengan poliitk Nik Aziz. Dalam otak Nik Aziz, orang lain tidak seIslam sepertinya dan orang lain semuanya orang politik tetapi dia seorang sahaja ulama, kononnya.
Nik Aziz ni jenis manusia yang tidak tengok cermin. Dia ingat dia seorang sahaja pandai dan orang lain tidak sepandainya. Dia suka menghina orang dengan cara dia bercakap. Dia menjawab permintaan Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak, kononnya Dr. Zambry orang politik maka saranan Dr. Zambry hanya perlu dijawab secara politik.
Kalaulah boleh Umno ‘lupakan’ terus Nik Aziz ini adalah lebih baik. Kalau kuat Umno menyerang Nik Aziz, Umno akan bertambah sokongan dari rakyat jelata. Rakyat sudah lama sangat jemu dengan permainan politik Nik Aziz yang ‘menjadikan Islam sebagai alat dia mahu mencari sokongan kepada Pas’.
Cukuplah. Umno sudah buat yang terbaik untuk mendaulatkan Islam. Perjuangan Umno memperkuatkan Melayu sekaligus menjadikan Islam semakin kuat dan utuh. Nik Aziz ni biarlah dia duduk ‘serumah’ dengan Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib yang pernah menyebut ‘di Amerika ada masjid, di Singapura ada masjid dan di Australia ada masjid’.
Ini menunjukkan mereka ini tidak faham, tidak tahu dan kurang cerdik ketika menjawab cabaran Muhyiddin Mohd Yassin yang mahu Pas menyenaraikan apakah yang sudah Pas buat selama ini untuk mempertingkatkan kedaulatan Islam di negara ini.
Teringat saya kisah seorang kawan, yang juga kurang cerdik memarahi anggota polis yang menahan keretanya kerana dikatakan melebihi had laju. Sambil marah-marah, kawan saya yang kurang cerdik itu berkata; “Kenapa datuk nak saman saya. Kereta lain juga laju-laju,”
Disebabkan anggota polis ini cerdik, lebih cerdik dari mereka yang kurang cerdik, maka dia tidak menjawab apa-apa sebaliknya menulis surat saman dan menyerahkannya kepada pemandu yang kurang cerdik tersebut.
Bila membandingkan pengalaman pemandu yang kurang cerdik ini dengan Ketua Dewan Ulama Pas dan Nik Aziz dalam isu Muhyiddin meminta Pas menyenaraikan apa dia projek yang Pas sudah buat selama ini untuk membuktikan mereka melakukan sesuatu untuk mendaulatkan Islam, dapatlah saya faham dengan sedalam-dalamnya.
Kesihan orang Pas. Kesihan penyokong Pas. Kesihan mereka yang simpati kepada Pas. Mereka mempunyai pemimpin seperti Nik Aziz dan mereka ada Ketua Dewan Ulama seperti Harun Taib. Kelebihan Pas, selagi mereka ada penyokong yang sanggup menyalakan lilin untuk memperingati kematian Beng Hock, Pas ada penyokong yang sanggup berguling-guling atas jalanraya, Pas ada penyokong yang sanggup mogok lapar dan Pas masih ada pemimpin yang ikut berdoa kononnya bersidang di bawah pokok, maka Pas akan hidup.
Maknanya, pemimpin Pas tidak perlu merancang bagaimana untuk membangunkan kawasan yang diwakili. Pemimpin Pas tidak perlu merancang bagaimana untuk membangunkan daerah yang mereka diami. Pemimpin Pas tidak perlu memikirkan bagaimana mahu membangunkan negeri, negara dan insan. Mereka hanya merancang apa yang perlu mereka bohongi rakyat ketika berceramah dan mengaitkan Pas kononnya sebuah parti Islam yang ada persamaan dengan perjuangan Rasulullah.
Kesihan orang Pas. Mereka yakin dengan apa yang mereka dengar dari penceramahnya bercakap. Mereka ingat, penceramah Pas tidak ada masalah rumahtangga. Mereka ingat pemimpin mereka tidak ada masalah membayar nafkah anak-anak. Mereka lupa, orang-orang Pas dan pemimpin-pemimpin Pas pun pernah ditangkap berkhalwat.
Malangnya, pemimpin Umno seperti terpesona sangat dengan kata-kata Nik Aziz mahu melupakan semua pengsengketaan. Pemimpin Umno mengharapkan Pas akan sanggup untuk duduk berbincang dengan Umno demi orang-orang Melayu.
Tidak perlu sebenarnya. Pas tetap Pas. Pas sekarang adalah sama dengan Pas dahulu yang pernah Umno kenali. Pas hari ini adalah Pas dulu yang tidak habis-habis menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mencari undi.
Umno mempunyai sejarah yang panjang membela nasib bangsa Melayu. Umno mempunyai sejarah yang lama kerana memperjuangkan Islam. Umno adalah pembela seluruh rakyat Malaysia walaupun hari ini sudah ada orang-orang bukan Melayu yang bersikap kurang ajar dengan orang-orang Melayu.
Umno dan Pas jauh berbeza. Umno melakukan perubahan dan Pas tidak. Umno membawa pembaharuan tetapi Pas tidak. Umno pembela tetapi Pas tidak. Umno adalah pejuang tetapi Pas tidak. Mengapa Umno kepingin sangat mahu berbaik-baik dengan Pas? Serang aje Pas habis-habisan.
Cukuplah apa yang sudah Pas lakukan terhadap Umno. Ketika Umno menyingkirkan Anwar Ibrahim, Pas menyambutnya dengan meletakkan Anwar sebagai wira kononnya. Hakikatnya, Pas tahu siapa Anwar tetapi demi bermatlamat mahu memusnahkan Umno, Pas sambut kedatangan Anwar seperti menyambut kelahiran seorang bayi yang bersih.
Bila Anwar tidak percaya kepada sistem kehakiman di Malaysia, Pas pun mengikutinya. Bila Anwar dan orang-orangnya menyerang polis, Pas pun ikut sama. Bila Anwar menyerang Umno, Pas apatah lagi, melompat kegembiraan. Sedangkan Pas tahu, Umno jauh lebih baik dari Anwar. Pas sedar, Umno lebih baik dari DAP dan Pas tahu Umno jauh lebih baik dari PKR, tetapi disebabkan Pas ini jenis ‘buaya makan bangkai’ maka, mereka bersatu dengan DAP, PKR dan para simpatisan mereka, menyerang dan memaki hamun Umno.

Tiada ulasan: