Oleh Saiful Malek Muda
citra-bangsa@yahoo.com
SUATU ketika dahulu, apabila Ahmad Shabery Cheek menjadi Menteri Penerangan, ramai yang tertawa dengan ‘gelagatnya’ selepas berdebat dengan Anwar Ibrahim. Seperti orang hilang pedoman, dia merubah waktu siaran berita jam 8.
Nasib baik dia tidak lama di Angkasapuri kerana kalau lebih lama dia di situ, lebih banyak yang dia hendak ubah, supaya orang tidak kata dia tidak ada membawa apa-apa perubahan ketika duduk di kerusi Menteri di Kementerian Penerangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ‘menurunkan’ pangkatnya dari Menteri Penerangan kepada Menteri Belia dan Sukan.
Najib nampak Shabery tidak ada kemampuan di Kementerian Penerangan. Lebih lama dia di Angkasapuri, bimbang juga jika dia ubahnya waktu berita jam 8 ke jam 12, dengan alasan mahu semua orang berada di rumah waktu itu.
Buat sekian kalinya, semua Menteri Belia dan Sukan adalah dari kalangan mereka yang ‘junior’ sebagai permulaan untuk melangkah menjadi Menteri, tetapi Shabery, Perdana Menteri ‘undurkan’ dia ke kerusi ‘junior’ untuk dia belajar semula untuk menjadi Menteri.
Kini, dia di KBS, dia sudah buat macam-macam pengumuman. Bukan main ramai budak-budak mentertawakannya. Cakap-cakapnya tidak berasas. Dia tidak layak menjadi Menteri tetapi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah ‘terlantik’ dia sebagai Menteri.
Baru-baru ini, dia umumkan KBS akan bangunkan industri sukan. Berdekah-dekah budak-budak ketawakan dia. Apa tidaknya, ketika pasukan Manchester United (MU) datang ke Malaysia, KBS dikatakan tidak tahu menahu. Pegawai-pegawai KBS termasuk Menteri tidak ‘dihormati’ walaupun pasukan bola ini adalah pasukan sukan yang ‘sewajarnya’ datang ke Malaysia dengan ‘concern’ KBS.
Malangnya, mereka tidak pedulikan Menteri Belia dan Sukan. Mereka yang terlibat membawa pasukan MU tidak tahu pun KBS ada Menteri dan perlulah dibawa berunding. Khabarnya, mengelabah kakitangan KBS yang ingin menonton perlawanan persahabatan antara MU dengan pasukan Malaysia mencari tiket untuk masuk ke stadium.
Lemah sungguh KBS di bawah Shabery. Industri sukan yang hendak dibangunkan itu pula apa bendanya? Dia tahu tak pasukan bolasepak yang terlibat dalam Liga M, termasuk Liga Perdana dan Liga Super, ada yang sudah empat bulan tidak bergaji?
Shabery boleh bercakap, persatuan-persatuan bola (FA) negeri-negeri tidak ada kena mengena dengan KBS dan dirinya. Ini jawapan ‘standard’ yang bakal keluar dari mulutnya.
Sebagai Menteri Belia dan Sukan, apakah Shabery tidak tahu perkara ini? Atau dia sudah tahu tetapi buat-buat tidak tahu. Atau dia memang tidak mahu ambil tahu. Atau, dia tahu tapi dia memang jenis tidak mahu menjadi manusia yang serba tahu.
Dengan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Ketua Penerangan Umno Negeri Terengganu dan Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT), salah satu langkah menarik minat golongan muda untuk berminat dengan Umno dan BN, berilah perhatian kepada golongan pemain bola ini.
Kalau pemain-pemain bola tidak dapat gaji sampai empat bulan, kepada siapa mereka hendak mengadu. Kalau mendedahkannya dalam surat khabar, nanti kena tindakan disiplin pula, digantung dari menjadi pemain. Kalau hal gaji pemain bola ini pun Menteri Belia dan Sukan tidak ambil peduli, Najib kenalah memikirkan balik siapakah yang seharusnya bertanggungjawab membela nasib pemain-pemain bola ini.
Begitu juga dengan jadual perlawanan liga bolasepak Malaysia. Pernahkah Shabery ambil tahu mengapa ia tiba-tiba berubah? Apakah kesannya dengan kebajikan pemain-pemain yang terlibat ini? Tahukah Menteri Belia dan Sukan bahawa terlalu banyak politiking dalam persatuan sukan negeri-negeri dan persatuan sukan kebangsaan?
Ambil tahulah. Kurangkan sedikit bercakap pasal mahu membangunkan industri sukan bagi menambah pendapatan negara. Ambil tahulah kalau ada pasukan dari luar negara hendak mengadakan perlawanan dengan pasukan Malaysia. Jangan sampai tidak dipedulikan langsung. Memalukan!
Cubalah fikirkan bagaimana cara hendak mencari satu mekanisme supaya pemain-pemain bola dibayar gaji sama seperti tarikh Menteri mendapat gaji setiap bulan. Bukan gaji pemain bola Malaysia setanding dengan gaji menteri, tetapi nasib mereka tidak terbela.
Lepas tu, cubalah bertanya dengan pemain-pemain bola ini, apakah mereka sudah mendaftar mengundi dan menjadi ahli kepada mana-mana parti? Buatlah kerja-kerja ini supaya keinginan Najib melihat golongan muda menyokong BN akan benar-benar berjaya.
Kalau Najib boleh turun ke Puduraya, ke Jalan Masjid India dan kawasan-kawasan yang kotor dan busuk, kenapa Shabery tidak pernah turun menonton perlawanan bolasepak negeri-negeri.
Turunlah. Bertanya kepada pemain-pemain dari Sabah dan Sarawak adakah mereka sudah menerima gaji bulan berkenaan. Pusingan liga sudah hamper berakhir, tetapi Shabery masih tidak bersedia untuk berbuat demikian tetapi, kelihatan terselit di belakang VVIP ketika menyaksikan MU menentang pasukan Malaysia.
Mudah-mudahan menjelang Ramadan dan Syawal ini, semua pemain bola yang masih belum menerima gaji sejak 4 bulan lalu, dibayar gaji atas ‘concern’ Menteri Belia dan Sukan yang sudah berubah dari seorang yang sering tidak diberitahu, kini dia sendiri cuba untuk ambil tahu demi kepentingan golongan muda dan belia.
Kalau ini semua dia buat, bermakna KPI nya sebagai Menteri mungkin tercapai. Najib kena pantau semua ini, jangan tertipu dengan mereka yang sibuk untuk berdebat, mahu membangunkan industri sukan dan mahu menonton perlawanan bolasepan MU dengan Malaysia, tetapi kerja sendiri, terabai.
Sabtu, 25 Julai 2009
Najib kena pantau KPI Ahmad Shabery Cheek
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan