Rabu, 29 Julai 2009

Perlukah ISA dimansuhkan?


Oleh Zamzuri Damanhuri

citra_bangsa@yahoo.com

TARIKH 1 Ogos ini adalah tarikh biasa yang tiada siapa memperdulikannya. Tetapi bagi Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) mereka mahu mengadakan perarakan. Mereka mahu berhimpun kononnya untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan ISA, satu akta yang mereka anggap zalim.

Kepada rakyat yang rasional, mereka perlu memikirkan – dengan wujudnya ISA di Malaysia, mereka ini masih boleh berhimpun, berarak dan membuat kecoh, termasuk menjadikan keadaan tidak terkawal – cuba bayangkan jika bentul-betul ISA sudah dimansuhkan?

Sebagai seorang rakyat Malaysia, yang datuk dan nenek saya memang orang Malaysia, saya sungguh terkejut dengan langkah mereka ini, khususnya Pas, PKR dan DAP yang menamakan diri mereka sebagai GMI – atau apa-apa nama juga, cuba mengelirukan rakyat kononnya ISA sebagai satu akta zalim!

Apa yang zalimnya? Berapa orang yang sudah ditahan di bawah akta ini? Adakah penahan terus menerus berlaku, setiap masa dan setiap hari? Apakah ada yang mati atau gila sewaktu ditahan di bawah ISA? Malahan ada yang menang pilihan raya ketika di tahan di bawah akta ini.

Malaysia sebuah negara aman makmur. Ada seorang dua (baca: segelintir) sahaja yang mahu melihat Malaysia tidak aman dan tidak makmur. Mereka ini jahat dan mereka ini kurang ajar. Mereka ini sering menyakiti hati orang lain dan mereka ini sering menimbulkan soal perkauman.

Golongan ini sebenarnya sudah boleh dihambat keluar dari Malaysia. Golongan ini tidak senang kalau Malaysia aman damai. Golongan ini sebenarnya tidak layak tinggal di Malaysia kerana mereka sengaja mahu menuntut yang bukan hak mereka.

Orang-orang yang menyokong Pas, mereka terikut-ikut rentak mereka ini kerana mahukan undi. Orang Pas teringin sangat mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia yang tentunya mereka baru terfikir, tidak akan dapat mereka rasa tanpa sokongan Cina dan India.

Maka, mereka sokong GMI ini, kerana mereka memilih menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR, demi mencapai cita-cita untuk menjamah kerusi Perdana Menteri.

Malaysia sebuah negara aman. Disebabkan keamanan inilah, Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh menjadi Menteri Besar Kelantan dengan melilit kepalanya dengan serban. Jika Malaysia tidak aman, nak pakai serban pun tidak sempat.

Malaysia ini sebuah negara harmoni. Jika Malaysia tidak harmoni, Nik Aziz tidak boleh bercakap pergi jahanamlah Umno. Tentu Nik Aziz dikepung dan dilontar dengan objek busuk jika dia pergi berceramah di merata tempat.

Namun, sebagai seorang Menteri Besar, disebabkan lama sangat telinganya tidak mendengar percakapan orang lain, maka dia boleh merapu ikut suka hati dia sebab dia perasan dia terlalu alim, terlalu tinggi sangat ilmu agamanya dan terlalu dekat dengan Allah.

Itulah sebabnya dia ingin sangat nak berarak dan berhimpun sekali dengan GMI, 1 Ogos ini di Kuala Lumpur. Dia tahu polis tidak akan berani menahannya. Dia tahu Malaysia akta ISA tidak digunakan kerana polis takut dengan GMI. Dia mencabar polis dan dia tahu polis tidak akan bertindak.

Kisah Pesuruhjaya Polis, Datuk Ramli Yusoff yang disiasat dan didakwa di mahkamah tidak pernah dipertahankan oleh DAP dan Pas. Jauh sekali PKR mahu memperjuangkan nasib seorang Pesuruhjaya Polis. Tetapi apabila ada wakil rakyat DAP disiasat SPRM, Malaysia seoah-olah dilanggar garuda.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pernah disiasat SPRM. Bukan sejam, bukan dua jam tetapi lapan jam. Bukan sekali tetapi banyak kali. Namun, tidak kedengaran suara dari mana-mana orang Umno – mendesak dipinda semula akta atau undang-undang yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menyiasat YAB atau YB dari Umno.

Kerana apa? Adakah kerana Umno penakut? Atau kerana Umno tidak ada kekuatan? Tidak! Umno dan penyokongnya diajar supaya menghormati perlembagaan dan udang-undang. Umno dan penyokongnya diajar menghormati mereka yang menguatkuasakan undang-undang.

Ahli MT Umno (kini bekas) didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh. Datuk Norza Zakaria didakwa terlibat dengan politik wang. Bukan jutaan ringgit, bukan ratusan ribu ringgit jumlah yang didakwa beliau terlibat sebaliknya, sekitar RM2 ribu. Tidak ada ada sesiapa yang terjun bangunan untuk menjadikan suasana tidak ternteram kepada rakyat Malaysia.

Kepada kepimpinan baru Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri yang sering dikelilingi timbunan fail yang tidak terurus, jangan sesekali tunduk dengan desakan bodoh ini. Biarlah mereka berhimpun dengan jumlah 10,000 orang, 20,000 ribu orang atau sejuta orang sekali pun.

Penduduk Malaysia, 25 juta orang memerlukan keadaan yang aman dan harmoni. Mereka itu, bukan mewakili kami yang tidak keluar berhimpun. Kami mahu hidup aman damai dan waktu hujung minggu kami, kami mahu gunakan untuk bersantai dengan anak-anak dan keluarga kami.

Dalam pembentangan bajet 2010 nanti, jika boleh tambahlah peruntukan membeli ‘water canon’ untuk persiapan menyembur mereka yang berhimpun setiap hujung minggu. Tidak kiralah mereka Hindraf ke, mereka Bersih kea tau mereka GMI. Mereka meminta diri mereka disembur dengan semburan berwarna-warni.

Kepada pihak polis termasuk FRU, mintalah bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jika tenaga tidak mencukupi. Kekauatan ini akan menjadikan mereka ‘belajar erti’ menghormati undang-undang.

Sebagai rakyat Malaysia, saya idamkan sebuah negara yang aman damai. Kekalkanlah ISA kerana terbukti akta ini tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk terus berhimpun dan memekik-mekik memaki hamun kerajaan dan pemerintah.

Kekalkanlah ISA kerana akta ini tidak menghalang orang yang ditahan dari terpilih menjadi wakil rakyat dan boleh mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat.

Kekalkanlah akta ini kerana terbukti dengan akta ini Lim Kit Siang sudah menjadi wakil rakyat sejak dia berusia 23 tahun. Anak dan menantunya juga kini bergelar YAB dan YB.

Kekalkanlah ISA kerana akta ini turut membantu Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri, kini menjadi Ketua Pembangkang. Isteri dan anaknya juga pernah dan sudah menjadi wakil rakyat.

Kekalkanlah ISA kerana akta ini memberi kesempatan kepada Karpal Singh yang berkerusi roda terpilih menjadi wakil rakyat dan kini dua orang anaknya turut bergelar YB yang memperlihatkan kepada saya, walaupun pernah ditahan di bawah ISA, sokongan rakyat terhadap mereka ini tidak berubah!

Tiada ulasan: