Sabtu, 1 Ogos 2009

Tugas berat Pas mempertahankan DUN Permatang Pasir



Oleh Zamzuri Damanhuri

WALAUPUN tidak sesuai sebenarnya berbincang soal pilihan raya kecil ketika kematian baru sahaja berlaku kepada seseorang wakil rakyat, tetapi suasana politik di Malaysia menuntut situasi begini.
Pemergian Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman, ADUN Permatang Pasit sejak 1999 pada 31 Julai 2009 adalah pemergian yang tidak disangka-sangka. Kebetulan Majlis Tertinggi (MT) bermesyuarat pada hari yang sama dan Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan BN akan meletakkan calon apabila berlaku pilihan raya kecil di situ nanti.
Allahyarham Mohd Hamdan menang kerusi DUN Permatang Pasir dengan majority 5,433 apabila mengutip 11,004 undi, manakala calon BN Ahmad Sahar Shuib hanya mendapat 5,671 undi dan terdapat 227 undi rosak.
Pas mungkin merasakan mereka tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi ini kerana ia merupakan kubu Pas dan PKR, tetapi dengan apa yang berlaku di DUN Manek Urai 14 Julai 2009 yang lalu, di mana BN hanya kalah dengan perbezaan 65 undi, sedikit sebanyak ia merisaukan juga.
Bagi Umno, kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil tidak sedikit pun menyebabkan parti ini terus mencuba kerana kebetulan Umno (BN) baru kalah sekali di kerusi sendiri iaitu Parlimen Kuala Terengganu.
Lain-lain kerusi, termasuk Permatang Pauh, Bukit Gantang, Manek Urai, Bukit Selambau dan Penanti memang kawasan yang sebelumnya dikuasai pembangkang.
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menasihatkan Umno supaya jangan meletakkan calon di DUN Permatang Pasir, satu nasihat yang tidak berguna apabila nasihat itu tidak diminta, tetapi tidak mustahil Umno mampu menawan semula kawasan ini kerana sejarahnya, DUN Permatang Pasir sebelum peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim 1998, adalah kawasan yang sentiasa diwakili ADUN dari Umno.
Kebetulan di Pulau Pinang, hanya DUN Permatang Pasir sahaja Pas menang dan inilah satu-satunya kerusi yang diwakili Pas. Jika Pas gagal mempertahankan kerusi ini, seolah-olah berakhirlah riwayat politik Pas dalam DUN Pulau Pinang yang dikuasai DAP itu.
DUN Permatang Pasir diwakili 20,350 pengundi di mana 72.31 peratus diwakili pengundi Melayu, Cina 25.94 peratus, India 1.61 peratus dan lain-lain 0.14 peratus mengikut rekod PRU 12, Mac 2008 yang lalu. (citra_bangsa@yahoo.com)

Tiada ulasan: