Ahad, 19 Julai 2009

Umno Besut kena faham apa yang Ketua Penerangan ucap


Oleh Zainal Yusof

citra_bangsa@yahoo.com

KALAULAH kepimpinan Umno Bahagian Besut, Terengganu dapat menghayati dan memahami seruan yang dibuat Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno Malaysia ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Besut, Sabtu, 18 Julai 2009 lalu, rasanya kemelut politik Negeri Terengganu tidak berlaku.

Kata Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Umno bahagian di seluruh negara yang mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing diminta memberi tumpuan kepada empat agenda utama yang disarankan oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya parti itu sentiasa dapat memperbaharui perjuangan dan diperkasakan.

Ketua Penerangan Umno itu berkata, empat empat agenda itu ialah memastikan parti berkenaan berjaya dalam setiap pilihan raya pada masa depan; memperkuatkan parti; menyatupadukan orang Melayu; dan usaha mengukuhkan sokongan anggota pati komponen Barisan Nasional (BN) kepada Umno.

Beliau berkata, setiap anggota Umno kini perlu berani membuat pembaharuan dalam parti supaya ia menjadi ejen tarikan kepada parti itu untuk terus menerajui BN pada masa depan.

“Anggota perlu menyedari bahawa Umno kini adalah parti milik semua rakyat dan bukan lagi untuk orang Melayu semata-mata,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Besut.

Amatlah malang bagi Umno, jika ada ahli-ahli cetek fikiran dan bila terpilih menjadi wakil rakyat, merancang untuk memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyebarkan fitnah dengan mengadakan perjumpaan-perjumpaan dengan tujuan memburuk-burukkan kepimpinan.

Apakah wakil-wakil rakyat dalam Bahagian Besut selepas ini dapat menjalankan kerja-kerja untuk memperkuatkan parti sebagai salah satu dari empat perkara yang diseru oleh Ketua Penerangan Umno Malaysia itu?

Apakah selepas ini, Geng 10 di Terengganu akan berpecah selepas ADUN-ADUN dari Besut, termasuk Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera) yang didakwa terlibat dengan Geng 10 akan kembali bersatu di bawah Umno Terengganu dan kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein?

Kalau seruan Ahmad Maslan ini mereka faham, mustahil mereka memilih untuk mengatakan tidak faham. Jika mereka akur, mustahil untuk mereka memilih untuk menganjurkan lagi ceramah-ceramah yang bertujuan mendabik dada kononnya dengan angkara mereka, Datuk Ahmad Said akan dapat ditumbangkan di Terengganu.

Kemelut politik Terengganu dimulakan dengan Geng 10 memilih untuk memboikot persidangan DUN Terengganu 14 April 2009. Selepas itu, mereka mendakwa menerima SMS bernada ugutan dari Pejabat Menteri Besar kononnya mengancam nyawa mereka.

Namun segala-galanya sudah terdedah. Segala-galanya sudah terang dan segala-galanya sudah nyata bahawa tiada pegawai kanan Pejabat Menteri Besar Terengganu yang melakukannya. Namun, Geng 10 ini cuba mengalihkan perhatian orang ramai dan kepimpinan parti di Kuala Lumpur, kononnya pegawai-pegawai kerajaan sebenarnya tidak dapat menerima kepimpinan Datuk Ahmad Said.

Mereka mahu menimbus cerita SMS palsu yang dihantar oleh kawan-kawan mereka sendiri. Mereka mahu semua orang melupakan isu SMS itu dan mereka sedang menghimpunkan macam-macam cerita baru yang mereka reka dan mereka cipta untuk memberitahu orang ramai, bahawa Datuk Ahmad Said ditolak di Terengganu.

Jahat sungguh Geng 10 ini. Bila mereka disifatkan oleh seorang penulis veteran sebagai ADUN yang cetek fikirannya, mereka tidak dapat menerima gelaran itu kerana mereka mendakwa mereka bukan dari kalangan ADUN cap ayam.

Mereka seolah-olah mahu menentang Istana Terengganu. Mereka seolah-olah mahu berlawan dengan Istana Terengganu. Mereka seolah-olah mahu menubuhkan kerajaan sendiri di Terengganu dan mengangkat sumpah di ‘Istana’ mereka sendiri.

Sekarang sudah tersebar cerita di Terengganu, rakyat Besut mahu keluar dari Terengganu. Sudah ada blogger secara terang-terang membuat dakwaan seperti itu kerana mereka sudah tidak dapat menerima Terengganu sebagai ‘negeri mereka lagi’ kerana mereka tidak mahu menerima perlantikan Istana Terengganu terhadap Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Apabila Umno Bahagian Besut menjemput Ahmad Maslan merasmikan persidangan perwakilan bahagian mereka, mereka tentunya mengharapkan Ahmad Maslan akan membawa balik cerita Besut yang mempunyai seorang pemimpin bertaraf dunia.

Pemimpin itu sudah merasakan dialah yang paling layak menjadi Menteri Besar Terengganu dan jika dia tidak dilantik, maka mereka berpakat dengan dia untuk memboikot semua aktiviti Umno Terengganu yang dihadiri Menteri Besar.

Ini cerita di bawah. Sama ada betul ataupun tidak, tiada siapa dapat membuktikannya tetapi sudah banyak pita-pita rakaman ucapan Idris Jusoh tersebar di seluruh Terengganu, mendedahkan dahsyatnya Idris mengutuk kepimpinan Datuk Ahmad Said sedangkan Datuk Ahmad adalah Ketua Umno Bahagian Kemaman dan salah seorang Exco yang Idris pernah lantik dahulu, ketika Idris berkuasa di Terengganu.

Kalau Idris tidak dapat menerima Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar, mungkin Idris lebih yakin dengan kepimpinan Datuk Rosol Wahid atau Datuk Din Adam. Persoalannya, kuasa melantik Menteri Besar bukan kuasa Idris. Idris mungkin boleh melantik ‘pegawai khasnya’ tetapi mana mungkin Idris pula yang mahu menentukan siapa yang sepatutnya menjadi Menteri Besar?

Ramai tahu Idris bukan Sultan. Idris juga tentunya tahu dia bukan Sultan. Kawan-kawan Idris pasti sedar dan mempunyai kesedaran bahawa Idris Jusoh bukan Sultan. Malahan, Sultan sendiri pasti tahu yang Idris ini bukan Sultan. Jika Idris tahu dia bukan Sultan, mengapa dia seolah-olah mahu melakukan kerja-kerja yang dia tahu itu adalah kerja Sultan?

Umno sekarang menempuh era baru. Di Terengganu, Umno sudah bertukar Menteri Besar. Di Kuala Lumpur, Presiden Umno sudah melantik YB Ahmad Maslan mengantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Ketua Penerangan Umno. Di mana-mana, perubahan berlaku.

Malangnya, ada orang Besut yang tidak dapat menerima perubahan. Malangnya ada orang Besut merasakan hanya orang Besut sahaja yang boleh menjadi Menteri Besar. Malangnya ada orang Besut tidak percaya orang Kijal juga mampu, malahan lebih baik kepimpinannya dari orang Besut apabila diberi peluang menjadi Menteri Besar.

Malang orang Besut yang berfikiran begitu dan mereka janganlah membawa semua ‘malang’ itu untuk dijadikan malang kepada seluruh rakyat Terengganu yang sudah menerima baik kepimpinan orang Kemaman sebagai Menteri Besar.

Harap-harap Ahmad Maslan sering ke Besut, meninggalkan pesanan dan membuat seruan dan menterjemahkan kemahuan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno kepada orang-orang di Besut. Barangkali orang Besut tidak mahu orang Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Kemaman menasihati mereka, maka kenalah Ahmad Maslan, anak jati Pontian, Johor kerap ke Besut.

Walaupun bukan tugas Ahmad Maslan untuk menjaga Besut tetapi kalau Ahmad Maslan mempunyai kesempatan, anjurkanlah program di Besut lebih acap lagi bagi memberi penerangan kepada anggota Umno Besut betapa pentingnya mereka memperkuatkan parti dan meninggalkan kerja-kerja munafik dan sia-sia yang mereka lakukan selama ini.

Dengan cara ini, kemelut politik Terengganu boleh pulih seperti sediakala jika orang Besut tidak meneruskan kegiatan mereka yang mereka lakukan untuk menjatuhkan Datuk Ahmad Said. Jika mereka mahu jatuhkan Datuk Ahmad Said bermakna mereka juga mahu menjatuhkan Umno. Mereka yang melakukan kerja-kerja menjatuhkan Umno adalah perkhianat bangsa sendiri, agama sendiri dan negara sendiri.

Orang Besut tidak akan dapat menerima coretan ini kerana mereka mempunyai blog sendiri yang saban hari menghentam kepimpinan Menteri Besar kerana mereka mempunyai keyakinan kerja yang mereka lakukan itu ‘betul’ dan direstui oleh seseorang yang mereka anggap sebagai pemimpin bertaraf dunia dan sering mencipta tamadun di Terengganu.

Mereka tidak sedar, semut dan kerengga tertawa terbahak-bahak mendengar dakwaan ada orang Besut yang mencipta tamadun kerana ia sekaligus menganggap Terengganu sebelum ini, tidak bertamadun.

Kekeke! Kesihan orang Besut.

Tiada ulasan: