Ahad, 19 Julai 2009

Chua Jui Meng akan bertanding di Parlimen Muar?


Oleh Daud Haji Ibrahim
daud772@hotmail.com

BEKAS Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng sudah sah meninggalkan MCA kerana mahu menyertai PKR, yang mungkin dia rasakan, flatform terbaik untuknya menghidupkan kembali politik peribadinya.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat sedih dengan tindakan Jui Meng tetapi menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.
“Saya sedih kerana dia merupakan orang lama dalam parti. Saya berharap keputusannya ini adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Mesyuarat Agung Tahunan MCA di Ipoh, Jumaat 17 Julai 2009.
Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Jui Meng itu.
Katanya, beliau pernah berhubung dengan Jui Meng baru-baru ini dan tiada sebarang petanda yang menunjukkan bekas Menteri Kesihatan itu akan keluar parti untuk menyertai parti pembangkang.
“Jui Meng mungkin mempunyai cita-cita dan matlamatnya tersendiri sehingga mendorong beliau mengambil keputusan untuk menyertai PKR,” katanya.
Jui Meng, yang pernah bertanding jawatan Presiden MCA sebanyak dua kali, sekali menentang Datuk Seri Ong Ka Ting dan sekali lagi menentang Ong Tee Keat tetapi tewas.
Dalam PRU 12 yang lalu, dia tidak terpilih bertanding di Parlimen Bakri dan akhirnya calon BN (dari MCA) di situ, Tay Puan Chuan (20,329 undi) tewas kepada DAP Er Teck Hwa (21,051 undi) dengan majoriti 722 undi. Dalam PRU 11 Parlimen Bakri dimenangi Jui Meng dengan majoriti 19, 059 undi.
Dengan kekalahan BN di Bakri, menjadikan BN kehilangan satu kerusi Parlimen dari 26 kerusi, dari Negeri Johor.
Janganlah pula ada yang menuduh Jui Meng memainkan peranan hingga menyebabkan calon MCA yang mewakili BN di kawasan Bakri tewas kerana dia sudah ‘bermain mata dengan PKR’ sebelum ini.
Tuduhan itu tentulah tidak adil kepada Jui Meng kerana calon yang bertanding di kawasan itu dan menang adalah dari DAP dan bukan PKR. Persoalannya, kenapa Jui Meng yang terkenal sebagai seorang perjuang perkauman lantang tidak menyertai DAP sebaliknya memilih PKR. Apakah Jui Meng tidak yakin dengan perjuangan DAP terhadap kaum Cina?
Bahagian Bakri sebenarnya bahagian yang diwujudkan hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sebelum wujudnya Bakri, kawasan ini adalah di bawah Muar dan sedikit darinya, diambil dari Pagoh. Ketua MCA terakhir Muar yang menjadi Ahli Parlimen ialah Datuk Dr. Neo Yee Pan yang pernah menjadi Presiden MCA sebelum diambil alih oleh Tan Koon Swan.
Sejak Bakri wujud, MCA mewakili Parlimen Bakri manakala Umno mewakili Parlimen Muar. PRU 12 adalah pertama kali BN (MCA) kalah kepada pembangkang, walaupun DUN Maharani (ketika di bawah Bakri) pernah terlepas ke tangan DAP.
Hari ini, Sabtu 18 Julai 2009, Jui Meng mengesahkan dia menyertai PKR dalam satu forum di PKR di Sunway, Petaling Jaya dengan hasratnya membawa perubahan kepada politik Malaysia.
Jika sesiapa pernah mengikuti perkembangan politik Jui Meng yang pernah menjadi Menteri Kesihatan, sewaktu dia belum dilantik memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, Jui Meng sebenarnya seorang pejuang kaum Cina yang amat totok.
Dia pernah diarahkan keluar oleh Speaker Parlimen kerana terlalu perkauman ketika bercakap tetapi dia dilihat menjadi seorang yang pendiam apabila dilantik menjadi Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan akhirnya Menteri.
Ketika menjadi Menteri, Jui Meng dilihat bercita-cita mahu menjadi Presiden MCA dengan berbekalkan isu-isu penjualan saham akhbar berbahasa Cina dan akhirnya dia tersingkir kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.
Lebih dahsyat, ketika MCA meminggirkannya, MCA menjadi seorang Menteri Kesihatan dari Johor juga. Chua digantikan dengan Chua juga. Chua Jui Meng disingkirkan, Dr. Chua Soi Lek dipilih. Ini semua menyebabkan Jui Meng tidak dapat bertahan lagi dalam MCA, hinggalah penyingkirannya dari menjadi calon BN di Bakri dalam PRU 12 yang lalu.
Ketika Jui Meng menjadi Menteri Kesihatan, namanya ‘meletup’ kerana isu JE yang menyerang Malaysia. Jika dalam PRU 13 akan datang, Jui Meng berhasrat bertanding dalam pilihan raya, tidak mustahil PKr sedia meletakkan dia di Bakri walaupun persetujuan DAP diperlukan sebelum PKR membenarkan Jui Meng bertanding di situ.
Tidak mustahil juga, dengan kekuatan Pas di Parlimen Muar dengan memenangi DUN Maharani, Jui Meng boleh juga bertanding di Muar, kerana pengundi Cina di Parlimen Muar menguasai sekitar 36.15 peratus manakala Melayu hanya 62.05 peratus dan India 1.67 peratus.
MCA di Johor dilihat tidak begitu terancam tetapi dengan kehilangan pengaruh Gerakan di Johor, Jui Meng mungkin menganggap ini adalah peluang terbaik baginya untuk ‘membuat perubahan’ dalam politik peribadinya.
Hari ini, MCA Bakri menghadapi satu tugas paling berat untuk menyekat dan membendung penyokong Jui Meng daripada meninggalkan parti kerana mengikut mentor mereka menyeberang ke PKR.
Ketika MCA berseronok kerana Timbalan Presiden partinya, Dr. Chua Soi Lek datang dari Johor, sebagaimana Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Barisan Nasional (BN) tentulah terkejut dengan tindakan Jui Meng ini walaupun ia sudah diramalkan akan berlaku sedemikian.

Tiada ulasan: