Ahad, 19 Julai 2009

Harakah pun berminat ‘sentuh’ kemelut politik Umno Terengganu


Oleh Zamzuri Damanhuri
citra-bangsa@yahoo.com

AKHBAR arus perdana sudah ‘melupakan’ kemelut politik Umno Terengganu tetapi Harakah, suara rasmi Pas masih menyentuh isu ini dalam keluaran 17-19 Julai 2009 (Bil 1456), bertajuk Umno Terengganu catat sejarah stadium runtuh.
Dalam tulisan Suhaimi Taib itu, dia menyebut; ‘Mentelaah politik Terengganu, Umno berdepan dengan krisis dalaman parti yang agak teruk, apabila dua kumpulan bertelagah sukar berkompromi dalam perlantikan pucuk pimpinan parti negeri itu.
Dengan kehadiran Hishammuddin Tun Hussein sebagai Pengerusi Perhubungan baru Umno, nampaknya ia tidak boleh meredakan pertelagahan dua kumpulan Umno masing-masing dipimpin oleh Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar di satu pihak dan Datuk Seri Idris Jusoh di pihak yang lain.
Ketidakpuasan hati dikatakan menghantui sesetengah pihak khususnya ‘team’ Idris kerana perhubungan Umno negeri itu masih lagi didominasi oleh ‘team’ Ahmad.
Menjadi kelaziman politik Umno, apabila seseorang Menteri Besar dilantik, kumpulan (gerodong) Menteri Besar itu akan menguasai parti di peringkat negeri.
Ia mungkin atas dasar untuk mempermudahkan urusan pentadbiran parti tetapi seringkali tindakan ini menimbulkan iri hati atau rasa tidak senang hati di pihak lain dalam Umno.
Perebutan kuasa kepimpinan politik Umno Terengganu menjadi punca kenapa pentadbiran negeri agak bercelaru dan tidak mantap.
Sebagai contoh terdapat dua pandangan berbeza daripada dua Exco Kerajaan Negeri mengenai isu sesuai atau tidak berniaga berhampiran dengan masjid.
Exco Infrasruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad dikatakan tidak bersetuju dengan orang ramai berniaga berhampiran dengan masjid kerana mengganggu lalu lintas.
Sementara Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamad Awang Tera ketika bercakap dalam satu majlis di Kuala Terengganu bersetuju dengan tindakan demikian kerana ia boleh mendekatkan orang ramai dengan rumah Allah.
Yahya agak sinis dalam isu ini ketika bercakap dalam satu majlis di Marang baru-baru ini. Beliau dilaporkan sebagai berkata, berniaga berhampiran masjid tidak mendapat berkat dan boleh mengganggu lalu-lintas.
Pendapat itu dipercayai ditujukan kepada peniaga-peniaga yang berniaga di sekitar Masjid Rusila Marang setiap hari Jumaat sempena Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan kuliah pagi Jumaatnya setiap minggu.
Bahkan Yahya dikatakan agak egois apabila berkata beliau juga pandai membaca ayat al-Quran bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang sahaja (Tuan Guru Presiden) boleh berbuat demikian.
Pokoknya kedua-dua kepimpinan kerajaan negeri itu berlainan pendapat dalam menguruskan soal kepentingan awam dalam permasalah menyelesaikan kemudahan perniagaan untuk rakyat Terengganu.
Dengan perbezaan pendapat dan arahan ini menampakkan bahawa tidak ada kesepakatan konkrit di kalangan kepemimpinan kerajaan negeri itu hari ini bagi menangani masalah rakyat.
Sepatutnya mereka perlu bersekata dan bersependapat dalam menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul di kalangan rakyat bukan sewenang-wenangnya mengeluarkan pandangan berbeza sehingga rakyat tidak tahu mana satu pendapat dan arahan yang mahu diikut.
Nampaknya kesan krisis kepimpinan di peringkat parti itu berlarutan dan kecelaruannya memberi kesan yang mendalam terhadap pentadbiran kerajaan negeri tersebut.
Menyentuh ucapan Yahya, sepatutnya beliau tidak bercakap sedemikian rupa seolah-olah iri hati terhadap Presiden Pas dan perkembangan baik di masjid Rusila Marang sendiri.
Tidak pernah sesiapapun menghalang mana-mana orang untuk bercakap dan menyelitkan ayat-ayat al-Quran dalam ucapannya hatta Presiden Pas sendiri.
Penulis memperingatkan kepada mana-mana pemimpin Umno bahawa ambillah teladan dengan sejarah dan peristiwa yang telah lalu berlaku dalam politik negeri itu.
Pemimpin yang bersifat angkuh dan sombong dalam ucapannya suatu ketika dahulu kini kecundang dan membawa masalah kepada rakyat dan akhirnya dia (ia) singkirkan.
Bercakap dengan angkuhnya kononnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mencipta sejarah dan membuat pembangunan yang tidak pernah dilihat sebelum ini, tiba-tiba stadium baru runtuh bumbungnya menyembah bumi tidak sampai dua tahun pun ia dibina.
Apa yang sejarah dan tamadun Umno ciptakan di Terengganu ialah membina stadium baru yang runtuh tidak sampai dua tahun.
Pernahkah didengar ada stadium dan bangunan yang tersergam indah dibina dengan menjemput pakar artkitek dari luar negara mengendalikan pembinaan itu, tiba-tiba runtuh tidak sampai dua tahun?
Inilah sejarah yang dicatat oleh Umno Terengganu , tidak apa pun yang baru dicipta oleh parti itu selepas mengambil alih tampuk kuasa kerajaan daripada Pas tahun 2004 yang lalu.’
Walaupun tulisan Suhaimi ini dari segi faktanya, stadium itu runtuh betul-betul genap setahun pembinaannya dikatakan tidak sampai dua tahun, menunjukkan penulis itu tidak merujuk fakta sebenar, tetapi fokusnya terhadap keangkuhan Idris Jusoh kelihatan amat keras dan ekstrem.
Tidak tahulah apakah orang-orang kuat Idris Jusoh di Besut membaca atau tidak tulisan Suhaimi Taib dalam Harakah ini kerana ia amat berkesan jika turut difahami oleh Geng 10 yang memboikot Persidangan DUN Terengganu 14 April 2009.
Jika orang Pas perasan apa yang Idris ‘terlanjur’ mustahil orang-orang Umno tidak nampak semua ini, kecuali mereka buat-buat tidak Nampak hanya kerana sikap dan pendirian taksub kepada Idris Jusoh kononnya seorang pemimpin kelahiran Besut yang terlalu hebat.
Walaupun tiada bukti Idris Jusoh adalah ketua kepada Geng 10, tetapi tiada siapa yang mahu mempercayai yang Idris Jusoh tidak terlibat dengan Geng 10 yang bekerja kuat mahu menjatuhkan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Tiada ulasan: