Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
citra_bangsa@yahoo.com
MENTERI Besar Terengganu yang cukup banyak melalui rintangan dan halangan untuk terus kekal sebagai pemimpin nombor satu negeri Kuwait Malaysia, Datuk Ahmad Said menolak desas-desus yang dicipta pihak media, kononnya ada rombakan barisan Exco.
Sambil menyifatkannya sebagai tidak perlu, Datuk Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu khabarnya sudah ada terdengar cerita yang dibawa oleh angin lalu, mengatakan ada seorang bekas Exco Kerajaan Negeri, sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan ‘sesuatu’ bagi tujuan menjatuhkan Umno di Terengganu.
Bekas Exco tersebut, merupakan salah seorang dari anggota 10 budak hitam di Terengganu yang melakukan pemboikotan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, pertengahan April lalu dikatakan berusaha habis-habisan untuk menjatuhkan Datuk Ahmad dan jika tidak Berjaya menjatuhkan Datuk Ahmad, mereka sanggup menumbangkan kerajaan Umno di Terengganu.
Buktinya tidak ada, tetapi biasalah dalam politik, kadang-kadang khabar angin menjadi suatu kebenaran dan ada seorang Timbalan Perdana Menteri di Malaysia pernah tumbang hanya bermula dengan khabar-khabar angina.
Bagi Menteri Besar Terengganu, setahun lebih tempoh perlantikannya sebagai orang nombor wahid dalam kerajaan negeri, memang penuh dengan liku-liku yang cukup dahsyat. Namun, beliau mampu melepasi halangan dan rintangan itu kerana Allah bersama-samanya.
“Dari segi logiknya, tiada siapa yang percaya beliau boleh menjadi Menteri Besar kerana beliau dilihat tidak mendapat tauliah dari Perdana Menteri dan Presiden parti. Tetapi, terbukti, atas kehendak Allah, beliau akhirnya berjaya menempuh semua halangan tersebut,” kata seorang bekas Pegawai Penjara yang berpengalaman menggantung mati banduan yang dijatuhkan hukuman mati.
Katanya, sudah ditakdirkan Allah Datuk Ahmad Said adalah Menteri Besar Terengganu selepas PRU 12 yang lalu. Walaupun ada pihak-pihak tertentu mahu menggugurkan namanya dari senarai calon BN dalam PRU 12, beliau akhirnya terpilih juga dan menang di DUN Kijal yang akhirnya meletakkan beliau di kedudukan sekarang.
Itulah sebabnya, apabila 10 budak hitam cuba menggugat kedudukannya, Datuk Ahmad secara santai menjawab, “Saya sudah tempuh dugaan yang lebih dahsyat dari apa yang dilakukan oleh Geng 10 ini. Maka, saya tidak ada hal dalam hal seperti ini.”
Khabarnya, 10 budak hitam secara berterusan masih melakukan pelbagai hal bertujuan mengganggu kepimpinan Datuk Ahmad tetapi setakat ini, Datuk Ahmad masih terus menjadi Menteri Besar walaupun kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu diambil oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Naib Presiden Umno.
Datuk Ahmad diberitakan terus mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan pelbagai lapisan masyarakat, murid-murid sekolah, guru-guru, ibu bapa dan rakyat sebagai tugas dan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar, termasuk di kawasan-kawasan DUN yang diwakili Geng 10.
“Saya sanggup berdiri tiga jam menyampakan ‘computer e book’ kepada pelajar-pelajar bukan kerana diminta oleh mana-mana pihak tetapi saya memang meminta untuk menyampaikannya sendiri walaupun ia memaksa saya berdiri begitu lama,” beliau dipetik sebagai berkata demikian apabila ditanya wartawan kenapa beliau menghabiskan begitu banyak masa untuk tujuan itu?
Budak hitam yang 10 orang ini terus memburuk-burukkan kepimpinan Menteri Besar. Kononnya, pegawai-pegawai kerajaan negeri (TCS) tidak sukakan Datuk Ahmad tetapi mereka terlupa ada seorang Setiausaha Kerajaan Negeri ‘terpelanting’ ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar. Apakah TCS terlalu sukakan Idris kerana ‘menyingkirkan’ SS Terengganu tersebut?
Seorang peniaga ikan yang sudah bertukar menjadi peniaga emas di Kuala Berang pula berpendapat, angkara yang ditimbulkan Geng 10 atau 10 budak hitam ini hanyalah kelakuan ‘budak-budak tadika’ yang belum cukup akal.
“Saya melihat gelagat mereka ini seperti budak-budak. Tapi jangan dibiarkan begitu sahaja kerana budak-budak perlu diasuh. Kalau boleh, hokum mereka walaupun dengan hukuman yang ringan kerana mungkin dengan cara itu dapat mengajar mereka menjadi manusia yang berguna,” tegasnya mengulas cerita 10 budak hitam di Terengganu.
Sementara itu, Datuk Ahmad bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan kepimpinannya terhadap rakyat Terengganu di Terengganu, malahan mahu ‘belanja mereka makan’ kepada anak-anak Terengganu di perantauan.
Khabar gembira ini disampaikan buat anak-anak Terengganu di Lembah Klang, apabila 1 Ogos ini kerajaan negeri Terengganu mahu ‘belanja mereka makan’ sempena penganjuran Pesta Makanan dan Buah-buahan di negeri itu.
Menteri Besar yang memperkenalkan ‘memasyarakatkan pembangunan’ ini berkata, program itu akan diadakan di perkarangan tempat letak kereta B, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur mulai 6 petang hingga 12 tengah malam.
Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menjayakan aktiviti tersebut.
Datuk Ahmad berkata, penganjuran program itu sejajar dengan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Kita akan belanja makan kira-kira 10,000 anak Terengganu yang tinggal di perantauan terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Kerajaan negeri berharap program ini akan menjadi landasan mempromosi buah-buahan dan makanan tradisi Terengganu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, Rabu 15 Julai lalu.
Datuk Ahmad berkata, pada pesta tersebut, pihaknya akan menyajikan pelbagai makanan terutama nasi dagang, lemang dan keropok lekor.
“Kita juga membawa pelbagai jenis buah-buah tempatan untuk mereka.
“Program ini akan melibatkan semua pihak di semua daerah di negeri ini yang bertanggungjawab menyediakan makanan dan produk yang menjadi identiti daerah mereka,” katanya
Beliau memberitahu persembahan rakyat dan kebudayaan serta hiburan oleh artis-artis Terengganu juga akan diadakan.
Janganlah pula ada pihak-pihak yang cuba memboikot program ini kerana Stadium Bukit Jalil bukanlah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang runtuh bumbungnya beberapa minggu lalu. Rakyat Terengganu di Kuala Lumpur dan Selangor juga tidak perlu risau keselamatan mereka untuk menghadirkan diri ke situ kerana insyaAllah, mereka tidak akan menerima apa-apa SMS bernada ugutan seperti mana tiga ADUN yang terlibat dengan Geng 10 menerimanya dahulu.
Mudah-mudahan, Geng 10 yang sering berada di Kuala Lumpur dalam usaha mereka memburuk-burukkan Datuk Ahmad Said dan kepimpinan di Terengganu akan hadir sama menjayakan program ini dan berhentilah seketika ‘program mereka sendiri’ untuk meluangkan masa bersama-sama anak-anak Terengganu di perantauan.
Janganlah Geng 10 menggunakan perhimpunan itu untuk terus berkempen mencerita mereka baik dan bukan cap ayam tetapi memburuk-burukkan Datuk Ahmad yang mereka sifatkan sebagai Menteri Besar cap ayam.
Perhimpunan ini boleh digunakan untuk memperbaharui silahturahim antara satu dengan lain dan bukan untuk menabur fitnah kononnya mereka tidak dilantik menjadi Pengerusi Penyelaras DUN dan membayangkan mereka akan digugurkan dalam pilihan raya akan datang.
Geng 10 juga tidaklah perlu membawa cerita perlantikan JKKK yang mereka anggap sebagai hak mereka sedangkan semua orang tahu perlantikan JKKK adalah kuasa Menteri Besar yang mana ketika Idris Jusoh yang mereka sanjung sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia juga menggunakan kuasanya dahulu ketika membuat perlantikan tersebut.
Kalau Idris sudah betaraf dunia, Geng 10 bolehlah mencadangakan kepada Perdana Menteri supaya melantik Idris menjadi duta atau bertanding mana-mana jawatan yang membolehkannya berkhidmat di peringkat dunia seperti NAM, Komenwelth atau Asean. Itulah kalau boleh menang.
Sabtu, 18 Julai 2009
Cerita Rombakan Exco dan Belanja Makan Anak Terengganu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan