Selasa, 14 Julai 2009

Pas, DAP dan PKR : Dua kali lima saja


Oleh Hassan Md Hussien (Sandakan)
citra-bangsa@yahoo.com

AGAK lama tidak menulis menyebabkan saya agak keberatan untuk memulakannya. Namun, saya rasa seperti ‘serba tak kena’ apabila membiarkan isu seperti dakwaan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bahawa pejabat salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor digunakan sebagai tempat bermesyuarat orang yang terlibat dalam perniagaan ‘underground’.
Choo Keong adalah bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang dari DAP dan keluar dari parti itu kerana ada dakwaan mengatakan dia berkecil hati dengan Lim Kit Siang yang terlalu kuat membela Lim Guan Eng apabila Guan Eng kena penjara kes memfitnah Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di bawah akta mesin cetak tetapi dalam kes Choo Keong yang tersingkir sebagai Ahli Parlimen Bukit Bintang, dia merasakan Kit Siang tidak membelanya.
Hari ini, Choo Keong kembali menjadi Ahli Parlimen tetapi atas tiket PKR. Jika dia menyerang DAP di Selangor atas aduan yang diterimanya dari orang ramai dan penyokong PKR dan Pas, tentulah ia ssesuatu yang cukup menarik untuk diperkatakan.
Hari ini, penyokong Pas di Selangor akan menanti ‘fatwa’ dari Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sama ada bermesyuarat dalam pejabat Exco untuk aktiviti perniagaan ‘underground’ salah atau pun tidak.
Dulu, apabila ada salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor didakwa berseparuh bogel di rumahnya dengan gambar-gambar dirakam dan diedarkan bekas kekasihnya dianggap tidak salah oleh Menteri Besar Kelantan, maka semua penyokong Pas, PKR dan DAP melonjak-lonjak gembira.
Beberapa pemimpin muslimat Pas dan pemimpin Wanita PKR memeluk erat Exco yang dikatakan berbogel itu dan mempertahankannya. Mungkin sekarang, Exco itu sudah tidak berbogel lagi, malahan kelihatan bertudung ketika mengadap Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz bagi mengucapkan selamat jalan untuk Nik Aziz pergi menunaikan umrah.
PKR di Selangor nampaknya secara berani menyerang DAP. Bermula dengan desakan Mohd Azmin Ali supaya barisan Exco dirombak yang tentunya ditujukan kepada Exco dari kalangan DAP yang bertanggungjawab terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di Pulau Pinang DAP nampaknya tidak akan berhenti ‘menyulitkan’ PKR dengan krisis-krisis yang sedang dan telah berlaku.
Di Kedah, ugutan DAP untuk keluar dari Pakatan Pembangkang hanya sempat berlaku seminggu tetapi berjaya diselamatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak apabila bersedia mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.
Apabila Choo Keong berbunyi, tentulah Kit Siang dan Guan Eng akan terasa. Sejarah ‘keluarnya’ Choo Keong dari DAP mungkin melukana Kit Siang yang memang terlalu terkehadapan dalam membela anaknya yang didakwanya teraniaya tetapi hakikatnya, fitnah yang mereka buat menyebabkan dia (Guan Eng) menjadi banduan.
Hero Melayu, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang berjaya memyeret Guan Eng ke muka pengadilan dan akhirnya merengkok dalam penjara tidak dinobatkan sebagai ‘wira’ kerana bagi Umno tidak ada apa-apa sumbangan Rahim kepada politik dan kedaulatan undang-undang.
Andaikata Rahim berada di dalam DAP dan beliau berjaya menyebabkan salah seorang pemimpin Umno dimasukkan ke penjara mungkin hari ini Rahim diangkat menjadi ‘wira’ DAP. Malangnya Rahim memilih Umno menjadi partinya.
Orang Umno kurang cerdik dalam meraikan kejayaan kawan-kawan. Mereka hanya bersedia menceritakan keburukan kawan-kawan dari menceritakan keperwiraan kawan-kawan sendiri.
Dalam isu di Selangor, Pas memang tidak boleh berkata apa-apa. Mereka adalah ‘minoriti’ dalam politik Pakatan Pembangkang. Kalau mereka bercakap banyak, bimbang nanti mereka jadi Pas di Pulau Pinang. Kata pepatah Melayu, ‘ibarat melukut di tepi gantang, ada tak menambah, tak ada tak mengurang’.
Pas di Selangor memang tidak bersedia menerima kerjasama dengan Umno. Bagi mereka DAP jauh lebih mulia dari Umno kerana DAP ada Teressa Kok dan PKR ada Elizabeth Wong. Dalam Umno, mereka mungkin bimbang dengan kelebihan yang ada pada pemimpin Umno, khususnya Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Keuntungan politik DAP, Pas dan PKR di Selangor ialah Umno sendiri dilihat tidak mempertahankan Dr. Mohamad Khir apabila bekas Menteri Besar itu diserang. Malahan, ada orang-orang Umno sendiri yang berusaha menghebahkan cerita-cerita tidak betul mengenai bekas Menteri Besar itu, termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ketika ADUN Sekincan dari DAP, Ng Suee Lim membuat tuduhan terhadap rumah Dr. Mohamad Khir yang dibina dengan harga RM24 juta, Dr. Mahathir terus menyambut dakwaan itu sebagai ‘ia akan menyusahkan Umno’ untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 sedangkan Dr. Mohamad Khir sudah menafikan dakwaan ADUN DAP itu.
Dr. Mohamad Khir tentunya tidak mengharapkan sesiapa pun mempertahankan dirinya kerana beliau sendiri mampu memberikan penjelasan tetapi apabila Dr. Mahathir yang mungkin tidak dapat penjelasan sebenar turut menyambung ‘lidah DAP’ tentulah tidak menguntungkan Umno dan BN keseluruhannya.
Di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) khabarnya perlantikan wakil dari PKR sebagai Ahli Majlis juga menjadi kontroversi. Rupa-rupanya, dalam PKR, Pas dan DAP, cerita ‘cari makan’ lebih teruk dari cerita yang berlaku dalam Umno dan komponen BN.
Selama ini, ramai yang menyangka orang-orang PKR, DAP dan Pas berjuang demi agama, bangsa dan negara tetapi apabila sampai kepada cerita ‘periuk nasi’ mereka bergaduh lebih teruk dari Umno dan komponen BN.
Ini maknanya, semua sama. Semua orang politik, istilah berkorban tidak diletakkan di hadapan mereka sebaliknya masing-masing mengejar kepentingan.
Kalau dengar orang Pas bercakap isu moral, seolah-olah mereka (Pas) hanya mahu berkawan mereka yang cukup tinggi moralnya, tetapi hakikat sebenar, mereka menghalalkan juga benda-benda ‘yang tidak bermoral’ asalkan ada keuntungan politik mereka.
Maka, bermesyuaratlah untuk menjalankan aktiviti perniagaan ‘underground’ dan berbogellah… kerana orang Pas akan terus membela mereka kerana ada ‘kepentingan bersama’ menanti di PBT dan kontrak-kontrak angkut sampah dan membaiki longkang-longkang! Dua kali lima rupanya mereka ini…..!

Tiada ulasan: