Khamis, 9 Julai 2009

Kisah Nazir yang didakwa ‘gila talak’


Oleh Zamzuri Damanhuri
citra_bangsa@yahoo.com

MASA saya kecil-kecil dahulu, saya ada mendengar cerita orang-orang tua di kampong, kisah si Nazir yang gila talak. Waktu itu, saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan gila talak tetapi saya ada dengar mereka bercakap, sudah bercerai nak rujuk semula.
Yang lelaki nak tunjuk ego. Dia bercakap di mana-mana, seorang pergi, bila-bila 10 boleh datang menjadi pengganti. Tapi, dalam diam-diam, si lelaki yang ego bernama Nazir ini cuba menghubungi semula ‘bekas isterinya’ dengan harapan dapat ‘mendirikan semula rumahtangga yang sudah runtuh’.
Ada kawan-kawan si Nazir mencarikan wanita lain sebagai pengganti. Namun Nazir memberitahu kawan-kawannya hatinya masih belum terbuka untuk bernikah lagi. Katanya dia mahu menumpukan perhatiannya dalam beramal ibadat dan tidak terfikir hendak mencari pengganti.
Ke mana-mana dia pergi, dia akan bercakap dengan kawan-kawannya, dia tidak hairan kehilangan isteri tetapi isterinya separuh mati merinduinya dan bercadang mahu merujuk semula.
Ada orang yang percaya cerita si Nazir ini tetapi ramai juga yang curiga. Mereka tertanya-tanya kenapa Nazir tidak henti-henti bercakap kisah bekas isterinya dan seolah-olah seperti orang yang gila talak?
Namun, akhirnya si isteri Nazir yang didakwa kononnya mahu berpatah balik bernikah semula dengan Nazir, sebaik sahaja habis edah, bernikah dengan lelaki lain yang lebih elok perangai dan sifatnya dari si Nazir.
Bukan main kecewa Nazir. Dia pusing keliling kampong bercerita tentang keburukan bekas isterinya dan keburukan suami baru bekas isterinya. Kononnya bekas isterinya sudah menyesal bercerai dengannya dan berhasrat kembali ke pangkuannya kerana kehidupannya dengan suami baru didakwanya tidak bahagia.
Kata Nazir kepada kawan-kawannya, bekas isterinya yang sudah menjadi siteri orang itu akan meminta cerai dengan suami barunya untuk kembali bernikah dengannya.
Ada yang percaya cerita Nazir tetapi tidak kurang juga yang perasan Nazir sudah diserang penyakit gila talak. Orang yang asyik bercerita tentang bekas isterinya, memang mudah dilihat seperti orang yang kurang siuman. Kurang siuman di sini tdaklah sampai dia memakai baju yang compang-camping tetapi kalau ada peluang, sesekali dia suka menjerit.
Bercerai! Rujuk semula! Bercerai! Rujuk semula!
Kadang si Nazir dilihat memakai lilit kepala. Kadang-kadang ada yang mendengar hasrat Nazir seperti orang mahu membunuh diri kerana dia kehilangan sesuatu yang amat-amat dia sayangi.
Malangnya, ketika mereka bersama, si Nazir tidak pernah memahami kehendak isterinya. Tidak pernah memikirkan tindak-tanduknya melukakan hati si isteri. Tetapi apabila si isteri sudah tidak tertahan lagi dengan perangai suami yang bodoh sombong, berlagak macam hebat sangat, mahu menjadi juara sepanjang masa, akhirnya si isteri bertindak meninggalkan dia.
Cerita ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kisah yang berlaku di Perak. Walaupun suami yang didakwa gila talak ini namanya Nazir, seperti nama bekas Menteri Besar Perak yang tiba-tiba kehilangan kuasa dan jawatan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ia bukanlah ada kaitan dengan kisah itu.
Mungkin kehilangan isteri bagi si Nazir boleh disamakan dengan kisah Nizar kehilangan kerusi Menteri Besar atau Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming kehilangan kerusi Exco tetapi kisah itu tidak langusng boleh disamakan dengan apa yang berlaku di Perak.
Memang betul si Nazir sering bercakap mengenai bekas isterinya boleh dikaitkan dengan kisah Mohammad Nizar yang sering berucap di ceramah-ceramah yang Pas susun, tetapi kisah rumahtangga Nazir dengan kisah Nizar, amat-amat jauh berbeza.
Kehilangan dua ADUN PKR yang meninggalkan Pakatan Pembangkang di Perak, iaitu Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) sebenarnya seperti ada persamaan dengan kisah Nazir yang ditinggalkan isterinya dan akhirnya berkahwin lain tetapi janganlah sesiapa mahu mengaitkan kisah ini dengan apa yang berlaku di Perak.
Jika benarlah Mohamad Nizar ada menghubungi salah seorang dari dua ADUN yang pernah bersama Nizar dalam Pakatan Pembangkang, ia tidak boleh dikaitkan dengan kisah Nazir yang secara diam-diam mahu memujuk bekas isterinya untuk kembali merujuk dan bernikah dengannya.
Kalau salah seorang ADUN Bebas ini terserempak dengan Mohammad Nizar di mana-mana, janganlah ada sesiapa cuba mahu membuat cerita kononnya mereka mahu kembali rujuk dan bersama Pakatan Pembangkang.
Malahan, salah seorang dari dua ADUN Bebas ini memberitahu wartawan, banyak kali Mohammad Nizar menghubunginya tetapi dia sudah tidak mahu lagi mendengar suara Mohammad Nizar.
Jadi kalau bekas isteri Nazir enggan menjawab panggilan atau bercakap lagi dengan Nazir, janganlah sesiapa cuba membuat fitnah dan mereka-reka cerita kononnya bekas pasangan ini akan kembali bersama.
Jika orang kampong saya mendakwa Nazir gila talak, saya percaya bekas Menteri Besar Perak yang pernah menjerit di Parlimen tidaklah sampai gila talak walaupun dia cuba menghubungi salah seorang dari dua ADUN Bebas yang kini sudah menyokong Barisan Nasional (BN).
Dalam kes Nazir, dia bercerai dengan isterinya tetapi dalam kes Nizar, dia kehilangan kerusi Menteri Besar. Jadi janganlah nasib Nazir hendak disamakan dengan nasib Nizar. Ia adalah dua kisah yang berbeza.
Jika ada pun persamaan ini, mungkin ia secara kebetulan tetapi janganlah hendaknya sesiapa cuba menuduh bekas Menteri Besar Perak ini sebagai gila talak – kerana dia tidak pernah bercerai dengan isterinya dan kejadian yang menimpa Nazir tidak pernah menimpa diri Nizar.
Nazir hanya kisah seorang pemuda kampong manakala Mohammad Nizar adalah seorang bekas Menteri Besar. Jauh sangat jarak mereka berdua walaupun kisah dan nama mereka tidak banyak berbeza.

(Dipetik dari http://lesungbatu.webs.com)

Tiada ulasan: