Khamis, 9 Julai 2009

Idris kena contohi sikap Pak Lah



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

citra_bangsa@yahoo.com


MEMBACA komen “insan” mengenai ada dua ADUN dari kalangan Geng 10 yang menyambut kedatangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Kuala Terengganu baru-baru ini, menyebabkan saya tertawa besar.

Apa tidaknya, menurut “insan” lagi, apa yang pelik kedua-dua ADUN itu tidak pula kelihatan kelibatnya apabila Hishammuddin berlepas pulang kerana ketika menunggu kedatangan Hishammuddin, kedua-dua ADUN itu mengharapkan mereka akan dilantik memegang jawatan penting dalam Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Tetapi, apabila Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno menamakan Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha, Datuk Rahim Mohd Said sebagai Bendahari dan Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai Ketua Penerangan, hampalah harapan Geng 10 melihat orang-orangnya diberikan jawatan penting dalam Umno negeri.

Di sini, orang Umno Terengganu boleh menilai apa sebenarnya perjuangan Geng 10, kumpulan yang memboikot persidangan DUN Terengganu April lalu.

Perjuangan mereka, mengejar jawatan. Sebab apa mereka mahukan jawatan, kerana mereka kemaruk hendakkan kuasa. Mereka mahu kuasa dan jawatan kerana mereka tahu ‘di sana’ ada habuan yang menanti.

Hishammuddin tentunya sudah kenal, sedikit sebanyak siapa sebenarnya yang menganggotai Geng 10 ini. Hishammuddin tentunya sudah melaporkan kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, apakah perangai anggota Geng 10 selama ini.

Hishammuddin juga perlu memberi kefahaman kepada Datuk Seri Mohd Najib, Geng 10 tidak mempunyai apa-apa sumbangan ke arah memperkuatkan Umno negeri Terengganu, sebaliknya, menyebabkan Umno negeri seolah-olah berkemelut.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Hishammuddin perlu melaporkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin gelagat dan fiil Geng 10 ini.

Untuk Umno, kewujudan Geng 10 ini sebenarnya cukup merugikan. Kerana Umno mereka di situ tetapi mereka tidak tahu membalas budi Umno. Mereka tidak rasa bersalah melakukan sesuatu yang menyebabkan Umno dilihat sudah bermasalah dan tidak sekuat dahulu.

Perdana Menteri tentunya tahu Datuk Ahmad Said yang merupakan Ketua Umno Bahagian Kemaman bukan memohon atau menawarkan diri menjadi Menteri Besar. Timbalan Perdana Menteri tentunya sedar Datuk Ahmad Said yang merupakan ADUN Kijal tidak pernah menjejakkan kaki ke Istana Terengganu kecuali dua kali, atas kedudukannya sebagai Exco di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan era Datuk Seri Idris Jusoh.

Hishammuddin juga tentunya sangat-sangat faham bahawa Datuk Ahamd Said tidak pergi melobi untuk dirinya menjadikan Menteri Besar Terengganu. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri tentunya tahu yang Datuk Ahmad Said tidak pernah membuat kerja-kerja untuk menjatuhkan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu.

Kalau Hishammuddin berkawan rapat dengan Idris dan sering menelefon Idris walaupun Idris berada di luar negara, cubalah bertanya kepada Idris kenapa Idris tidak diperkenankan Baginda Sultan Terengganu untuk menyambung tugasnya sebagai Menteri Besar?

Adakah kerana ada hasutan dari mana-mana pihak hingga menyebabkan Sultan tidak mahu menerima cadangan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya Idris kembali menjadi MB Terengganu selepas PRU 12 yang lalu.

Idris kenalah bercerita secara berterus-terang kepada Hishammuddin apakah sebabnya dia tidak dibenarkan mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar sebaliknya Baginda Sultan menerima Datuk Ahmad Said, walaupun peringkat awalnya Perdana Menteri tidak bersetuju.

Datuk Rais Yatim pernah menulis satu artikel yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, sekiranya Datuk Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, dia akan ‘gugur seperti nangka masak’ dan ada juga gertakan dibuat, mahu memecat Datuk Ahmad sebagai ahli Umno.

Jika Idris Jusoh tahu dia jatuh bukan kerana Datuk Ahmad Said yang menjatuhkannya, kenapa apabila Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar, Idris melibatkan diri dengan Geng 10 yang didakwa menjalankan kerja-kerja mahu menjatuhkan Datuk Ahmad Said?

Semua orang tahu Idris merupakan ‘budak kesayangan Tun Abdullah Ahmad Badawi’ tetapi mengapakah Idris tidak mahu mencontohi keperibadian Tun Abdullah apabila melepaskan jawatan Perdana Menteri?

Tun Abdullah menunjukkan sikap yang terpuji kerana menyokong penggantinya Datuk Seri Mohd Najib menjadi Perdana Menteri tetapi ‘budak kesayangannya’ yang bernama Idris Jusoh tidak dapat menghayati sikap ‘gentleman’ bekas Perdana Menteri ini.

Jika Tun Abdullah boleh menghadirkan diri ke Parlimen dan duduk di barisan Ahli Parlimen biasa, mengapa Idris tidak boleh menghadirkan diri untuk mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ketika Datuk Ahmad mempengerusikannya?

Kalaulah semua catatan ini boleh dijadikan sejarah, suatu ketika nanti generasi akan datang dapat menilai siapa sebenarnya Idris Jusoh dan Geng 10 di dalam politik Terengganu.

Hishammuddin mungkin ‘malu alah’ dengan Idris kerana Idris pernah menjadi Timbalan Menteri bersama-sama Hishammuddin menjadi Timbalan Menteri, tetapi demi maruah dan kestabilan Umno, kenalah Hishammuddin ‘berani berkata benar’ walaupun ia mungkin sesuatu yang pahit buat Idris.

Mampukan Idris mengarahkan Geng 10 supaya menghadirkan diri dalam setiap program anjuran Umno Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu yang dihadiri Menteri Besar Datuk Ahmad Said?

Sampai bila Geng 10 mahu ‘memboikot program-program Umno’ seolah-olah mereka masih menerima SMS bernada ugutan dari pihak-pihak yang kononnya mahu mengancam keselanmatan nyawa mereka?

Apakah kalau Hishammuddin yang menghadirkan diri dalam program Umno negeri, apakah Geng 10 akan turut hadir kerana ‘mereka seronok kalau dapat mengutuk’ Menteri Besar di hadapan Hishammuddin?

Tiada ulasan: