Khamis, 9 Julai 2009

Dr. Zambry kena terus bekerja demi rakyat, jangan layan ‘orang gila talak’


Oleh Zainal Yusof
citra_bangsa@yahoo.com

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak mahu masuk perangkap pembangkang yang dilihatnya macam orang gila talak, membuat dakwaan kononnya akan ada lagi tragedi melompat parti.
Desas-desus yang mengatakan dua ADUN Bebas yang kini menyokong Barisan Nasional (BN), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) akan melompat ke Pakatan Pembangkang disambut dengan gelak ketawa oleh Menteri Besar yang mengesahkan bahawa hubungannya dengan kedua-dua ADUN itu cukup baik.
Ketika ini, mereka yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri Perak mengharapkan politik negeri itu sentiasa bergolak supaya momentum ini boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap BN.
Namun, Dr. Zambry memberitahu pemberita, beliau sedang bekerja kuat bersama semua ADUN dan pegawai-pegawai kerajaan untuk kepentingan rakyat dan tidak ada masa untuk melayan karenah pembangkang.
Ketika pembangkang di Perak seperti orang yang kekeringan idea untuk membuat satu gelombang baru, selepas tamat pertunjukkan mogok lapar yang tidak mendapat sambutan rakyat, mengharapkan suasana di Perak sentiasa dilihat tidak tenang.
Ketika ini, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sedang berhempas pulas menyeret kemelut ini ke mahkamah setelah dua mahkamah menolak permohonannya.
Suatu ketika, Menter Besar Kelantan yang semakin keliru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Dr. Zambry layak dipanggil Menteri Besar Mahkamah tetapi Dr. Zambry sudah menjawab kata-kata Nik Aziz itu bahawa yang layak menjadi Menteri Besar Mahkamah ialah Mohammad Nizar kerana dia yang memulakan ‘siri ke mahkamah’.
Penyokong Pas di Perak seperti teruja apabila Mohammad Nizar mendapat sokongan DAP untuk menjadi Menteri Besar. Tidak hairanlah, penyokong Pas sanggup berbaring di atas jalan raya kerana mereka yakin inilah jihat paling besar untuk mereka bersama-sama DAP dalam kerajaan di Perak.
Pemimpin-pemimpin Pas tidak dapat melupakan budi baik DAP di Perak kerana tanpa sokongan DAP mana mungkin Pas layak menjadi Menteri Besar kerana Pas hanya menang lima dari 59 kerusi DUN di Perak.
Dalam kotak fikiran orang-orang Pas, DAP lebih ‘Melayu dan Islamik’ dari Umno kerana ada pemimpin DAP membaca sepotong ayat al-Quran ketika berucap sedangkan pemimpin-pemimpin Pas sendiri ada yang tidak pernah menyebut walau sepotong pun ayat al-Quran ketika di atas pentas.
Demi DAP, Mohammad Nizar ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang, sanggup bertempik “bubarkan DUN Perak” bagi membuktikan keberaniannya di depan Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming yang merupakan ‘bossnya’ dalam DUN Perak.
Bagi DAP inilah peluang terbaik yang mereka ada kerana Mohammad Nizar boleh bekerja bagi pihak DAP. Malahan, ketika DAP menganjurkan mogok lapar, Mohammad Nizar sanggup melancarkan program itu bersama-sama Speaker yang tidak sedar jawatannya tamatkan V. Sivakumar.
DAP berjaya membawa Mohammad Nizar di bawah pokok dan melantik Setiausaha Politik Mohammad Nizar menjadi Setiausaha Dewan Undangan Negeri di bawah pokok dan terus membacakan doa.
Bukan main hebat lagi V. Sivakumar ‘mempengerusi’ sidang di bawah pokok dan mereka percaya mereka sudah mencatat sejarah dalam politik dunia. Beberapa akhbar memperlekehkan usaha mereka ini dan menyamakan apa yang terjadi itu seperti kisah dalam Filem Laksamana DoReMi, seorang Raja yang bertakhta di bawah sepohon pokok. Dr. Zambry turut mengakui desas-desus mengenai lompat melompat ini datangnya dari pembangkang yang memang sentiasa mahu melihat politik Perak dalam keadaan tidak stabil.
Suatu ketika dahulu Mohammad Nizar dan pemimpin-pemimpin DAP yang tidak dapat menerima hakikat mereka sudah kehilangan kuasa dengan mengadakan mesyuarat di Kediaman Rasmi Menteri Besar.
Mohammad Nizar akhirnya terpaksa mengakui dia bukan lagi Menteri Besar Perak. Dia keluar dari Kediaman Rasmi Menteri Besar, dia memulangkan semula kenderaan rasmi dan dia mengisi boring untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dengan jawatannya sebagai ADUN Pasir Panjang.
Namun, ketika dia berceramah di luar, sama ada di luar Bukit Gantang atau di luar negeri Perak, Mohammad Nizar mengatakan dia adalah Menteri Besar Perak sedangkan dia sendiri tahu dia terpaksa berbohong dengan penyokong Pas yang taksub dan tidak boleh menerima realiti.
Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi sebenarnya sudah membuat keputusan yang mereka memilih untuk meninggalkan Pakatan Pembangkang dengan satu pengorbanan yang cukup besar, kehilangan kerusi Exco Kerajaan Negeri.
Bagi mereka, apa yang mereka dapat ketika bersama-sama pembangkang tidak akan terbayar dengan pengorbanan yang patut mereka lakukan demi bangsa Melayu dan agama Islam yang hampir-hampir tergadai disebabkan sikap Pas yang diperkudakan DAP.
Jika Dr. Zambry melantik Mohd Osman dan Radzi sebagai Exco sekalipun, tidak ada sesiapa yang boleh membantah kerana ‘pengorbanan’ kedua-dua tokoh ini sangat besar demi kebahagian rakyat khususnya orang-orang Melayu dan Islam di Perak.
Secara diam-diam Mohammad Nizar mengharapkan sangat-sangat kemasukkan semula Radzi dan Mohd Osman ke dalam Pakatan Pembangkang supaya Mohammad Nizar yang mendakwa dirinya masih Menteri Besar Perak, dapat membubarkan DUN Perak.
Mohammad Nizar seperti ‘mati celik’ kalau dia tidak dapat membubarkan DUN Perak kerana itulah perjuangannya bagi menutup karier politiknya ‘selaku Menteri Besar Perak’ selama 11 bulan.
Dr. Zambry, Exco-Exco dan ADUN-ADUN BN tidak sewajarnya membuang banyak masa dan sedaya-upaya menyelesaikan masalah rakyat di Perak dan jangan memperdulikan langsung ‘karenah orang gila talak’ yang masih berkeliaran di Perak.

Tiada ulasan: