Ahad, 7 Jun 2009

Usul tergempar muktamar : Suruhanjaya apa pula…?


oleh Zamzuri Damanhuri

DI KALANGAN kawan-kawan penulis, wartawan dan pemikir, masing-masing ada cerita lelucon apabila mengikuti perkembangan Muktamar Tahunan Pas yang ke 55 baru-baru ini. Paling lucu ialah usul tergempar yang dibawa Pas Kawasan Tambun (Perak) supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat pengambilan secara haram kerajaan negeri Perak.

Kalaulah ada anugerah atau oskar lucu terbaik, ia bolehlah diberikan kepada pembawa usul, Dr. Khairuddin Abdul Malek dan oskar kedua, pembantu (lucu) terbaik, kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad atau Ustaz Dzulkifli Ahmad dari Dewan Pemuda Pas (DPP) Pusat kerana menyokong dan turut membahaskan usul tergempar ini.

Kata seorang penulis veteran, kenapa Pas Kawasan Tambun mahu mengusulkan usul tergempar ini sedangkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang memilih untuk sembah derhaka kepada Baginda Sultan Perak sedang membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan?

“Dulu dah bawa ke Mahkamah Tinggi, menang. Di Mahkamah Rayuan kalah,” kata penulis veteran ini.Bila menang, kata ia melambangkan kedaulatan undang-undang. Bila kalah, dituduhnya mahkamah sudah ada skrip yang disediakan. Nanti, kalau menang di Mahkamah Persekutuan, mungkin puji-pujiannya kepada keputusan itu, melangit tetapi kalau sebaliknya, mengutuk hingga tidak ada batasan dan etika.

“Samalah juga kalau betul-betul kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja. Jika keputusan Suruhanjaya itu berpihak kepada kehendak mereka (Pas), maka dipujinya Suruhanjaya Siasatan DiRaja itu tetapi kalau sebaliknya, akan dituduhnya Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini ada skrip yang sudah disediakan,” ujarnya penulis veteran ini lagi.

Seorang wartawan muda yang berkelulusan universiti luar negeri pula berpendapat, Pas sengaja buat tindakan berterusan supaya mood dan emosi rakyat Perak boleh dimainkan sepanjang masa. Mereka bimbang jika mood dan emosi rakyat tidak dimainkan, nanti mereka (rakyat) akan lupa isu dan perjuangan Pas Perak itu.

Katanya, inilah yang melucukan. Penyokong Pas akan terus akur dengan permainan pemimpin-pemimpin mereka kerana mereka seperti tidak dapat berfikir lagi secara rasional. Jika sudah melalui proses mahkamah, untuk apa membuat pelbagai bantahan termasuk mogok lapar, memakai baju hitam dan membentangkan usul tergempar.

“Saya nampak di sini mereka main-main tetapi penyokong mereka menerimanya sebagai serius. Kesihan betul penyokong mereka yang tidak nampak yang mana main dan yang mana main-main,” kata wartawan muda ini.

Menurutnya, boleh membentangkan usul jika sudah tidak ada lagi saluran yang boleh digunakan demi mencari keadilan. Malangnya, ketika mereka menggunakan saluran mahkamah, mereka juga mahu menggunakan saluran politik dan dalam masa yang sama, menghasut rakyat supaya percaya mahkamah tidak adil dalam membuat keputusan.

Manakala pemikir yang berusia 60 tahun ini pula memberikan pandangannya mengenai Muktamar Tahunan Pas kali ini sebagai medan untuk membuat lebih banyak cerita lucu yang diterima para pengikutnya sebagai serius.

“Mereka mahu rakyat ikut kehendak mereka. Mereka mahu mahkamah ikut kehendak mereka. Mereka mahu SPRM ikut kehendak mereka. Mereka mahu SPR ikut kehendak mereka. Mereka mahu Suruhanjaya DiRaya ikut kehendak mereka dan akhir sekali mereka sendiri mahu menjadi mahkamah, mahu menjadi kerajaan dan mahu menjadi anggota Suruhanjaya Siasatan DiRaja,” kata pemikir ini tanpa mahu gelak walaupun semua kawan-kawan lain tergelak apabila dia bercakap.

“Saya serius. Kenapa kamu semua ketawa?” soalnya dan menyamakan kawan-kawan sama seperti penyokong Pas. Ketika Pas membuat keputusan yang main-main, penyokong mereka ber’main’ bermati-matian.Kita orang bermati-matian berjuang (baca: bertungkus-lumus), mereka me’mati’kan diri, seolah-olah mereka tidak perlu bermati-matian kerana mereka tahu lebih dari apa yang penyokong mereka tahu.

Seorang lagi penulis yang sudah bersara dari menjadi pensyarah di salah sebuah universiti terkemuka di tanahair pula berpendapat, Pas sebenarnya tidak mempunyai hala tujuan dalam perjuangannya. Menurutnya, ketika mereka mendesak supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, mereka juga membawa kes ke mahkamah.

“Mungkin Pas sudah tahu tanpa rakan kongsinya DAP mana mungkin mereka dapat menjadi Exco dan Menteri Besar di Perak. Maka, mereka buat semua ini bagi membuktikan kepad DAP bahawa mereka bersungguh-sungguh (baca: bermati-matian) memperjuangkan kerajaan Pakatan Pembangkang di Perak.

Kata penulis ini lagi, satu perkara yang mereka lupa, ketika mereka menyusun semua ini untuk menjadikan keadaan tidak harmoni, Allah akan bersama-sama orang yang bekerja ke arah keharmonian. Lagipun, sudah jelas mereka hanya bekerja untuk memastikan mereka dapat menjadi kerajaan tetapi mereka tidak langsung mahu menghargai demokrasi di Malaysia yang pernah meletakkan mereka di suatu kedudukan yang cukup tinggi.

“Mereka ni, kalau menang nanti dalam pilihan raya, mereka akan kata inilah kuasa rakyat tetapi kalau mereka kalah, mereka akan kata undi hantu dan penipuan yang menyebabkan mereka kalah. “ Penulis ini berhujah.

Kesimpulannya, masing-masing mahu YAB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang kini menjadi Menteri Besar Perak meneruskan tugasnya membela rakyat dan membawa pembangunan kepada Negeri Perak yang masih memerlukan komitmen dari seorang pemimpin yang juga merupakan seorang pejuang.

(Dipetik dari http://parpukari.blogspot.com)

1 ulasan:

Rantong berkata...

Suda2lah tu PAS. Jgn huru-harakan rakyat. DAP senyum je lihat korang.

View Profile: Rantong™