Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
citra_bangsa@yahoo.com
TERGAMAM saya membaca tulisan di Ruangan 7 Minit (Sinar Harian, Isnin 08 Jun 2009), oleh Azlina Mohd Jantan (Penolong Editor Edisi Terengganu) azlina@sharian.com .my kerana ada persamaan dengan tulisan-tulisan saya dalam blog ini dan blog bypass308.blogspot.com, yang saya anggap, Azlina dapat merasai denyut nadi rakyat Terengganu kini.
Saya petik tulisan Azlina; ‘Di Terengganu ketika ini, isu yang menduduki carta teratas dan paling hangat sudah pastilah kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang gah tiba-tiba runtuh menyembah bumi pada pagi Selasa, 02 Jun 2009, tepat jam 9.30 pagi.
Siapa yang tidak terkejut dan panik apabila bangunan yang bernilai RM292 juta baru setahun siap, dirasmikan Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Me 2008 serta menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) X11 sekelip mata bumbungnya ranap tanpa sebab. Bukan kerana gempa bumi, bukan juga kerana perbuatan khianat.
Faktor lebih mudah diterima akal dan logik sekali adalah berkemungkinan kelemahan struktur serta bahan binaan. Atau mungkin disebabkan arkiteknya? Atau mungkin juga kerana rekaannya maklumlah stadium itu yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.
Ada juga suara-suara nakal mengaitkan kejadian dengan mengatakan ada pihak menjadi ‘pengkhianat’ menyebabkan bangunan kebanggaan rakyat Terengganu itu tida diselenggarakan dengan baik. Dalam hal ini, ia berkait rapat dengan nilai kejujuran dan ketelusan.
Jesteru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) haruslah menyiasat apakah pemberian projek stadium dilakukan dengan cara betul, amanah dan tidak berlaku sebarang penyelewengan. Jawatankuasa bebas yang ditubuhkan pula harus berusaha mencari punca, sekali gus menjawab persoalan yang bermain-main di fikiran semua orang.
Ramai yang mempertikaikan kenapa harga stadium ini amat tinggi tetapi mutunya tidak setimpal dengan perbelanjaan dikeluarkan. Apakah ia menepati prosedur kelulusan projek kerajaan? RM292 juta lebur begitu sahaja dan kini berapa juta lagi diperlukan untuk dibaiki.
Semuanya berjuta-juta. Semoga SPRM dan pihak berkaitan berjaya dalam misi ‘pembongkaran’ dan berjaya juga menampakkan apa yang ‘terselindung’ selama ini.
Bagaimanapun, siasatan perlu dilakukan dengan betul. Jangan buat ala kadar seperti ‘melepaskan batu di tangga’ atau ‘hangat-hangat tahi ayam’ . Siasat ari A hingga Z, bermula dengan kontraktor shinggalah siapa yang membuat keputusan memilih kontraktor.
Memang mendebarkan, seolah-olah menunggu hukuman mati dijatuhkan. Kontraktor memanglah ‘berpeluh-peluh’ menunggu hukuman itu tetapi pada masa sama, jangan lepaskan orang yang menjadi dalang kepada pemilihan kontraktor. Mereka ini watak utama. Ketika ini bukan berpeluh-peluh lagi tetapi bermandi peluh.
Harus diingat, jika pemilihan dilakukan membuta tuli, keputusan dipengaruhi kroni, nepostime, korupsi atau rasuah, tidak mustahil perkara ‘runtuh-meruntuhkan’ akan berlaku. Runtuh bangunan dan runtuh moral. Dua-dua menakutkan!
Malah, selepas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, kini banyak lagi pembongkaran dilakukan membabitkan bangunan-bangunan agak popular di Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri berjanji bersedia mendedahkan kepincangan pembinaan di negeri ‘penyu bertelur’ membabitkan bangunan yang tidak selamat sebagai peringatan kepada semua pihak.
Kerisauan orang ramai harus ditamatkan. Adakah kita mahu melihat mereka takut ke stadium menonton (perlawanan) bola. Belum ada lagi pertandingan bola sepak yang hebat tiada penonton. Apalah maknanya bermain bola tanpa penyokong. Bayangkan pula jika golongan wanita tidak lagi ghairah menuju kompleks beli belah walaupun diskaun diberikan ‘meletup-letup’ , ‘harga runtuh’ hanya kerana bimbang bangunan runtuh.’
Jika pembaca ada kesempatan, sila baca tulisan-tulisan saya sebelum ini yang bertajuk ‘Mana Mubin, mana Rosol dan di mana DSIJ apabila bumbung stadium runtuh’, ‘Bumbung stadium runtuh: Di mana Din Adam?’ dan tulisan Hassan Md Hussien (Sandakan) bertajuk Runtuhan Stadium : Siasat Cara Pemberian Projek.
Banyak juga tulisan-tulisan lain yang hampir ada persamaan, yang mengambarkan seperti satu suara, satu rasa rakyat dalam memperjuangkan kebenaran. Yang peliknya, mereka yang terlibat dalam pemberian projek dan perlantikan kontraktor, boleh mematikan diri, buat-buat pekak, buat-buat tidak mendengar apa-apa yang orang ramai perkatakan.
Terima kasih Azlina Mohd Jantan. Terima kasih Sinar Harian dan terima kasih pembaca yang sentiasa mahukan suara dan fikiran kedua, selepas media arus perdana.
Selasa, 9 Jun 2009
Bumbung runtuh, Terengganu Popular
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan