Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)
BEBERAPA hari lepas, saya menulis siapakah yang menemani bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir apabila dia dituduh di mahkamah sesyen Kuala Terengganu baru-baru ini.
Ketika itu, saya dapat menyelami perasaan Dr. Ahmad Ramzi yang juga bekas calon BN di Parlimen Marang itu, tentunya sedang bersendirian dan kesedihan kerana jika selama ini khidmatnya digunakan tetapi apabila dia ‘terkena’ maka, hukum alam, berseoranganlah dia.
Ketika dia menjadi SetPol kepada Menteri Besar, dialah tempat tumpuan. Orang politik akan mengekori dia, siang dan malam kerana masing-masing percaya, jika boleh rapat dengan SetPol, bererti rapatlah dengan Menteri Besar.
Malangnya, nasib orang politik memang begitu. Masa gelak, ramai kawan tetapi masa menangis, anak-anak dan isterilah yang ada di samping. Khabarnya, bekas bossnya, Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ) sendiri pun tidak bertanya khabar dengannya sebaik sahaja Dr. Ahmad Ramzi bergari di hadapkan ke mahkamah.
Dari satu cerita yang datangnya dari Bahagian Setiu, Dr. Ahmad Ramzi ada mengeluh akan nasib yang menimpanya kepada seorang sahabatnya. Namun, dia sedar, dia berkorban, dia mengadai nyawa dan perjuangannya kepada orang yang silap. Orang yang tidak pernah tahu mengenang budi dan tidak tahu menilai erti persahabatan.
Apa yang lebih menyedihkan, Geng 10 yang mendakwa mereka bukan dari kalangan ADUN di Terengganu yang ‘cap ayam’ tetapi masing-masing ada ‘kepentingan masing-masing’. Mereka tidak bersetuju dengan Dr. Ahmad Ramzi dan mereka ada terlepas cakap dengan kawan-kawan ‘siapa buat dialah tanggung’.
Maknanya, mereka mahu menghantar mesej kepada Dr. Ahmad Ramzi, jika tangan berani mencincang, maka bahu mestilah sanggup memikul’. Apakah Dr. Ahmad Ramzi menerima mesej itu? Adakah Dr. Ahmad Ramzi sudah kena siapa kawan dan siapa lawan sekarang?
Mana mereka yang dulunya sering mengekorinya? Mana mereka yang dulu selalu menghubunginya kerana mahu melobi tempat dan mahu melobi projek? Inilah hakikatnya! Itulah sebabnya, dalam politik memang tidak ada setiakawan. Masing-masing berkawan kerana ‘kepentingan’ di depan mata dan bukan kerana kejujuran dan setiakawan.
Siapa yang datang bertanya khabar kepada Dr. Ahmad Ramzi sekarang? Berapa kali DSIJ atau rakan-rakan seperjuangannya yang menghubunginya kerana bersimpati dan memberikan sokongan moral? Apakah ini sebenarnya politik yang mereka faham?
Memetik tulisan saya sebelum ini, yang pernah tersiar dalam blog http://lesungbatu.webs.com dan dipetik oleh blog http://citra-bangsa.blogspot.com …
‘BEKAS Setiausaha Politik (SetPol) kepada bekas Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ), Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat tuduhan, menghantar sms bernada ugutan kepada tiga ADUN dan menggunakan penyamaran nombor telefon tangan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda.
Ahmad Ramzi Mohd Zubir sebelum ini dikenakan waran tangkap apabila gagal menyerah diri kepada polis apabila diminta berbua demikian. Dalam blog ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid mempertikaikan apakah benar ada ‘klon’ sim-kad telefon tangan yang menyebabkan nombor orang lain boleh digunakan oleh orang lain tanpa sebarang kebenaran.
Cekap juga polis
Ketiga-tiga ADUN yang takut dengan SMS itu hingga menyebabkan mereka tidak menghadiri sidang DUN Terengganu, kerana bimbang akan ancaman tersebut. Mereka, YB Zakaria Abdullah(Paka), YB Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Rosol (Ajil) terpaksa mencari perlindungan di Felda Residen, kerana takut DUN Terengganu tidak selamat.
Ketakutan ketiga-tiga ADUN ini turut mendapat sokongan dari tujuh ADUN lain, termasuk DSIJ, menyebabkan mereka berkumpul di Felda Residen, kerana bagi mereka, di situlah tempat yang paling selamat dalam Negeri Terengganu.
Khabarnya, mereka bersarapan, makan dan minum secara berkelompok hingga menyebabkan Ketua Polis Terengganu mengeluarkan kenyataan bahawa keselamatan DUN Terengganu terjamin dan tidak ada apa-apa yang perlu digusarkan.
Mengikut kertas pertuduhan Ahmad Ramzi bertanggungjawab menggunakan nombor 019 915 8369 telefon genggam milik SUSK Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda dan penghantaran SMS itu menggunakan khidmat web http://ownsmsbiz/v1 yang ada kaitan dengan Ahmad Ramzi dan bossnya.
Beberapa ketika Geng 10 yang bersimpati dengan ketiga-tiga ADUN yang menerima sms bernada ugutan itu mendesak supaya Wan Ahmad direhatkan (diberi cuti sebelum diberhentikan) sehingga polis selesai menjalankan siasatan.
Kes ini akan disebut semula 19 Julai depan dan Ahmad Ramzi dibebaskan dengan jaminan RM8.000 dan paspot antarabangsanya diserahkan kepada pihak mahkamah.
Dalam negara yang mendaulatan undang-undang, Ahmad Ramzi tidak perlu risau kerana dia boleh mendapatkan khidmat peguam-peguam handalan untuk membela dirinya dari empat tuduhan tersebut kerana jika diab berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah, dia akan terlepas dari hukuman dan jika dia tidak bersalah, apa yang dia takutkan berdepan dengan pendakwaan?
Tidak pula diketahui apakah Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Ahmad Ramzi kerana dia sudah dhadapkan ke mahkamah. Ahmad Ramzi adalah AJK Umno Bahagian Marang kerana sebelum in, Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, mana-mana pemimpin Umno yang dihadapkan ke mahkamah, jawatannya akan digantung sehingga kes itu selesai.
Untuk catatan, Ahmad Ramzi adalah calon BN di Parlimen Marang yang kalah di tangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 2,747. Dalam PRU 11, 2004, calon BN, Datuk Abdul Rahman Bakar menang di kerusi Parlimen Marang mengalahkan Hadi dengan majoriti 163 undi tetapi dalam PRU 12, Rahman Bakar digugurkan dari senarai calon BN.
Setakat hari ini, DSIJ belum kedengaran mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai Ahmad Ramzi dan dia juga tidak menafikan penglibatannya dalam isu ini. Persoalan sekarang, siapakah yang mengiringi Ahmad Ramzi ketika dibicarakan di mahkamah? Adakah Rosol, Zakaria, Abdul Halim dan DSIJ sudi bersama-sama Ahmad Ramzi ke mahkamah sebagai sokongan moral kepada ‘pakar strategi ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan