Oleh Malek Saiful Muda
GEMPAR! Kini terdedahlah cerita yang cukup mengemparkan. Geng 10, iaitu mereka yang terlibat memboikot sidang DUN Terengganu rupa-rupanya sudah mula berpecah. Dari 10 ADUN ini, rupa-rupanya masing-masing ada ketua sendiri-sendiri, yang mereka rasakan layak menjadi Menteri Besar, sekiranya Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ) masih tidak diterima pihak istana.
Dari 10 ADUN ini, sudah mempunyai tiga puak. Mereka bersatu dalam Geng 10 di belakang DSIJ tetapi jika DSIJ kekal tidak dapat menjadi MB Terengganu semula, dari 10 ADUN ini, ada tiga yang sedang memasang badan, mahu menjadi MB Terengganu, menggantikan MB sekarang, Datuk Ahmad Said.
Ada tiga ADUN mahukan Datuk Din Adam (ADUN Bukit Besi) menjadi MB Terengganu, ada tiga lagi ADUN mahukan Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil) dan ada empat ADUN mahukan Alias Abdullah (ADUN Alur Limbat). Rupa-rupanya, Geng 10 hanya mahu bersatu jika DSIJ dilantik semula menjadi MB tetapi jika tidak, masing-masing ada ‘calon mereka sendiri’.
Din Adam didakwa cukup yakin dia boleh menjadi MB Terengganu kerana hubungan rapatnya dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Dialah salah seorang ADUN yang begitu celupar menyerang kepimpinan Datuk Ahmad Said ketika pertemuan ADUN dengan Hishammuddin yang diadakan di KDN, tidak lama dulu. Khabarnya, Hishammuddin enggan mengadakan pertemuan dengan ADUN dan ketua-ketua bahagian di rumahnya walaupun waktu malam, bimbang masing-masing membawa penyokong yang menjadikan situasi sukar dikawal.
Sementara itu, mereka yang menyokong Rosol pula mendakwa, Rosol merupakan ‘proksi’ DSIJ di Terengganu dan jika putih kata DSIJ, maka putihlah kata Rosol dan jika hitam kata DSIJ, maka hitamlah kata Rosol yang menyebabkan mereka yang menyokong Rosol berpendapat, hanya Rosol sahaja yang mampu memulihkan imej DSIJ dalam politik Terengganu, jika dia berjaya menjadi Menteri Besar.
Setakat ini, Rosol merupakan salah seorang dari anggota Geng 10 yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berhasrat menjadi MB Terengganu jika Datuk Ahmad Said mahu digantikan. Kata Rosol, dia sedar, dia tidak akan berhasrat menjadi MB Terengganu kerana sedar kemampuan yang dia ada.
Din dan Rosol kini tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat Umno bahagian. Din tewas dalam usahanya mahu menjadi Ketua Umno Bahagian Dungun manakala Rosol tewas dalam usahanya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.
Sementara itu, ADUN Alur Limbat, Alias Abdullah didakwa cukup berkeyakinan mampu menjadi MB Terengganu kerana dialah satu-satunya ADUN yang bukan ‘cap ayam’ tetapi orang lain dianggapnya sebagai ‘cap ayam’ termasuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Seorang penyokong Alias mendakwa, Alias kini sedang berusaha menyaingi popularity Ketua Umno Bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Terengganu dan merupakan salah seorang ketua bahagian yang menjadi ADUN, selain dari Datuk Ahmad Said dan DSIJ.
Alias pula adalah timbalan ketua bahagian Marang dan merupakan seorang jurucakap Geng 10 yang agak terkehadapan dan dilihat sanggup berdepan dengan pihak istana, selain dari Rosol dan Din Adam. Khabarnya, Alias didakwa yakin Istana Terengganu tidak akan menolak namanya jika dicadangkan menjadi MB.
Sejauh mana kebenaran dakwaan ini tidak dapat disahkan tetapi Geng 10 kini sudah semakin berpecah, lebih-lebih lagi DSIJ dikatakan tidak berada di dalam negara ketika bekas Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana tuduhan menghantar SMS yang mengancam nyawa tiga ADUN dan memfitnah SUSK Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda.
Dari laporan akhbar, ketika Dr. Ahmad Ramzi dihadapkan ke mahkamah, tidak seorang pun dari anggota Geng 10 yang tampil memberi sokongan moral kepada bekas SetPol MB Terengganu ini menyebabkan banyak pihak mendakwa, masing-masing mahu menyalahkan Dr. Ahmad Ramzi yang ‘tersilap strategi’ ketika isu ini dicipta.
Tidak pula ada mana-mana pihak yang memberitahu apakah ketiga-tiga ‘MB in waiting’ ini sudah menempah sut baru atau membeli tali leher baru untuk persiapan menjadi Menteri Besar Terengganu tetapi ada cerita yang tidak boleh disahkan memberitahu, baju Melayu hitam masing-masing sudah dihantar dobi untuk cucian kering (dry cleaning).
Rabu, 10 Jun 2009
Geng 10 : Ada tiga calon MB ‘in waiting’
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
salam tuan,
tak kan tak de kesudahannya UMNO Terengganu ni? Apa kah Najib dab Hishammuddin akan terus mendiamkan diri?
Hishammuddin tidak boleh menyebarkan sindrom lembiknya merosakkan UMNO terengganu. Perpaduan dan kesejahteraan parti serta ahli di akar umbi perlu dipastikan walau terpaksa mengenepikan 'kawang2' sendiri...berani ker hisham?
najib semacam tak peduli jer kenapa?
Apakah najib merasakan masaalah di Terengganu tidak penting kerana Ahmad Said bukan nya MB yang lahir dari keluarga dan keturunan bangsawan sepertinya yang mesti mendapat pembelaan sewajarnya?
Kalau pun UMNO Terengganu dah retak jangan pulak pemimpin tertinggi membiarkan nya hingga jadi tokak...
Rakyat dan ahli marhaien UMNO dah muak!
Catat Ulasan