Oleh Abdul Wahab Idrus
DALAM Pas, kekalahan dua ‘bintang’ yang menonjol diri dengan menumpang populariti politik Perak, dilihat sebagai strategi yang memakan diri sendiri dan gagal membawa keuntungan politik peribadi.
Sinateron popular kisah mawas
Kisahnya panjang bergalah-galah
Husam masuk Husam tewas
Mat Sabu lebih teruk lagi, bila kalah
Pantun ini direka khas buat kedua-dua calon timbalan presiden yang kalah dalam Muktamar Tahunan Pas ke 55, walaupun mereka berusaha mencari ‘political mileage’ dengan mencampuri kemelut politik Perak.
Husam, dikatakan menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mencadangkan supaya Dr. Zambry menyembahkan kepada Paduka Seri Sultan Perak supaya memperkenankan pembubaran DUN Perak bagi diadakan pilihan raya semula.
Banyak juga blog yang pro Husam menulis berita kerajinan Exco Negeri Kelantan ini, mahu membantu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang gagal dalam usahanya mahu mendapat perkenan Tuanku Sultan supaya DUN Perak dibubarkan.
Dari segi politiknya, Husam dilihat cerdik. Dalam usahanya mendapat undi, bagi mengalahkan penyandang jawatan, Nasaruddin Mat Isa, Husam memainkan sentimen politik Perak bagi mempengaruhi perwakilan Perak supaya menyokongnya.
Bila Mohamad Sabu nampak Husam begitu pantas mencari undi di Perak, Mohamad Sabu pula dikatakan mengeluarkan kenyataan mengajak penyokong Pas berhimpun bagi menghalang Persidangan DUN Perak yang mereka ketahui, mahu membuat pemecatan terhadap Speaker DUN, V. Sivakumar dan melantik Datuk Ganesan.
Mohamad Sabu ditahan pihak polis kerana ‘hasutannya’ itu walaupun akhirnya mahkamah membebaskannya tetapi semua usaha ini dibuat kerana dalam Pas, ada pertandingan.
Apakah jika dalam Pas tidak ada pertandingan atau jika ada pertandingan sekali pun, tetapi kedua-dua ‘bintang’ ini tidak bertanding, adakah Husam sedia menulis surat kepada Menteri Besar?
Begitu juga dengan Mohamad Sabu. Jika tidak ada pertandingan, apakah berlaku apa yang didakwa polis sebagai hasutan mengajak penyokong Pas berhimpun di Ipoh? Ada yang berpendapat, kedua-duanya hanya duduk diam sahaja, sama seperti mereka yang ‘berdiam diri’ selama krisis di Perak berlaku.
Tetapi disebabkan ‘undi akan datang’ dengan kerja-kerja popular yang mereka buat, maka semua calon-calon nampaknya bekerja keras ‘merosakkan’ lagi keadaan di Perak supaya mereka sentiasa berada di dalam ‘berita’.
Malangnya, usaha Husam dan Mohamad Sabu gagal memikat hati perwakilan. Perwakilan Pas sedar, mereka memerlukan seorang pelapis kepada Presiden dari kalangan mereka yang terpelajar, ulama dan warak.
Perwakilan Pas belum bersedia memilih ‘tong kosong’ yang hanya mempunyai kebolehan berucap seperti penjual ubat di kaki lima yang berjaya menghimpunkan pendengar tetapi kerja-kerja untuk pembangunan rakyat, mereka tidak mempunyai kemampuan melakukannya.
Bukan main kecewa Husam apabila tewas. Nasib baiklah ada kawan-kawannya dalam barisan tertinggi mencadangkan supaya mereka berdua dilantik menganggotai Majlis Tertinggi kerana khuatir ceramah-ceramah Pas tidak akan punya pendengar lagi apabila tong-tong kosong sudah disisihkan.
Jadi, ketika Husam dan Mohamad Sabu ‘membantu’ mengeruhkan lagi suasana politik di Perak, yang mendapat popularity secara tidak langsung ialah Mohamad Nizar. Itulah sebabnya Mohamad Nizar mendapat undi tertinggi di kalangan anggota Jawatankuasa Kerja Pusatnya walaupun dia baru sangat ‘muncul’ dalam hirerki kepimpinan Pas.
Dari segi gerak kerja dan sumbangan, Mohamad Nizar sebenarnya belum membuktikan apa-apa kepada Pas kecuali kehadirannya dalam politik tanahair sekarang jelas membantu menguatkan DAP di Perak.
Penyokong-penyokong Pas yang terpegun dengan penerimaan DAP terhadap Mohamad Nizar memberi kemenangan yang besar kepadanya kerana yakin dengan kemenangan itu DAP akan lebih percaya kepada pengaruh Mohamad Nizar dalam Pas.
Jika perwakilan Pas tidak memberi kemenangan yang besar kepada Mohamad Nizar, selepas ini susahlah DAP hendak memberi kepercayaan kepada Mohamad Nizar lagi. Setakat ini apa yang Mohamad Nizar sudah lakukan di Perak, betul-betul memberi kelebihan kepada DAP dan DAP amat menyanjung tinggi budi baik Mohamad Nizar.
Husam membantu mempopularkan Mohamad Nizar. Mohamad Sabu juga membantu menaikkan saham Mohamad Nizar dalam Pas. Malangnya, Husam dan Mohamad Sabu tenggelam dek popularity yang tidak berkesan.
Ada penganalisis memberitahu, jika bukan kerana kemelut politik Perak, populariti Husam, Mohamad Sabu dan Mohamad Nizar lebih teruk lagi. Mana mungkin Mohamad Nizar mampu mengutip undi tertinggi dalam Jawatankuasa Kerja Pas Pusat jika bukan kerana ‘permainan wayang kulit’ yang dilakonkannya. Tetapi, kata mereka jika Mohamad Nizar bertanding dalam DAP, mungkin Mohamad Nizar boleh menang mudah kerusi Naib Presiden (Melayu).
Bolehah selepas ini, Mohamad Nizar mempertimbangkan idea ini, menyertai DAP dan meninggalkan Pas. Dalam DAP, kerusi Naib Presiden biasanya ‘banyak’. Ia termasuk quota Melayu, India dan lain-lain walaupun biasanya Cina menjadi Setiausaha Agung, satu jawatan cukup berkuasa daripada jawatan Pengerusi.
Parti komunis juga dikatakan memberi kuasa yang cukup besar kepada Setiausaha Agung daripada kuasa Pengerusi. Itulah sebabnya Pengerusi Parti Komunis Malaya yang dipegang Musa Ahmad tetap memberi kuasa kepada Chin Peng yang menjadi Setiausaha Agung.
Walaupun DAP bukan Parti komunis tetapi caranya seperti ada persamaan bila Setiausaha Agung lebih berkuasa dari Pengerusi.
(Tulisan ini dipetik dari http://parpukari.blogspot.com)
Sabtu, 13 Jun 2009
Husam tewas, Mat Sabu kalah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan