Sabtu, 13 Jun 2009

Kerajaan Perpaduan : Penyokong Pas lebih rela sokong Anwar dari Hadi



Oleh Abdul Wahab Idrus


JIKA Nik Aziz Nik Mat bantah, ia bukan isu tetapi kalau Anwar Ibrahim setuju, semua penyokong Pas akan setuju. Itulah sebabnya, kebelakangan ini penyokong Pas sudah berani menyatakan bantahannya terhadap Hadi Awang walaupun cadangan Hadi itu belum pun dilaksanakan lagi.
Bagi penyokong Pas di Perak, mereka seperti sudah bersumpah, jika sesuatu ‘perundingan’ itu merugikan DAP, Pas akan menentang kecuali, Anwar arahkan mereka menyokong. Setakat ini, Anwar yang mahu pergi berunding dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Ini bermakna, jika Anwar yang kehadapan, ia mewakili Pakatan Pembangkang dan bukan Pas. Anwar mahu mengetuai Pakatan Pembangkang seperti dia mengetuai pembangkang sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Dia lupa, dalam Muktamar Pas, suara Pas yang ke hadapan dan tidak timbul soal DAP dan PKR tidak bersetuju. Kenapa pula apa yang diputuskan Pas dalam Muktamar mesti ada pemimpin DAP dan PKR yang hendak campur tangan? Ini soal dalaman parti itu dan apa sahaja yang Hadi hendak suarakan, dia tidak perlu merujuk kepada Karpal Singh dan Anwar Ibrahim kerana kedua-duanya bukan ‘orang Pas’ yang perlu dirujuki.
Malangnya, sudah ada penyokong Pas dan penulis yang pro Pas terkeliru. Mereka mula marah-marah dengan Hadi kerana Anwar dan Karpal tidak bersetuju. Malahan, seorang penyokong Pas dari Perak secara terang-terangan mengatakan, mereka perlu menjaga hati dan perasaan pemimpin DAP di Perak.
Inilah krisis terbesar orang Pas dalam abad ini. Mereka sudah terlupa bahawa Hadi Awang adalah pemimpin mereka dan mereka wajib mentaatinya. Mereka sudah jauh tersasar kerana mereka sudah menyamakan kedudukan Hadi dengan Karpal, Ngeh, Nga dan Karpal.
Mungkin juga mereka turut mematuhi arahan pemimpin-pemimpin DAP di Perak. Jangan terkejut jika isu tidak terlantiknya Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Pesuruhjaya Pas Perak akan diungkit mereka yang tidak puashati dengan Hadi.
Kesihan penyokong Pas. Mereka benar-benar berjaya dirosakkan dengan kemenangan dan kuasa yang tidak seberapa. Jika selama ini mereka mendabik dada kononnya perjuangan mereka hanya kerana Allah, kini, mereka secara perlahan-lahan sudah mahu mengalihkan arah perjuangan mereka kepada Nga dan Ngeh di Perak dan di peringkat Pusat, mereka berketuakan Karpal dan Anwar.
Apa mereka komen apabila Hadi menamakan Datuk Mustaffa Ali sebagai Setiausaha Agung Pas? Mereka kata “inilah geng Terengganu’ yang mengalahkan Pas di Terengganu setalah sempat berkuasa 1999-2004.
Maknanya, mereka sekarang mahu memilih Nik Aziz sebagai Presiden Pas dan menolak Hadi. Mereka betul-betul marah kerana orang Kelantan diketepikan langsung dari hirerki kepimpinan Pas 2009-2012. Bagi mereka, ini adalah suatu keputusan yang betul-betul ‘menghina’ Pas di Kelantan.
Penyokong Pas lupa, bila orang Pas terima kepimpinan orang Kelantan? Selepas Allahyarham Asri Muda diketepikan secara ‘menghina’, mana ada orang Kelantan diangkat menjadi Presiden Pas. Bukan setakat Presiden, malahan, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, termasuk Ketua Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat juga tidak kedapatan orang Kelantan.
Lupa? Muncul Husam Musa kerana Husam pandai mencari publisiti yang menyebabkan dia boleh menang Naib Presiden tiga tahun lalu, itu pun kali ini jika dia berhasrat bertanding semula kerusi Naib Presiden, dia akan kalah kerana perwakilan tidak dapat menerimanya.
Husam dikenali sebagai ‘kumpulan endorgan’ dalam Pas dan jika bukan kerana ‘label’ itu pun, dia tidak akan menang dalam pemilihan kali ini kerana perwakilan Pas sudah bijak menilai, mana dia pemimpin pelapis yang perlu disediakan dalam era IT ini.
Hari ini, sudah terdapat penyokong Pas yang terlalu sedih apabila Husam kalah dalam pemilihan di Muktamar tahunan ke 55, bagi merebut jawatan Timbalan Presiden, mereka membuat onar dalam parti. Budaya siapakah ini, bila kalah, tidak dapat menerima kekalahan dan kemudian berarak di jalan raya?
Kata budak-budak muda, sudah biasa dengar ayat-ayat ini tetapi di mana ya…? Mereka lupa, dalam pertandingan memang ada yang menang dan ada yang kalah. Begitu juga di Perak, bila Mohamad Nizar membawa kes ke mahkamah kerana tidak puashati dengan keputusan Paduka Seri Sultan Perak yang memperkenankan perlantikan YAB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.
Apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan, mereka mula tidak puashati. Mereka mula buat mogok lapar dan mereka mula buat onar. Nasib baik, dalam Pas, bila Husam dan Mohamad Sabu tewas, mereka yang menyokongnya tidak mahu buat mogok lapar. Mungkin tiada arahan dari DAP, agaknya. Kalau ada arahan, mungkin mereka juga mogok lapar.
Bayangkanlah, apabila Mufti Perak, SS Tan Sri Dr. Hairussani Zakaria menegur perbuatan mogok lapar itu menyalahi agama Islam, Mufti Perak diserang hebat kerana mereka ini hanya berguru dengan ustaz Pas dan DAP yang sudah mula menyebut sepotong ayat Quran dalam ucapannya.
Penyokong Pas kena kembali kepada perjuangan asal. Ingat! Pas bukan dipunyai Husam, Anwar atau Karpal. Pas dipunyai ahli-ahli Pas yang setia kepada perjuangan dan bukan taksub kepada pemimpin. Malanglah Pas jika kerjasama yang mereka jalinkan dengan DAP dan PKR menyebabkan mereka kehilangan idealism perjuangan.
(Dipetik dari http://parpukari.blogspot.com)

Tiada ulasan: