Rabu, 24 Jun 2009

Umno Perlis sakan berebut, Pakatan Rakyat berpeluang tawan



Oleh Safar Jumaat

KETIKA ini orang Umno mungkin terlepas pandang, apakah akan jadi dengan Umno Perlis apabila krisis berlanjutan hingga menyebabkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan dapat menawan negeri itu dalam PRU ke 13.
Bagi orang Umno, Perlis mungkin tidak begitu penting kepada mereka. Dengan tiga bahagian sahaja, Umno hanya mempunyai 39 perwakilan dari Perlis yang tidak mungkin menjejaskan peluang sesiapa yang ingin bertanding jawatan tinggi dalam parti.
Krisis ini bermula dari pertukaran Menteri Besar selepas PRU 12 yang lalu. Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendapat kebenaran dari Kuala Lumpur untuk menjadi MB Perlis, tiba-tiba tidak mendapat perkenan istana.
Hari ini sudah kedengaran beratus-ratus ahli Umno meninggalkan Umno dan menyertai PKR. Terbaru di Kuala Perlis. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu cuba menafikan ada krisis dan disambut penasihat Umno Perlis, Datuk Radzi Sheikh Ahmad.
Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Subuh secara terus terang mengesahkan dia sedang memikirkan untuk meninggalkan Umno dan mencari satu parti lain yang boleh dijadikan wadah perjuangannya.
Dalam sejarah politik Perlis, krisis sebenarnya memang wujud tetapi tidaklah seteruk sekarang ini. Dua orang bekas menteri dari Perlis, Radzi dan Datuk Azmi Khalid ketika menjadi menteri tidak mahu menjadi ketua Umno bahagian. Radzi melepaskan jawatan ketua bahagian Kangar manakala Azmi melepaskan jawatan sebagai ketua bahagian Padang Besar.
Namun, selepas tidak dilantik semula menjadi menteri, Azmi bertanding mahu merebut semula jawatan itu tetapi tewas.
Radzi pula, ketika dilantik menjadi Setiausaha Agung Umno, ramai yang melihatnya sebagai ‘orang kanan’ bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi apabila tidak dilantik semula menjadi menteri, jawatan Setiausaha Agung Umno dilepaskan hanya dengan menghantar faksimili sahaja ke pejabat Perdana Menteri.
Md Isa pula, bekas Ahli Parlimen dan bekas Exco dan antara orang lama dalam Umno Perlis walaupun tidak pernah menjadi ketua bahagian. Dia pernah menjadi setiausaha sulit Radzi ketika Radzi menjadi timbalan menteri, sebelum kewujudan Parti Melayu Semangat 46, sedikit waktu dulu.
Bila Radzi mendapat jawatan, Md Isa bekerja dengan Radzi dan bila Md Isa dapat jawatan, Radzi bekerja dengan Md Isa. Ini semua ‘permainan’ yang disusun sedemikian rupa untuk menguasai Umno Perlis yang selama ini terlalu dominan buat Shahidan.
Ketika Shahidan Menteri Besar, Radzi dan Shahidan dilihat bermasalah. Azmi juga dikatakan seperti tidak ‘sebulu’ dengan Radzi. Shahidan juga dikatakan sentiasa bercanggah dengan Azmi.
Bila Shahidan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis, Azmi dan Radzi sengaja tidak mahu menjadi ketua bahagian kerana tidak mahu duduk dalam Umno Perlis dan bekerja di bawah Shahidan.
Tinggallah Shahidan berhempas pulas memperkuatkan Umno Perlis hingga menang PRU 12 yang lalu walaupun Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak tumbang. Kemenangan yang dibawa oleh Shahidan ini tidak menyebabkan Radzi senang hati dan Shahidan mendakwa berlaku ‘penipuan’ hingga menyebabkan dia tersingkir dari kerusi Menteri Besar.
Sebaik sahaja Md Isa menjadi Menteri Besar, dia melantik Amier Hassan menjadi Setiausaha Politiknya. Amier adalah bekas Naib Ketua Umno Bahagian Arau, di mana Shahidan adalah ketuanya.
Kedengaran desas-desus Amier bercadang mahu menentang Shahidan di Arau baru-baru ini tetapi gagal. Mungkin kerana kegagalan Amier menggugat kedudukan Shahidan di Arau menyebabkan Amier diberhentikan dari jawatan Setiausaha Politik dan digantikan dengan orang Kangar.
Pernah satu ketika, Dr. Mahathir Mohamad didikatakan mendakwa bahawa Perlis yang mempunyai hanya dua bahagian ketika itu, Arau dan Kangar sebagai Korea Utara dan Korea Selatan.
Ketika itu Umno Kangar diketuai Radzi dan Arau diketuai Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh. Ada cerita di Perlis membertahu, Dr. Hamid meninggalkan dunia YB di Perlis kerana tidak dapat menerima Azmi Khalid yang diterima bertanding di Padang Besar.
Sejauh mana kebenaran cerita itu, tidak ada sesiapa dapat mengesahkannya kerana ada dakwaan mengatakan keluarga Azmi pernah menyerang Dr. Hamid kerana Azmi tidak disenaraikan sebagai calon dalam suatu pilihan raya umum ketika Dr. Hamid masih menjadi MB Perlis.
Amier ketika dihubungi mengakui dia sekarang menghabiskan banyak masanya di Hulu Langat kerana berkebun, memilih untuk menjawab “saya sedang mencari ilham di sini” ketika ditanya mengapa hanya setahun sahaja berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis.
Beberapa pihak melihat, ketika ini wakil Perlis yang tidak mendapat apa-apa jawatan dalam kerajaan kerana krisis ini. Jika mereka tidak berkrisis, tidak mustahil salah seorang dari tiga Ahli Parlimen Perlis, akan menjamah satu kerusi, paling tidak timbalan menteri.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kassim disebut-sebut akan dilantik menjadi timbalan menteri dalam susunan kabinet Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini, tetapi hampa.
Malahan, melihat semua calon MT dari Perlis tewas, Najib melantik Shahidan menduduki kerusi MT manakala jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis diberikan kepada Md Isa.
Md Isa tidak dilantik menjadi anggota MT tetapi atas kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Menteri Besar, dia adalah anggota MT turut serta sama seperti MB Terengganu dan MB Perak.
Maka, jangan terkejut, selepas ini Pakatan Rakyat akan menguasai Perlis bukan kerana krisis yang melanda Umno tetapi rakyat sudah mula muak dengan gelagat pemimpin mereka.
Mereka berebut jawatan, mereka bergaduh sama sendiri dan mereka mengaut kekayaan tanpa mendahulukan rakyat seperti slogan yang sering dilaung-laungkan.

(Dipetik dari Harakah Bil 1448, 19-21 Jun 2009, muka surat N21)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Biasalah, bila berebut ada yang tercicir. Macam orang berebut duit, ada yang jatuh melayang dll. Masa pemilihan UMNO yang bertabur duit, masuk toilet jumpa envelop basah, tercicir. Buka wow, ada RM5k. Syok kalau UMNO masih rajin pakai duit, kita yang datang melancong ke perhimpunan UMNO pun merasa tempias.