Ahad, 28 Jun 2009

Lebih baik kata tak tahu dari buat-buat tahu


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
citra_bangsa@yahoo.com

TERBACA tulisan Mat Zain Mat Isa (Harakah Bil 1451, 29 Jun – 2 Julai 2009) bertajuk Menteri Besar yang ‘serba tidak tahu’ membuat rasa terpanggil untuk menjawab tulisan itu, sekaligus mahu menegur penulis-penulis yang pro PAS supaya belajar menegur pemimpin sendiri daripada tunjuk pandai hingga berlagak seperti pandir.
Penulis itu, memberi fokus kepada apa yang berlaku di Terengganu, tetapi kononnya berada di luar pengetahuan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Pastinya selepas ini, akan ada kritikan terhadap tulisan ini kerana ‘menyokong pemimpin Umno seolah-olah salah bagi penyokong PAS tetapi kalau menyokong mereka, PAS, PKR dan DAP, seolah-olah dijanjikan kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat’.
Mat Zain Mat Isa menyentuh mengenai desas-desus undi tidak percaya terhadap kepimpinan Menteri Besar dalam sidang DUN dua bulan lalu, Datuk Ahmad yang ditanya pihak media menjawab beliau tidak tahu mengenai ura-ura tersebut.
Apa sebenarnya yang Mat Zain Mat Isa harapkan jawpaan dari Datuk Ahmad Said? Salahkah jawapan Datuk Ahmad Said itu? Atau, apakah perlu semua perkara ‘dijawab’ apabila ditanya pihak media? Di universiti mana Mat Zain Mat Isa menuntut ilmu kewartawanannya?
Menjawab pertanyaan wartawan dengan mengatakan ‘tak tahu’ adalah lebih baik sebenarnya daripada menjawab ‘tahu’ tetapi hakikatnya tidak tahu. Menteri Besar PAS di Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sering ‘tahu banyak perkara’ tetapi anaknya sendiri, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan bapanya sebagai ‘diberi nasihat yang salah oleh para penasihatnya’.
Langkah Datuk Ahmad Said menjawab ‘tak tahu’ sebenarnya menunjukkan kebijaksanaannya sebagai seorang pemimpin negeri. Amatlah malang bagi Negeri Terengganu jika ada pemimpin yang seperti Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besarnya kerana perancangan untuk pembangunan pendidikan anak-anak tidak menjadi perjuangannya tetapi dia sibuk dengan mencampuri pelbagai isu nasional.
Nama Nik Aziz disebut saban hari bukan kerana dia hebat sebagai seorang Menteri Besar tetapi kerana kecelaruan dalam pemikirannya.
Bayangkan dia boleh membuat sindiran kononnya Umno sama dengan komunis dan Ayah Pin sedangkan dia sendiri pasti tahu Ayah Pin itu adalah ahli Pas yang ‘mendakwa dia pemerintah kerajaan langit’.
Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Nik Aziz tidak perlu meminta maaf kepada Umno tetapi mohonlah keampunan kepada Tuhan (Allah) atas keterlanjurannya itu.
Sebagai penulis tetap di Harakah, Mat Zain Mat Isa sepatutnya mempunyai satu ‘kekuatan sendiri’ untuk memperkatakan yang benar dan menolak penyelewengan. Ingat, rasuah atau korupsi bukan sahaja berlaku kerana ada wang yang dihulurkan tetapi korupsi minda berlaku dalam Harakah dan penulisnya kerana mereka tidak cukup belajar etika kewartawanan sebelum diterima bekerja dengan akhbar rasmi PAS itu.
Media sepatutnya bertanya kepada Geng 10 di Terengganu yang mungkin diketuai Datuk Seri Idris Jusoh, atau mungkin dkepalai Datuk Rosol Wahid, atau didepani oleh Alias Abdullah mengenai isu undi tidak percaya kepada Datuk Ahmad Said.
Bertanya kepada pihak yang hendak diserang adalah ‘kesilapan’ jika jawapannya beliau tahu desas-desus itu.
Begitu juga dengan isu SMS bernada ugutan yang dihantar pihak tertentu kepada tiga ADUN, Datuk Ahmad masih menjawab tidak tahu yang menyebabkan penulis Harakah, Mat Zain Mat Isa mengumpulkan ‘semua alasan ini’ untuk dijadikan hujah dalam penulisan tidak bermutu dan tidak bernilai itu.
Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu bukan Nik Aziz di Kelantan. Lihat sahaja kejayaan pelajar-pelajar Melayu di Terengganu yang pencapaian UPSR, PMR dan SPM yang cemerlang. Yang ini, jika ada media bertanya kepadanya, InsyaAllah, Datuk Ahmad akan menjawabnya sebagai ‘ini saya tahu’ kerana keseriusannya memastikan kejayaan anak-anak Terengganu dalam pelajaran dan peperiksaan.
Yang menghantar SMS bukan Datuk Ahmad Said. Bukan juga pegawai-pegawai yang mungkin menyebabkan Datuk Ahmad perlu tahu. Jadi, kenapa Ahmad perlu tahu semua perkara bagi menyenangkan hati media?
Sebagai Menteri Besar, Datuk Ahmad tidak perlu berkongsi semua hal dengan pihak media. Ada yang perlu diumumkan dan pihak media akan dijemput ke sidang medianya. Tapi, ada juga perkara-perkara yang hanya perlu Menteri Besar sahaja tahu tetapi ia tidak perlu diumumkan! Maka, apa yang menjadi masalah kepada wartawan Harakah?
Isu lain yang cuba dibangkitkan Mat Zain Mat Isa ialah mengenai ‘dua pemimpin Umno bahagian yang bergelar Dato’ disiasat SPRM sepertimana yang heboh diperkatakan media’ juga Datuk Ahmad memilih untuk menjawab ‘tidak mengetahui apa-apa mengenainya’.
Bukankah kewajaran soalan tahu atau pun tidak ini mengenai dua pimpinan Umno bahagian ditanya kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein?
Jika Datuk Ahmad Said tahu sekali pun, lebih baik baginya melaporkan terlebih dahulu kepada ‘bossnya’ Hishammuddin supaya beliau sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu tidak dilihat sebagai ‘lebih sudu dari kuah’.
Kepimpinan Datuk Ahmad Said di Terengganu sebenarnya cukup berhemah. Tetapi, disebabkan beliau terlalu ‘baik’ menyebabkan ada ‘penjahat’ yang mengambil kesempatan untuk memperlekehkannya. Bila beliau ‘bertindak brutal’, ada pula pihak media menyifatkan beliau sebagai ‘tidak akur kehendak Perdana Menteri’.
Dalam politik atau dalam kehidupan, sebenarnya ‘tidak tahu’ adalah lebih ‘baik’ dari buat-buat tahu. Itulah sebabnya, apabila kita merasakan semua benda kita tahu, maka jadilah seperti Nik Aziz yang sesuka hatinya menyindir dan menggelar orang lain seperti komunis dan Ayah Pin tetapi bila dia diserang, dia akan menjawab, dia mencontohi Rasullullah SAW dan menyerangnya seolah-olah menyerang Nabi Mohammad SAW.
Mengenai isu perpindahan Tok Adis, Kuala Terengganu sepatutnya pihak tertentu, termasuk Umno Bahagian Kuala Terengganu dan jabatan yang berkait dengan isu ini menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak 2006.
Jika semua perkara memerlmukan Menteri Besar menyelesaikannya, ia akan menjadkan Terengganu seperti Kelantan di mana masalah jalan dan air bersih masih tidak Berjaya diselesaikan walaupun PAS sudah berkuasa 20 tahun di bawah Nik Aziz yang serba tahu itu. Akhirnya orang bukan kata kita pandai, tetapi pandir!

Tiada ulasan: