Ahad, 28 Jun 2009

SPRM : Sudahkah bersedia dengan ‘jemputan’ Idris Jusoh?


Oleh Zamzuri Damanhuri

citra_bangsa@yahoo.com

TULISAN Datuk Seri Idris Juosh (DSIJ) dalam Berita Harian Khamis 25 Jun 2009 bertajuk Mengurus perubahan dalam persekitaran dunia dinamik, tertarik dengan parageraf kedua:

‘Jelas di sebelah kiri jalan tersergam bangunan Mc Arthur yang pernah menjadi kediaman saya selama tiga bulan pada hujung 2001. Ketika itu saya berkursus di Harvard Business School dan kehadiran saya disambut dengan tragedi keruntuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September.’

Perkataan ‘keruntuhan’ dalam tulisan DSIJ boleh dikaitkan dengan kenyataannya dalam Sinar Harian Sabtu 27 Jun 2009 bertajuk Idris sedia disiasat SPRM ekoran tragedy runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Apakah SPRM sudah bersedia dengan ‘jemputan’ Idris itu? SPRM perlu tahu bahawa Idris tidak sabar-sabar ‘menerima kunjungan’ SPRM kerana selepas hamper sebulan tragedi itu berlaku Idris masih tertanya-tanya kenapa tiada pihak yang menemuinya bagi tujuan penyiasatan tersebut.

Perlu disebut, stadium bernilai RM292 juta ini dibina dalam era kepimpinan Idris menjadi Menteri Besar Terengganu dan stadium ini menjadi ‘bahan kempen pilihan raya’ yang digunakan sebesar-besarnya sebagai ‘kejayaan luar biasa’ Idris di Terengganu.

Sebelum ini, laporan sebuah media berbahasa Inggeris menyebut, SPRM dikatakan bakal menemui tiga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam ekoran kejadian ini.

Mudah-mudahan, penyiasatan SPRM tidak hanya mencari punca keruntuhan bumbung stadium yang baru siap setahun yang lalu kerana perkara yang lebih penting SPRM tumpukan ialah ‘cara pemberian projek dan perlantikan kontraktor’ adalah lebih penting untuk diketahui umum.

Di Terengganu ada Geng 10 yang sedang berhempas pulas berusaha menjahanamkan imej kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tetapi sayangnya Geng 10 ini tidak langsung berusaha untuk mengetahui apakah berlaku penyelewengan dalam pemberian projek ini.

Jika Geng 10, termasuk Rosol dan Din yang terlibat dengan usaha ‘menjatuhkan’ Datuk Ahmad Said bertindak ‘agresif’ menyerang mereka yang ‘terbabit’ dengan pembangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ini, ramai yang yakin, rakyat Terengganu khususnya ahli-ahli Umno akan mengangkat mereka sebagai ‘hero Melayu Terengganu’ abad ini.

Janganlah Geng 10 yang selalu mengadakan pertemuan di kedai gelap Kuala Berang asyik menyusun strategi untuk memalukan kepimpinan Datuk Ahmad Said tetapi dalam masa yang sama mereka berusaha mendiamkan sahaja sebarang ‘keruntuhan’ yang berlaku sekarang kerana bimbang ‘tembelang mereka pecah’.

Janganlah kerana mereka berusaha menonjolkan imej Idris Jusoh sebagai pemimpin kelahiran Terengganu yang bertaraf dunia hingga mereka lupa wang rakyat telah dibazirkan dengan begitu banyak kerana ‘kegelojohan’ mereka ketika mereka berkuasa dahulu.

Sedaya upaya, Geng 10 mahu memalukan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda yang didakwa terlibat dengan penghantaran SMS bernada ugutan dahulu.

Tetapi, apabila siasatan polis mendapati Wan Ahmad tidak terlibat walaupun nombor telefon genggamnya diklon dan disalahgunakan, Geng 10 sedaya upaya mahu menjauhkan diri daripada orang yang didakwa terlibat dengan kes ini, Dr. Ahmad Romzi Mohd Zubir.

Tidak hairanlah, Geng 10 yang tiga daripadanya menerima SMS itu hingga menyebabkan mereka merasakan nyawa mereka terancam terpaksa duduk di hotel dan enggan ke DUN Terengganu, kini tidak berkata sepatah pun apabila orang yang mereka tuduh dulu disahkan tidak terlibat menghantar SMS.

Rosol Wahid dalam blognya menulis, sukar baginya mempercayai ada ‘klon sim kad’ berlaku dalam dunia ini kerana dia hanya sedar selama ini yang ada ialah klon kad kredit.

Mungkin, penting bagi Idris sesekali membawa Rosol, Wan Hisham dan Din Adam menghadiri kursus-kursus yang Idris hadiri di Harvard Business School atau Kennedy School of Government bagi membuka minda mereka ini kepada ‘dunia sebenar’ sekarang.

Janganlah Idris hanya ‘mahu pandai seorang’ dengan meninggalkan anak-anak buahnya dengan songkok bersaiz besar sedangkan pemikiran mereka tidak pernah berkembang seperti besarnya saiz songkok yang mereka pakai.

Ketika semua pihak menanti dengan penuh kesabaran dan tanda-tanya mengenai hasil penyiasatan keruntuhan bumbung stadium yang disifatkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shahziman Abu Mansor sebagai ‘kejadian yang cukup memalukan negara’ , SPRM jangan pula didatangi kerisauan dengan jenama-jenama sekolah di Harvard yang Idris Jusoh hadiri.

SPRM tidak perlu risau dengan ‘ilmu’ yang Idris ada kerana kerajinannya menghadiri kursus demi kursus kerana semua kursus-kursus yang Idris hadiri itu tidak ada kaitan langsung dengan apa yang terjadi di Kuala Terengganu, iaitu keruntuhan bumbung stadium.

Jika Idris masih ingat tragedi keruntuhan WTC yang berlaku dalam tahun 2001, mustahil Idris sudah mahu melupakan perlantikan kontraktor dan pemberian projek membina stadium ini setahun yang lalu.

Begitu juga dengan nasib yang menimpa Dr. Ahmad Romzi yang kini menanti saat dibicarakan atas tuduhan memfitnah Wan Ahmad Wan Muda dan menghantar SMS bernada ugutan, sepatutnya tidak Idris lupakan jasanya selama dia bertugas dengan Idris sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu.

Jika semua ini boleh Idris lupakan begitu sahaja, menjadi tugas Geng 10 mengingatkan semula Idris bahawa Dr. Ahmad Romzi amat besar jasanya kepada mereka, khususnya kepada Idris yang kerap mendakwa dia adalah pencipta tamadun di Terengganu.


(Turut disiarkan dalam http://lesungbatu.webs.com)

Tiada ulasan: