Sabtu, 6 Jun 2009

Perwakilan Pas Perak berbaju hitam



Oleh Zamzuri Damanhuri
KALAU Mursyidur Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat perasan ada perwakilan Pemuda Pas dari Perak, seramai 17 orang yang memakin baju hitam, ada yang berikat kepala dan ada yang memakai ‘toha’ kain hitam di lengan, tegurlah.
Pengerusi Tetap Pemuda Pas, Misdahul Munir Masduqi ada menegur dalam bentuk gurauan bagaimana kawalan keselamatan Muktamar boleh melepaskan Pemuda berbaju hitam masuk ke dewan. Mungkin teguran itu ‘bererti’ dan mungkin juga teguran itu berbentuk ‘perli’.
Budak-budak ini, mungkin terpengaruh dengan budaya Cina DAP, yang ‘berkabung’ kalau sanak saudara mereka mati, memakai toha di lengan atau, memakai baju hitam buat beberapa hari kerana itu budaya mereka dan mungkin ‘hukum’ agama mereka.
Siapa Pesuruhjaya Pas Perak? Adakah Nga Kor Meng atau Ngeh Koo Ham? Kalau Pesuruhajaya Pas Perak masih Ahmad Awang, tegurlah budak-budak mentah ini. Janganlah mereka diperalatkan hanya kerana Pas Perak mahu menjaga hati DAP. Betullah, atas sokongan DAP, Mohamad Nizar Jamaluddin dapat jadi MB Perak tetapi, tanpa perkenan Tuanku Sultan, mana mungkin ia terjadi.
Memakai lilit kepala bertulis ‘bubarkan DUN Perak’ bertujuan apa? Mesej itu mahu disampaikan kepada siapa? Kalau mesej itu mahu disampaikan kepada Sultan Perak, kenapa memakai ketika Muktamar Pas di Selangor? Kalau mesej itu mahu disampaikan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, pakailah di depan Pejabat Menteri Besar Perak.
Dan kalau mesej itu sengaja mahu dijadikan umpan menarik simpati perwakilan Pas dari seluruh Negara, eloklah kalau mereka datang ke Muktamar itu dengan berguling-guling atas jalan raya dan menjulang bendera Pas sambil menjerit-jerit bubarkan DUN Perak, bubarkan DUN Perak, bubarkan DUN Perak.
Kesihan budak-budak Pas Perak ni. Mereka budak-budak mentah yang diajar supaya menentang kerajaan, menentang Umno dan menentang BN. Mereka terlupa, tanpa kerajaan Umno dan BN, orang Melayu tidak mempunyai tandas di rumah masing-masing.
Apakah mereka tahu, jika bukan kerana Umno dan BN, mereka masih melepaskan hajat di pangkal pokok dan di dalam semak di belakang rumah? Tahukah mereka, sejak mereka dilahirkan, mereka sudah menikmati ‘sumbangan kerajaan’ dengan berbaring atas katil, cadar dan bantal yang bersih di hospital-hospital kerajaan?
Mampukah ibu bapa kita membayar bil hospital yang tinggi, pemeriksaan sejak bayi dalam kandungan di klinik-klinik kerajaan dan perubatan selain makan dan minum secara percuma di hospital? Disebabkan mereka tidak tahu semua ini, maka mereka bermati-matian memperjuangkan nasib Chi Peng supaya dibenarkan dibawa pulang ke Malaysia.
Tidak salah memakai baju hitam, tak salah memakai lilit kepala dan pakailah lilitan atau toha di lengan kerana tiada undang-undang yang menyekatnya tetapi jika perbuatan itu sama dengan perbuatan dan amalan agama lain, bukankah itu menimbulkan subahat?
Mustahil budak-budak Pas ini tidak tahu yang orang Cina akanmemakai lilitan atau toha di lengan mereka jika keluarga mereka mati. Mustahil budak-budak Pas ini tidak tahu orang Cina akan memakai baju hitam apabila sanak saudara mereka mati. Jadi, mengapa mereka ikut amalan agama lain? Adakah perbuatan mereka dibenarkan kerana Nga Kor Ming boleh menyebut sepotong ayat Quran ketika berucap.
Sudahlah. Belajarlah menerima hakikat. Jika itu keputusan mahkamah, mengesahkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak, mengapa mereka harus berkabung? Adakah mereka berkabung kerana diminta oleh DAP supaya mereka berkabung?
Kenapa Pas tidak mengajar DAP supaya berpuasa sunat, ikut ara orang Islam berpuasa. Mudah-mudahan, dengan ajaran itu, tergerak hati mereka untuk menganut agama Islam. Ini terbalik, DAP pula mengajar Pas di Perak supaya sama-sama mogok lapar dan dirasmikan pula oleh manusia desperado, Mohamad Nizar Jamaluddin.
Kalau Mohamad Nizar tidak bersedia menerima keputusan Mahkamah, mengapa dia membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, selepas gagal di Mahkamah Rayuan? Pelik betul orang Pas ni, satu ketika mereka tidak menghormati keputusan Mahkamah tetapi dalam masa yang sama, mereka menggunakan saluran mahkamah pula untuk mendapatkan kerusi Menteri Besar yang sudah terlepas dari tangannya kerana hilang sokongan majoriti di DUN Perak.
Budak-budak ni mungkin tidak tahu bahawa 31 kerusi DUN lebih besar dari 28 kerusi DUN. Dulu, ketika Pas, DAP dan PKR mempunyai 31 kerusi DUN, tidak ada orang-orang Umno, atau penyokong BN, atau orang-orang PPP, MIC, IPF, MCA dan Gerakan yang memakai baju hitam, berlilit kepala dan berlilit lengannya kerana mereka semua diajar oleh pemimpin mereka, hormati suara majoriti.
Bukan mereka tidak boleh berbaring atas jalan raya. Boleh. Bukan mereka tidak tahu melilit kepala. Tahu. Bukan mereka tidak ada baju hitam untuk dipakai. Ada. Tetapi, mereka waras. Pemimpin Umno, pemimpin BN, pemimpin PPP, MCA, MIC, Gerakan dan IPF waras. Mereka boleh menerima kalah dan menang.
Cukuplah lakonan dan permainan ini. Sampai bila mahu menjadikan suasana tidak harmoni ini berlanjutan? Kita memang tidak akan dapat menghargai keamanan selagi kita tidak huru-hara. Kita tidak akan tahu menghargai mata selagi kita tidak buta. Kita tidak tahu menghargai kaki selagi kita tidak kudung. Maka, keamanan yang ada ini, hasil perjuangan Umno dan BN, janganlah diganggu gugat.
Cukuplah apa yang sudah-sudah. Noktah! (Dipetik dari http://parpukari.blogspot.com)

Tiada ulasan: