Sabtu, 6 Jun 2009

Geng 10 syak bumbung stadium runtuh perbuatan khianat?



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

DI TERENGGANU sekarang, tiada siapa yang tidak bercakap soal bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh. Masing-masing dengan tafsiran sendiri-sendiri. Ada yang mengatakan ia kesilapan arkitek. Ada yang menyalahkan penyelengaraan dan ada juga yang menyalahkan Menteri Besar (MB), Datuk Ahmad Said tidak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Bagi arkitek yang terlibat dengan projek ini, menyalahkan butiran terperinci berhubung rekaan dan bahan binaan bumbung tanpa sokongan tiang atau ‘space frame’ untuk stadium ini kerana tidak pernah diberikan kepada arkitek utama projek itu, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.
Tetapi ada sumber-sumber yang rapat dengan Geng 10, termasuk tiga ADUN yang menerima SMS bernada ugutan memberitahu, mereka mengesyaki ada pihak yang ‘mengkhianati’ hingga menyebabkan bumbung stadium itu runtuh.
Khianat yang mereka maksudkan, ia tidak diselenggarakan dengan baik menyebabkan bumbung itu runtuh dan jika Menteri Besar Terengganu masih disandang Datuk Seri Idris Jusoh DSIJ) dan Exco Belia dan Sukan masih disandang Datuk Din Adam, mereka yakin bumbung ini tidak runtuh.
Tidak pula diketahui, apakah Geng 10 akan menyiapkan kertas siasatan sendiri bagi dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana mereka dikatakan tidak yakin jika konsultan yang akan menyiasat runtuhan ini dilantik oleh Datuk Ahmad Said.
Sejauh mana kebenaran cerita ini tidak dapat disahkan tetapi memandangkan ‘tahap kebencian’ Geng 10 kepada Datuk Ahmad Said, banyak pihak tidak dapat menolak desas-desus ini. Malahan, mereka yakin, Geng 10 yang sering mendakwa mereka adalah dari kalangan bukan ‘cap ayam’ didakwa akan melantik konsultan sendiri.
Sehingga hari ini, mantan Menteri Besar Terengganu, DSIJ masih belum tampil mengeluarkan kenyataan berkaitan keruntuhan stadium ini. Bekas Exco Belia dan Sukan, Datuk Din Adam juga dikatakan masih belum bersedia untuk mengeluarkan kenyataan mengenai keruntuhan ini.
Tidak pula diketahui apakah konsultan yang bakal dilantik oleh Geng 10 ini akan lebih baik dari konsultan yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya kerana setakat ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Shahziman Abu Mansor sudah mengesahkan kerajaan akan melantik konsultan untuk menjalankan siasatan bertujuan mencadangkan baik pulih stadium yang mampu memuatkan 50,000 penonton itu.
Rabu lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak yang mahu menjalankan siasatan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). “Tidak ada masalah, kalau nak minta kerjasama saya,” beliau dipetik sebagai berkata.
Setakat hari ini, tiada sesiapa yang mengaitkan isu runtuhan bumbung stadium ini dengan Datuk Ahmad Said kecuali blogger ‘Jarang Anak Melayu’, Abdul Mubin Ismail yang menyifatkan keruntuhan bumbung ini kerana Datuk Ahmad Said masih belum berhenti dan kemungkinan ada lagi runtuhan akan berlaku.
Mungkin dia bermaksud, jika Menteri Besar Terengganu bukan Datuk Ahmad Said, bumbung stadium ini tidak akan runtuh dan Terengganu terhindar dari segala bentuk bala.
Harakahdaily pula mengulas keruntuhan bumbung stadium ini sebagai ‘konsultan atau BN cap ayam’ kerana publisiti ketika pembinaan stadium ini dikatakn dibuat secara keterlaluan dengan kos iklan yang bukan kecil. Ini juga dijadikan bahan kempen BN ketika pilihan raya umum yang lalu.
Harakah Bil 1444 (5-7 Jun 2009) pula melaporkan ‘Rasuah punca runtuh’ sebagai berita utama muka belakang akhbar tersebut. Dalam laporan itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Terengganu, DatukMustaffa Ali berkata kerosakan serius yang berlaku hanya selepas setahun stadium berkenaan dirasmikan mungkin disebabkan ia dibina tidak mengikut spesifiikasi.
“Saya syak semacam ada penyelewengan dan siasatan yang telus harus dilakukan oleh pihak yang mempunyai kreadibiliti, secara profesional,” tegasnya.
Dalam keadaan seperti ini, Geng 10, termasuk Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Abdul Halim Jusoh sepatutnya berdepan dengan Mustaffa Ali bagi membersihkan nama Geng 10 yang diketuai DSIJ daripada dakwaan terpalit dengan rasuah dalam pembinaan stadium.
Ini bukan cerita khianat atau ada pihak yang sengaja suka melihat bumbung stadium runtuh.

Tiada ulasan: