Ahad, 7 Jun 2009

Jangan salahkan JKR bila bumbung stadium runtuh


Oleh Ahmad Hj Ishak

HARI ini, selepas Menteri Besar (MB) Terengganu mengesahkan beliau sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelenggara bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semakin banyak pihak menuding jari kea rah JKR sebagai pihak yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka hingga menyebabkan berlaku runtuhan.
Tiada siapa mahu bercakap, isu sebenar dalam kes bumbung stadium runtuh ini disebabkan ‘sikap pihak berkuasa’ yang memberi projek kepada syarikat luar dalam memasang bumbung. Apakah jika JKR menyelenggarakan bumbung stadium ini, ada jaminan bumbung ini tidak runtuh?
Apakah stadium-stadium lain di seluruh negara tidak berbumbung? Jika berbumbung, mengapa ia tidak runtuh. Kenapa bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sahaja yang runtuh? Apakah hanya Terengganu sahaja ada stadium yang berbumbung?
Itulah sebabnya, saya lebih tertarik membaca satu tulisan penulis Hassan Md Hussein (Sandakan) yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat cara pemberian projek dan cara perlantikan kontraktor. Jangan disiasat selepas pekerja terjumpa nat dan skru di kawasan tempat duduk penonton tetapi menoleh jauh ke belakang, adakah unsur-unsur rasuah atau penyelewengan ketika pemilihan kontraktor dan pemberian projek ini dibuat.
Saya juga sangat-sangat bersetuju apabila MB Terengganu mengarahkan penyiasatan juga perlu dibuat terhadap beberapa bangunan berkepentingan awam termasuk Lapangan Terbang, sebelum ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, seperti apa yang berlaku di stadium yang baru berusia setahun ini.
Sebenarnya apa yang berlaku ini adalah kerana keghairahan manusia yang mendapat kuasa meluluskan projek. Bila ada sahaja kawan-kawan (baca: kroni) memperkenalkan ada kontraktor hebat dari luar negara, termasuklah Korea, mereka sanggup mengenepikan kontraktor tempatan yang mungkin mempunyai kepakaran yang jauh lebih baik dari kepakaran kontraktor luar negara itu.
Bukan semuanya yang datang dan didatangkan dari luar negara itu baik belaka. Mungkin pemasangan bumbung di tempat mereka, sesuai tetapi di Terengganu tidak sesuai kerana ada angin monsun, tetapi kalau pemikiran mereka yang memberikan projek kepada kontraktor dan membuat perlantikan kontraktor mempunyai ‘mind set’ yang sudah ‘beku’, maka inilah akibatnya!
Apakah mereka yang berkuasa memberikan projek dan berkuasa membuat perlantikan kontraktor tidak pernah menghargai kebolehan dan kepakaran kontraktor tempatan? Apakah mereka yang sudah membangunkan Stadium Merdeka, Stadium Negara, Stadium Shah Alam, Stadium Bukit Jalil dan banyak lagi stadium, termasuk Stadium Sultan Nasaruddin di Kuala Terengganu yang sudah semakin buruk dan uzur pun tidak runtuh bumbungnya, tetapi disebabkan kekaguman dan kebekuan otak mereka ini, mereka sanggup melantik kontraktor dari Korea memasang bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Di Malaysia, bukan sahaja setakat di Terengganu, memang ada Menteri dan Menteri Besar yang terlalu cepat terkagum dan terkedu apabila ada kawan-kawan mereka membawa kertas cadangan atau proposal yang kononnya membawa teknologi luar negara.
Mereka lupa, selepas Malaysia mencapai kemerdekaan 52 tahun dahulu, dasar Umno dan BN telah melahirkan ramai arkitek dan kontraktor yang berkebolehan. Atas dasar dan asas yang dibina oleh Umno dan BN, ramai anak-anak Malaysia berjaya di merata tempat tetapi malangnya masih ada yang terlepas pandang.
Itulah sebabnya, mereka yang boleh mengujudkan suasana tidak harmoni, termasuklah dari kalangan Pas, PKR dan DAP, sebenarnya mereka juga berjaya dalam hidup kerana dasar dan asas ciptaan Umno yang memberikan mereka peluang sama rata dan sama rasa.
Di Terengganu, mustahil boleh ujud Geng 10 jika bukan kerana jasa Umno dan BN kepada mereka. Mereka boleh menjadi Menteri Besar, Exco dan ADUN bukan kerana mereka hebat tetapi kerana Umno dan BN memberi mereka peluang untuk menduduki jawatan-jawatan itu.
Malangnya, apabila mereka berkuasa, mereka lupa jasa Umno dan BN. Mereka membuat perlantikan kontraktor dan memberi projek kepada kroni mereka yang menyebabkan kesilapan mereka itu, menyusahkan pengganti mereka sekarang.
Mereka bolehlah berarak ke Kuala Lumpur, jika ada kesmepatan ke Medan dan Jakarta kerana urusan peribadi untuk memburuk-burukkan kepimpinan negeri sekarang tetapi, mustahil orang ramai tidak nampak, siapa lebih buruk dari apa yang mereka ceritakan.
Mengapa Geng 10 tidak berarak sekarang mengelilingi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak bagi mempertahankan mereka yang terlibat di dalam pembangunan stadium dan kompleks sukan ini?
Mana dia Datuk Din Adam yang begitu celupar bercakap di depan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahukan MB Terengganu digantikan, ketika bumbung stadium ini runtuh. Tampillah, beri cadangan baru, apakah perlu dibaiki sahaja bumbung stadium itu atau Din Adam mahu mencadangkan supaya satu stadium baru berharga sekitar RM292 juta dibangunkan di kawasan DUN Bukit Besi?
Datuk Rosol Wahid yang tidak bersetuju dengan keputusan Menteri Pelajaran menghadkan jumlah subjek yang boleh diambil calon SPM, sepatutnya muncul ketika ini untuk mempertahankan sesiapa yang dia rasa ‘bersalah’ dalam isu runtuhan ini kerana mustahil dia tidak tahu bagaimana cara pemilihan kontraktor dibuat dahulu?
(Artikel ini dipetik dari blog http://www.lesungbatu.webs.com)

Tiada ulasan: