Oleh Zamzuri Damanhuri
SERONOK membaca wawancara Utusan Malaysia dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini (23 Jun 2009) bertajuk ‘Misi Hishammuddin di Terengganu’.
Disebabkan wawancara itu agak panjang, sukalah saya memetik salah satu jawapan Hishammuddin yang berpunca dari soalan wartawan Arshad Khas yang berbunyi ‘Ketidakhadiran Idris Jusoh, adakah menjadi satu petanda bahawa isu Terengganu masih jauh dari selesai?’
Jawapan Hishammuddin; “beliau berada di London, bukan apa, saya berhubung dengan belau sekurang-kurangnya sekali dalam dua hari dan adakalanya hari-hari. Beliau menyatakan memang hendak balik pada Ahad tetapi sampai malam, tidak sempat hadir pada mesyuarat itu. Tetapi wakil Besut ada.
“Saya lihat tidak ada isu dengan ketidakhadiran Idris itu. Bila perjumpaan dibuat sebelum ini, ia melibatkan saya, Ahmad Said dan Idris. Kalau ada pihak di luar sana cuba melaga-lagakan mereka berdua, jangan harap ia akan Berjaya kerana saya berpengalaman dalam hal ini.
“Ada ketikanya pihak-pihak tertentu ini memperalatkan pemimpin dengan melaga-lagakan mereka demi kepentingan diri. Maka janganlah ada pemimpin yang terikut-ikut dengan rentak mereka ini kerana akhirnya bila kita berdepan dengan sesuatu, percayalah akhirnya kita akan keseorangan. Jadi ini satu perkara yang kita tidak boleh lupa.”
Dari apa yang Hishammuddin kata ini, ia membuktikan bahawa Hishammuddin mempunyai rasa simpati yang cukup tinggi kepada Idris. Padahal, dalam kes di Terengganu, jika bukan kerana Idris, isu yang timbul ini tidak akan timbul.
Menyalahkan Idris, mungkin tidak betul tetapi simpati kepada Idris hingga boleh menelefon Idris setiap dua hari sekali dan kadang-kadang tiap-tiap hari menunjukkan bahawa Hishammuddin tidak tahu ‘erti kemelut’ di Terengganu sebenarnya.
Ketika ini, Menteri Besar Terengganu ialah YAB Datuk Ahmad Said. Hishammuddin pasti tahu itu. Pegawai-pegawainya juga pasti tahu yang Menteri Besar Terengganu ialah YAB Datuk Ahmad Said.
Ketika Idris dikatakan tidak ada masalah dengan Ahmad, ia suatu kenyataan yang penuh dengan kepura-puraan. Kalau Idris tidak hadir ke mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ketika Hishammuddin mempengerusikannya, bukan suatu masalah tetapi ketika Ahmad mempengerusikannya, ia merupakan satu masalah.
Hishammuddin menghubungi Idris dua hari sekali atau hari-hari, tetapi cuba bertanya dengan Hishammuddin, adakah dia menghubungi Ahmad sekerap apa yang dia lakukan terhadap Idris?
Hebat sangatkah Idris Jusoh di mata Hishammuddin sebenarnya? Adakah Hishammuddin mahu meminta izin dari Idris untuk mengadakan mesyuarat perhubungan ini? Atau, sebelum membuat perlantikan, Hishammuddin meminta restu dari Idris?
Satu perkara yang Hishammuddin perlu tahu, Menteri Besar Terengganu sekarang adalah Ahmad. Tugas Hishammuddin di Terengganu ialah untuk memperkuatkan kedudukan Ahmad dan dengan memperkuatkan kedudukan Ahmad, sekaligus akan memperkuatkan institusi Umno itu sendiri.
Kalau Hishammuddin masih ‘segan silu’ dan semua hal mahu merujuk dan menghubungi Idris terlebih dahulu, bilakah Umno Terengganu akan kembali pulih?
Siapa sebenarnya yang memboikot Persidangan DUN Terengganu, April lalu? Adakah ini angkara Datuk Ahmad Said? Adakah Geng 10 yang Hishammuddin terlalu hormati itu datangnya dari kem Ahmad Said?
Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Hishammuddin jangan menggunakan ayat-ayat yang berbunyi ‘Kalau ada pihak di luar sana cuba melaga-lagakan mereka berdua, jangan harap ia akan Berjaya kerana saya berpengalaman dalam hal ini.’
Hakikat sebenarnya, tiada siapa yang hendak melaga-lagakan mereka berdua. Yang memulakannya ialah puak yang tidak dapat menjadi Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri. Bukan Ahmad Said yang memulakannya.
Ahmad memang tidak boleh dilaga-lagakan tetapi apabila beliau ditekan dengan begitu teruk, dimalukan di depan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan diserang dengan bahasa yang tidak wajar di depan Hishammuddin sendiri, apakah Hishammuddin rasa Ahmad sebagai seorang manusia tidak terasa apa-apa?
Memanglah Idris dilihat cukup baik kerana ‘baik di depan bukan bererti baik juga di belakang’. Kalau sekalipun Idris tidak pernah menghadirkan diri dalam mesyuarat badan perhubungan ketika dipengerusikan Datuk Ahmad Said, apakah yang sebenarnya mahu ditunjukkan oleh Idris kepada rakyat Terengganu?
Hishammuddin mungkin berkata, itu dulu tetapi sekarang ini apakah buktinya yang Idris sudah berubah? Apakah ada jaminan dari Hishammuddin Geng 10 ini tidak mengacau pentadbiran Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu lagi? Atau Hishammuddin sudah meletakkan tahap simpatinya yang cukup tinggi kepada Idris Jusoh dan Geng 10 yang menyebabkan beliau mahu ‘cakap senang’ semuanya boleh selesai?
Hishammuddin kena bersikap jujur dan ikhlas. Kalau dia betul-betul jujur dan ikhlas dan tidak takut kepada Idris dan Geng 10, cuba jawab satu pertanyaan; “Berapa kalikah beliau ada berhubung dengan Datuk Ahmad Said sama ada melalui telefon atau pertemuan sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umo Negeri Terengganu?”
Adakah hubungannya dengan Ahmad lebih kerap dari hubungannya dengan Idris? Atau Hishammuddin masih keliru dengan situasi dan kemelut politik di Terengganu yang menyebabkan semua hal Hishammuddin hendak rujuk terlebih dahulu dengan Idris?
Kalau begitu, adalah lebih baik Hishammuddin berterus-terang sahaja kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menukarkan beliau dari menjadi pengerusi di Terengganu supaya digantikan oleh Najib sendiri. Hishammuddin mungkin meminta daripada Najib untuk menjadi pengerusi di Umno Negeri Selangor.
Kemelut di Terengganu sebenarnya boleh diselesaikan jika Hishammuddin boleh memberitahi Geng 10 dan Idris supaya ‘sedar diri’ dan jangan lupa daratan! Itu sudah memadai untuk menghentikan segala ketidak puasan hati mereka ini.
Selasa, 23 Jun 2009
Hishammuddin jangan cuba membawa sindrom menafikan di Terengganu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Sebenarnya kalu orang pakat2 baca blog ni, pasti akan melekat kepada semua isu yang dilontarkan. Orang Terengganu semua sekali semestinya baca tulisan2 anda. Saya amat setuju sekali bahawa semua kekalutan politik UMNO Terengganu adalah berpunca dari keras pedal DSIJ dan puak2 kepala pengat Rosol dan geng2 lain. Apa yang paling membangkitkan kebencian rakyat kepada puak2 ini adalah kerana mempertikaikan pelantikan DAS dan mempersendakannya! Bila dah tahap tidak menghormati MB secara langsungnya menunjukkan penderhakaan kepada Tuanku Sultan. Jadi semua rakyat harus sedar bahawa mereka ini sedang berurusan dan sedang menyokong kumpulan penderhaka. Dan ingatlah wahai DSIJ dan Rosol dan geng2 bahawa kumpulan kamu sampai bila2 tidak akan menjadi MB dah selepas2 ni kerana pasti restu istana tidak akan kamu terima. Jadi oleh kerana puak2 mung dak nak sampai ke penghujung perjalanan politik kamu, maka aku cadangkan mung2 semua buleh dah nak bekemah2 balik kampung dan belajar jadi rakyat yang taat kepada pemimpin dan Al-Sultan. Ptuiii...
Catat Ulasan