Selasa, 23 Jun 2009

Hentikan cerita kerajaan perpaduan – Hadi







Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

MAJLIS Presiden Pakatan Pembangkang akhirnya menghentikan cerita kerajaan perpaduan dan ia sekaligus membuktikan bahawa Pas sekarang terlalu kerdil di mata PKR dan DAP.
Seperti apa yang kita semua lihat di Perak, DAP akan mengarahkan Pas ikut terlunjuk mereka. Jika DAP mahukan penyokong Pas berbaring di atas jalan raya, maka berbaringlah mereka yang berserban di atas jalan raya.
Kalau DAP mahu mengadakan ‘mogok lapar’ yang akan merasmikannya ialah ‘orang Pas’ kerana bagi mereka, mogok lapar lebih baik dari puasa sunat kerana kalau cerita puasa, kerajaan BN tidak akan terkejut tetapi kalau cerita mogok lapar, mereka (BN) akan beri perhatian, kata mereka.
Percayalah, kalau bukan kerana Pas takutkan DAP dan PKR, Hadi Awang tidak akan takut dengan sesiapa dalam Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat. Malahan, kecaman Nik Aziz terhadap Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang menyambut baik hasrat Perdana Menteri, pastinya akan menerima kecaman dari Hadi tetapi disebabkan Pas di bawah penguasaan DAP dan PKR, maka segala keberanian yang ada semakin mengecut.
Hakikatnya, Umno tidak perlu pun mengadakan pertemuan dengan Pas. Umno masih berkuasa di peringkat Persekutuan dan kebanyakkan negeri-negeri masih dikuasai BN dengan majoriti yang besar.
Biarlah Pas berlagak sombong seperti sekarang kerana mereka akhirnya akan menjadi ‘makanan’ kepada kawan-kawannya yang tidak memerlukannya. Hari ini masing-masing tugang-menunggang kerana masing-masing mempunyai musuh yang sama – Umno (BN).
Esok, belum tentu Pas akan menang seperti yang mereka menang sekarang. Lusa, belum tentu PKR akan menang seperti yang mereka menang sekarang. Tulat, belum tentu DAP akan mengekalkan kemenangan seperti yang pernah mereka nikmati dalam RU 12 yang lalu.
Cuma, mereka perasan, sekali mereka menang, sampai bila-bila pun mereka menang. Bila mereka menang sedikit, mereka rasa mereka sentiasa akan menang dan menang. Mereka lupa kuasa Allah dan mereka mula takbur menerima kemenangan.
Umno dan BN sudah banyak pengalaman. Umno dan BN sudah perrnah menang besar dan pernah kalah teruk. Lupakan kekalahan teruk BN (Perikatan) dalam pilihan raya tahun 1969? Jadi, kenapa harus resah dan gelisah dengan keputusan PRU 12 yang lalu.
Hari ini, Umno dan BN sudah menyedari kesilapan. Mereka mahu berubah dan mereka sedar, jika tidak berubah, mereka akan rebah. Ini bukan cakap seorang ketua cawangan Umno di Sungai Balang, Johor tetapi ini adalah janji Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Biarlah Pas dengan cara mereka. Biarlah Pas leka dengan nyanyian DAP dan PKR. Biarlah Pas khayal dengan kemenangan mereka. Suatu hari nanti, para pemimpin Pas hari ini akan dicaci oleh pengikut-pengikutnya kerana mereka merelakan diri mereka menjadi kuda tunggangan Pas dan PKR.
Ketika Pas gementar dengan kenyataan Lim Guan Eng yang mahukan Pas menjawab kepada Pakatan Pembangkang, sebenarnya Hadi dan Nik Aziz terketar-ketar kalau berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malahan, Hadi dan Nik Aziz sedar, tanpa Anwar, mereka tidak akan merasai kemenangan besar seperti apa yang mereka rasai sekarang.
Anwar pula, tidak mahu membenarkan Hadi menemui Najib kerana Anwar merasakan dialah ketua kepada Pakatan Pembangkang. Mengapa pula Hadi yang terkedahapan bila timbul cerita kerajaan perpaduan.
Biarlah Pas dengan cara mereka. Ketika mereka merasakan mereka terlalu kuat sekarang dengan sokongan DAP dan PKR, mereka bimbang akan kemarahan Kit Siang dan Anwar Ibrahim terhadap mereka.
Malahan, banyak perkara politik Nik Aziz dan Hadi kena belajar dari Azmin Ali dan Tian Chua. Jika mereka ini semuanya marahkan Pas, nescaya berakhirlah riwayat Pas, itu perkiraan pemimpin-pemimpin Pas.
Hari ini, Pas mahu jadi jaguh membela nasib Chin Peng kerana Anwar Ibrahim memperjuangkan hasrat Chin Peng untuk pulang ke Malaysia.
Pas tidak mahu berbincang hal perpaduan dengan Umno kerana khuatir Chin Peng akan marah. Jika Chin Peng marah, Anwar juga marah. Ketika ini Anwar pula sedang sibuk dengan isu liwatnya yang akan dibicarakan, Pas diharapkan tidak menjadikan Anwar berserabut dengan isu ini.
Pas tentulah mahu memberi sokongan moral kepada Anwar. Nik Aziz tentunya mahu memberi ketenangan kepada Elizebeth Wong yang masih tidak menemui bekas teman lelakinya yang menyebabkan gambar separuh bogelnya tersebar.
Malahan, Pas cukup gembira apabila Anwar menyentuh isu Umno perlu meminta maaf kepada Pas kerana menindas kerajaan Kelantan.
Memetik kata-kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, kenapa Anwar sendiri tidak meminta maaf kepada rakyat Kelantan terhadap apa yang pernah dia lakukan ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri?
Siapa yang tidak kenal Anwar Ibrahim. Dia pelakon handalan. Dalam politik, Anwar memang terkenal kerana kebolehannya berpidato. Itulah sebabnya, ketika orang menuduhnya terlibat dengan liwat, akhirnya seolah-olah dia yang dilihat sebagai mangsa manakala mangsa menjadi orang yang dipersalahkan.
Pas tidak rela kehilangan Anwar. Anwar pula berjaya menyakinkan kepimpinan Pas bahawa jika mereka bersabar, Pakatan Pembangkang akan memerintah Malaysia. Ini janji Anwar kepada Pas dan DAP.

Tiada ulasan: