Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
KATA orang, sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitulah apa yang berlaku di Terengganu sekarang. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan perlantikan baru pegawai-pegawai dalam Umno negeri.
Antara nama yang diumumkannya ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu sebagai Setiausaha perhubungan. Jawatan ini dianggap begitu penting kerana selain jawatan pengerusi, jawatan setiausahalah yang dilihat orang sebagai penggerak kepada parti di peringkat negeri.
Tengku Putera dilantik ke jawatan itu menggantikan Datuk Rosli Mat Hassan yang meninggalkan jawatan itu dengan rekod kerja yang cukup baik. Beliau memang pernah menyebut kepada rakan-rakannya bahawa jika Datuk Seri Hishammuddin mahu mencari muka baru, Tengku Putera adalah orangnya yang paling sesuai menggantikannya.
Secara kebetulan, ia terjadi dan tidak mustahil juga, ketika semua orang bercakap bahawa Rosli tidak mempunyai hubungan yang begitu baik dengan Hishammuddin kerana hubungan Hishammuddin yang amat akrab dengan Datuk Din Adam, hakikat sebenarnya, tidak begitu.
Dengan perlantikan ini, Geng 10 mungkin terkunci mulut mereka. Apakah mereka masih mahu menyerang kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai MB Terengganu lagi selepas ini? Kononnya, salah satu sebab mengapa Geng 10 menyerang kepimpinan Datuk Ahmad Said duu kerana Datuk Ahmad Said melantik Datuk Rosli Mat Hassan sebagai setiausaha perhubungan.
Namun, Tengku Putera tidak boleh duduk berdiam diri apabila mendapat jawatan penting itu. Beliau kena bekerja keras. Pertama, macam mana mahu memujuk bekas Setiausaha perhubungan yang lalu, Datuk Rosol Wahid supaya ‘kembali ke pangkal jalan’. Rosol tidak mungkin boleh melupakan jasa dan budi Tengku Putera kepadanya hingga menyebabkan dia pernah berjaya menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dan menjadi Exco Kerajaan Negeri dalam era Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu.
Kalau Rosol kenang jasa Tengku Putera yang pernah membelikan dia sebuah kereta ‘pajero’ untuk kegunaannya, menyebabkan dia sampai ke tahap sekarang, Rosol tidak mungkin mahu terus bersama-sama Geng 10 yang mendabik dada kononnya mereka semua bukan jenis ADUN cap ayam.
Dalam politik, Rosol kena belajar erti ‘qada dan qadar’. Hari ini Exco, mungkin esok tidak. Hari ini ADUN, mungkin esok tidak. Belajarlah bersabar seperti mana Tengku Putera sendiri bersabar dalam karier politiknya.
Rosol mungkin mahu membuktikan taat setianya kepada bekas bossnya dulu, Datuk Seri Idris Jusoh. Tetapi kalau Rosol faham apa yang dikatakan qada dan qadar, Rosol tentunya boleh meninggalkan Idris. Idris sendiri tidak faham ‘susunan Allah’ hingga menyebabkan timbullah cerita SMS bernada ugutan yang dihantar kepadanya (Rosol) sendiri.
Rosol boleh taat kepada Idris selagi Idris taat kepada pemimpinnya. Kalau Idris tidak taat kepada pemimpinnya, kenapa Rosol mahu taat kepada Idris? Rosol dan Idris mungkin belum sedar bahawa Menteri Besar Terengganu sekarang ialah YAB Datuk Ahmad Said.
Taatlah kepada Menteri Besar selagi beliau menjadi Menteri Besar. Begitulah dulu, ketika Idris menjadi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said taat kepadanya. Tidak pernah mahu ‘ponteng’ mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu kerana ketaatan itu.
Malangnya, apabila Idris tidak menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, dia sudah mula tidak mahu menghadirkan diri ke mesyuarat perhubungan. Ini maknanya dia tidak taat kepada pemimpin dan tidak taat kepada parti. Inilah susahnya kalau dia merasakan dia saja yang layak menjadi Menteri Besar sedangkan orang lain tidak.
Rosol juga barangkali merasakan selain Idris yang layak menjadi MB Terengganu, dia adalah calon terbaik walaupun dia pernah mengatakan dia tahu dia tidak layak menjadi MB. Tetapi, percayalah kepada qada dan qadar Allah. Kalau Allah tidak mengizinkan, mana mungkin ia terjadi?
Idris Jusoh mungkin diagung-agungkan oleh para pengikutnya sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia. Tetapi, percayalah, di Terengganu sendiri dia boleh merenung kembali apa yang sudah dia lakukan selama menjadi Menteri Besar?
Bolehah namanya dipisahkan dari kisah keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak? Walaupun bekas Exco dalam zaman dia, Datuk Wan Hisham Wan Salleh meminta orang ramai jangan mengaitkan nama Idris dengan kisah keruntuhan itu, tetapi ‘mulut tempayan boleh ditutup’.
Sudahlah Rosol. Pantun Melayu ‘Asal kapas menjadi benang, dari benang dibuat kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain, sepatutnya dijadikan teman Rosol setiap masa.
Hari ini, kerana usaha dan niat tidak baik mahu dibuat ke atas Datuk Ahmad Said, tidak pasal-pasal ada seorang kawan Rosol dan bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Idris Jusoh, Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zuber terpaksa dihadapkan ke mahkamah.
Bukan itu sahaja, seorang kerani syarikat swasta ditahan reman kerana membenarkan komputernya digunakan untuk tujuan penghantaran SMS bernada ugutan tersebut.
Maknanya, tidak pasal-pasal, orang yang tidak tahu politik pun sudah dibabitkan kerana kita tidak pernah sedar bahawa ‘niat untuk menjatuhkan seseorang’ itu tidak pernah direstui Allah SWT.
Kerana keangkuhan dan keegoaan kita, orang yang tidak bersalah terperangkap dengan niat buruk kita.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah dimalukan di depan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein oleh seorang bekas Exco dalam zaman Idris Jusoh menjadi Menteri Besar, Datuk Din Adam.
Apakah Din Adam masih belum berpuashati dengan tingkah lakunya? Kalau dia berhasrat mahu meneruskan hasratnya itu, Rosol jangan campur tangan. Fahamlah, Din Adam kelulusan dari ‘universiti’ mana dan Rosol dari universiti mana?
Rosol jangan terikut-ikut rentak Din Adam kerana Rosol lebih ‘senior’ dari Din Adam. Kini, masa masih belum terlambat untuk ‘berpatah balik’. Sudahlah!
Isnin, 22 Jun 2009
Selamat bertugas Tengku Putera
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
jom layari http://antirosolwahid.blogspot.com
KAMI XNAK ROSOL WAHID
Catat Ulasan