Selasa, 23 Jun 2009

Bolehkah Geng 10 terima Tengku Putera jadi SU Perhubungan?


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

SAYA menerima email dari pembaca yang mahu dikenali dengan nama ‘telor penyu’ yang meminta saya menyebut nama Geng 10, satu persatu kerana dia ingin melihat secara dekat siapakah anggotanya dan dari manakah kawasan yang diwakilinya.
Untuk memenuhi kehendak ‘telor penyu’ itu, saya tulis semula nama-nama Geng 10 yang memboikot Persidangan DUN Terengganu, April lalu hingga menimbulkan kegemparan kononnya Umno Terengganu sedang dilanda kemelut.
Anggota Geng 10 itu ialah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh) yang menang kerusi itu mengalahkan calon Pas, Abu Bakar Abdullah dengan majoriti 430 undi. Muhammad Ramli mendapat 8,4555 manakala Abu Bakar mengutip 8,025 undi.
Kalau Muhammad Ramli sedar, sebelum itu dia menang kerusi ini dengan majoriti 774 tetapi selang tidak sampai empat tahun, majoritinya merosot teruk.
Sepatutnya, Muhammad Ramli bekerja lebih kuat untuk mencari kemenangan lebih besar, bukan mengabaikan kawasan kerana sibuk dengan agenda Geng 10 yang mahu menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Memetik tulisan A. Kadir Jasin dalam blognya tidak lama dahulu, angkara Geng 10 ini yang sanggup memboikot siding DUN disifatkan penulis veteran ini sebagai tindakan orang yang cetek fikiran.
Saya percaya, sebagai seorang ADUN, Muhammad Ramli tahu apa maknanya ‘cetek fikiran’. Kalau dia tidak tahu, rugilah pengundi-pengundi di DUN Tepuh mengundinya dalam PRU 11 dan 12 yang lalu.
Menurut A. Kadir Jasin, pemulauan siding Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu oleh 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) minggu ini adalah tindakan dangkal dan hambar.
Ia boleh membantutkan usaha kepimpinan baru Umno dan negara memperbaiki imej dan prestasinya.
Apa pun alasan 10 ADUN BN dari Umno itu – termasuk kononnya “takut dibunuh” – ketidakcerdikan dan kecetekan pemikiran mereka sangatlah memalukan Umno.
10 ADUN itu adalah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Din Adam (Bukit Besi), Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).
Jelas bahawa 10 wakil rakyat itu tidak dapat membezakan antara pokok dan hutan, antara isu dan tindakan. Ada dua isu yang berlainan di sini.
Pertama tidak setuju dengan Menteri Besar, Ahmad Said. Tidak kiralah tidak setuju yang biasa atau tidak setuju yang teruk sehingga mahu dia digantikan. Kedua memboikot sidang DUN.
Adalah amat menyedihkan dan buruk alamatnya kepada Umno jika 10 ADUN itu termasuk seorang bekas Menteri Besar (Idris Jusoh) terlalu dangkal sehingga tidak dapat membuat perbezaan ini.
Tidak setuju dengan MB adalah isu dalaman pentadbiran kerajaan Terengganu dan parti Umno. Masalah ini sepatutnya diselesaikan dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri dan Umno bukannya dengan memboikot DUN.
Membokiot DUN menjejaskan prinsip demokrasi dan konsep perwakilan yang menghubungkan wakil rakyat dengan rakyat jelata yang memilih mereka.
Dalam konteks ini, kita mahu tahu adakah rakyat jelata yang memilih mereka merestui pemberontakan mereka terhadap Ahmad Said atau setuju dengan perbuatan mereka memboikot sidang DUN.
Tindakan mereka dan reaksi Ahmad Said adalah sangat buruk dan amat memalukan.
Jesteru itu, adalah tidak memadai bagi Presiden baru Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, setakat mengarahkan mereka kembali menghadiri sidang DUN. Nasib baiklah pembangkang tidak kuat dalam DUN Terengganu. Kalau kuat, kerajaan BN boleh tumbang. Daripada 32 kerusi DUN, BN menguasai 24 dan Pas, lapan.
Itu pandangan A. Kadir Jasin. Maknanya, Ibu Pejabat Umno dan Lembaga Disiplin Umno sepatutnya tahu tindakan apakah yang perlu dikenakan terhadap Geng 10 ini kerana jelas tindak-tanduk mereka sebenarnya ‘mahu menumbangkan kerajaan BN’ dan merupakan perbuatan khianat mereka terhadap Umno.
Tepat kata A. Kadir Jasin, lewat tulisannya, “adalah tidak memadai bagi Presiden baru Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, setakat mengarahkan mereka kembali menghadiri sidang DUN.”
Maka, adalah cukup baik kalau Muhammad Ramli yang merosot majoritinya di DUN Tepuh tidak diberikan apa-apa peranan dalam parti dan kerajaan atau anak-anak syarikat kerajaan negeri kerana kawasan sendiri pun dia ‘semakin merosot’ sokongan.
Jika perlantikan ‘penyelaras DUN’ dijadikan modal mereka memburuk-burukkan kepimpinan Datuk Ahmad Said kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, memang wajar mereka disisihkan dari tugas penting seperti ini.
Orang seperti ini, yang “cetek dan dangkal pemikirannya” memang tidak wajar dilayan. Mereka sebenarnya mahu menutup kelemahan masing-masing dengan menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain.
Betullah kata bijak pandai, ‘satu jari yang menuding ke arah orang, ada empat jari menunjuk ke arah sendiri’.
Cuba kita bertanya dengan Geng 10, dalam tempoh setahun lebih mereka bergelar YB dan menjadi wakil rakyat selepas PRU 12 ini, apakah yang sudah mereka lakukan demi kebajikan pengundi dan rakyat di kawasan mereka?
Masa mereka terlalu banyak digunakan untuk bermesyuarat di ‘kedai gelap’ dekat Kuala Berang bertujuan untuk mengagung-agungkan Idris Jusoh dan memburuk-burukkan Datuk Ahmad Said.
Mereka sibuk ke Kuala Lumpur untuk menjalankan kerja-kerja menceritakan kelemahan Datuk Ahmad Said dan secara tidak langsung mereka seolah-olah mahu menyatakan mereka tidak bersetuju dengan pilihan Menteri Besar yang dibuat oleh pihak Istana Terengganu!
Hari ini, ada rombakan dalam Umno Terengganu. Adakah Geng 10 dapat menerima perlantikan Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha Perhubungan?

Tiada ulasan: