Khamis, 14 Mei 2009

Zambry… pejuang besar yang bertubuh kecil


Oleh Ujang Syamsul Bahri

KETIKA orang lain dapat jawatan dalam kesenangan, Dr. Zambry Abdul Kadir, anak nelayan Pulau Pangkor ini berada dalam keadaan yang jauh berbeza. Ketika orang lain menghadri majlis angkat sumpah dengan penuh ketenangan, Dr. Zambry tidak begitu, kerana ada yang berbaring di atas jalan raya, kerana mahu menghalangnya.
Apakah Dr. Zambry memilih untuk mencari susah? Atau, beliau sebenarnya pejuang dalam menegakkan kebenaran ketika masyarakat diasak dengan cerita-cerita dongeng, kononnya hari ini, pihak minoriti yang lebih berkuasa dari pihak yang mendapat majoriti.
Sebenarnya, Dr. Zambry bukan sahaja berhadapan dengan Pas, PKR dan DAP di Perak tetapi terpaksa berdepan dengan keputusan-keputusan mahkamah yang tidak boleh diramal, dalam keadaan politik negara yang agak gawat.
Di wajah Dr. Zambry, nampak beliau begitu tabah. Tubuh badannya yang kecil, mengingatkan kita kepada beberapa bekas pemimpin dunia dan pemimpin negara yang bersaiz tubuh sepertinya. Namun, airmukanya menunjukkan keikhlasan dan semangat juang yang cukup tinggi.
Ketika pesaing dan musuh politiknya sibuk memutarbelitkan faktar bahawa antara 28 dengan 28+3, adalah dua perbezaan ketara, iaitu satu di pihak minoriti dan satu lagi di pihak majoriti,namun mereka yang selama ini tidak yakin dengan ketelusan mahkamah, sudah mula mencanangkan bahawa mahkamah yang memberi mereka jawatan Menteri Besar.
Sistem politik di Malaysia, yang diamalkan sejak sekian lama, sejak Mohd Nizar Jamaluddin belum bertanding dalam pilihan raya lagi, perlantikan Menteri Besar dibuat oleh Sultan di negeri-negeri atas cadangan ketua parti. Namun, dalam kes Mohd Nizar, nampaknya mahkamah melantik dia dan melompat-lompatlah para penyokong DAP dan Pas di sekitar mahkamah yang selama ini mereka tidak pernah hormati.
Ketika mahkamah memutuskan Mohd Nizar masih Menteri Besar Perak, Mohd Nizar tentunya tahu dia bukan berada di pihak yang mempunyai majoriti tetapi disebabkan kemaruk kuasa, dia tetap mahukan jawatan yang bukan lagi menjadi hakya kerana dia mahu memecat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dari jauh, ramai yang sedang memerhatikan dengan doa semoga Dr. Zambry yang dilantik Baginda Sultan Perak menjadi Menteri Besar akan terus tabah dan diberikan kekuatan oleh Allah swt untuk menghadapi semua ini. Tidak ada apa dengan ragam dan karenah pemimpin-pemimpin Pas itu. Mereka memang sukakan suasana tegang kerana Pas akan hidup jika situasi politik tidak aman.
Ada orang yang merasakan diri mereka pandai mencadangkan supaya diserahkan semula kepada rakyat membuat keputusan, iaitu membubarkan DUN. Orang-orang yang mencadangkan ini, termasuk Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Osman, dibuat berdasarkan pemikiran masing-masing sedangkan mereka tidak pernah berfikir macamana orang-orang Umno dan BN berfikir, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain.
Apa akan jadi kalau DUN dibubarkan dan keputusan masih 50-50? Atau mengekalkan status quo? Tidak terfikirkah mereka yang mencadangkan pembubaran DUN ini, termasuk Mohd Nizar dan Husam Musa, bahawa keadaan akan terus kecoh selagi mereka yang tidak tahu membezakan yang 28 dengan 28+3 yang mana yang lebih majoriti.
Percayalah, kalau DUN dibubarkan dan keputusan nanti menyebelahi mereka, mereka akan mengatakan bahawa rakyat menyokong mereka dan menolak BN tetapi kalau BN menang, mereka akan mengatakan inilah satu pilihan raya yang paling kotor, SPR menyebelahi BN dan kebanjiran pengundi hantu menyebabkan mereka kalah. Hanya hantu sahaja yang kenal pengundi hantu.
Rakyat yang bodoh akan terus mempercayai cerita mereka tetapi rakyat yang cerdik akan tetap menolak mereka. Mereka ditolak kerana rakyat yang cerdik tidak ada masa untuk berbaring atas jalan raya, rakyat yang cerdik sedar bahawa 28+3 adalah majoriti manakala yang 28 adalah minoriti.
Menjadi tugas Dr. Zambry untuk menjadikan rakyat Perak kembali tenang dan mengajak mereka belajar matematik dengan tujuan menjawab pertanyaan PAS, DAP dan PKR yang mana berada di pihak majority, antara 28 kerusi dengan 28+3.
Ini bukan tugas mudah kerana ramai yang sudah yakin bahawa 28 adalah majoriti manakala 28+3 adalah minoriti. ApakahDr. Zambry akan berseorangan berjuang untuk menegakkan kebenaran ini? Dr. Zambry bukan sahaja perlu berjumpa dengan rakyat malahan terpaksa berdepan dengan hakim di mahkamah kerana Mohd Nizar yang masih percaya 28 merupakan majoriti masih tetap mahu membawa kes ke mahkamah.
Mahkamah yang selama ini dikatakan mereka di sebelah sana sebagai tidak telus dan berat sebelah, akan mereka gunakan jika mereka merasakan hakim pun masih mahu percaya yang 28 adalah majoriti manakala 28+3 adalah minoriti. Teruskan Dr. Zambry. Rakyat cerdik menyokongmu dan Allah akan bersama orang yang jujur dan ikhlas mempertahanakan kebenaran dan keikhlasan.

Tiada ulasan: