Khamis, 14 Mei 2009

Hina orang, ancam orang, kerja siapa?


Oleh Abdul Wahab Idrus
APABILA ADUN Jelapang yang juga Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong mendakwa dia dihina kerana kecacatannya dan diancam apabila ada orang mahu memukulnya, mungkin tiada siapa yang terkejut lagi.
Ini kerana budaya keganasan, berbaring atas jalan raya, tunjuk perasaan, menjerit-jerit, ganas dan suka berhimpun di atas jalan bagi menunjukkan kekuatan memang kegemaran ‘orang di sana’ bagi menunjukkan kepada dunia Malaysia sudah tidak lagi aman.
Mereka bukan sahaja sanggup menghina kecacatan orang, malahan, penulis-penulis blog mereka turut menggunakan pelbagai gelaran kepada warna kulit termasuk menyamakan Menteri Besar Perak yang mempunyai sokongan majoriti di DUN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sama dengan kulit Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela dan diletakkan ‘AK’ di hujung nama Dr. Zambry.
Kenapa mereka suka menghina orang? Kenapa mereka suka mengancam orang? Siapa tok guru mereka? Tentulah tok guru mereka orang yang dibenarkan dan membenarkan membaca ayat al-Quran, dengan alasan, orang itu ingin mendekati Islam.
Ketika mereka mahukan kuasa, orang yang tidak berkaki mereka perlukan selain mereka yang berkaki. Tetapi, disebabkan mereka terus menghina orang, akhirnya orang yang mereka hina itulah yang membuktikan tanpa dia, kamu yang berkuasa boleh hilang kuasa.
Yit Foong yang kecewa dengan ancaman dan penghinaan itu turut mendedahkan seorang ADUN turut melemparkan buku Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ke arahnya sebagai tanda amaran selain mereka mengeluarkan kata-kata seperti ‘OKU’ dan ‘awak tak ada kaki’.
Mereka ini memang suka menghina orang. Mereka ini memang menghina sesiapa sahaja yang mereka anggap tidak meyokong mereka termasuk sistem kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan polis. Tetapi apabila mereka lihat, kemenangan berada di pihak mereka, mereka akan kata betul tetapi kalau keputusan itu sebaliknya, mereka akan menghasut rakyat dengan kata-kata sistem kehakiman sudah dipengaruhi, pendakwaan terpilih dan polis pula sebagai anjing kerajaan.
Orang-orang ini juga sanggup memfitnah. Orang-orang ini juga sebenarnya cukup pandai mereka-reka cerita. Orang-orang ini juga berlagak lebih tahu dari pegawai penyiasat. Tidak hairanlah kalau mereka tidak habis-habis mahu mengaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaaribu, tetapi apabila Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada tok guru memperlekehkan upacara sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan itu.
Bukan itu sahaja, mereka ini terus menerus membawa cerita baru, kononnya yang salah hanyalah mereka dari kalangan pemimpin BN dan mana-mana yang dikaitkan dengan pelbagai kesalahan moral tetapi mereka berada di dalam Pas, DAP atau PKR, ia bukan kesalahan sebaliknya harus dijulang sebagai ‘hero’.
Yit Foong yang mereka hina kerana tidak mempunyai kaki dan OKU adalah pejuang. Dialah hero sebenarnya. Bukan dia seorang sahaja yang pernah meninggalkan DAP. Ramai lagi pemimpin dan wakil rakyat DAP yang pernah meninggalkan DAP. Kerana apa mereka meninggalkan DAP, tentulah mereka mempunyai alas an tersendiri.
Ingat nama Hu Sepang? Ingat nama Wee Choo Keong? Ingat nama Abdul Muluk Daud? Ingat nama Ramli Mohd Yunus? Ingat nama-nama lain seperti Tan Sri Lee Lam Thye dan Rchard Ho? Kalau ingat, baguslah kerana sejarah mereka dengan DAP lebih awal dari mereka yang bernama Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.
Yit Foong tidak melakukan apa-apa kesalahan apabila bertindak meninggalkan DAP kerana Yit Foong bukan budak-budak mentah yang tidak tahu sebab dan alasan mengapa dia sanggup bertindak sedemikian.
Ada orang menghina mereka yang meninggalkan parti asal mereka dengan penghinaan seolah-olah orang bertukar agama. Parti politik bukan agama. Kalau mereka nampak ada yang tidak betul dalam parti mereka, mengapa harus mereka kekal dengan perjuangan tersebut?
Keputusan Yit Foong sebenarnya adalah keputusan seorang pahlawan yan jarang-jarang mampu dilakuka lagi orang zaman cyber ini. Hari ini, semangat perjuangan yang ada dalam diri Yit Foong sebenarnya sudah pupus dalam jiwa anak Malaysia. Yang ada, hanya semangat mnghina dan mengancam orang lain, orang yang tidak berkeupayaan melawannya.
Sejarah akan membuktikan, apakah pengorbanan Yit Foong ini berguna dan berfaedah kepada negeri dan negara atau tidak. Penghinaan dan ancaman kepada dirinya bukan sesuatu yang boleh menyekat apa-apa kecuali sekadar menunjukkan betapa terdesaknya mereka – termasuk yang melemparkan buku Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak ke arah Yit Foong.

Tiada ulasan: