Isnin, 25 Mei 2009

Yang mati demokrasi dalam Pas, bukan demokrasi di Malaysia


Oleh Abdul Wahab Idrus
citra_bangsa@yahoo.com


NAIB Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sedang tercungap-cungap mencari talian hayat untuk terus hidup dalam Pas, menyifatkan keputuan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar (MB) Perak, sebagai satu tanda matinya demokrasi di Malaysia.
Dalam kenyataannya yang dikeluarkan dalam harakahdaily.net, Mohamad Sabu yang kepingin menjadi Timbalan Presiden Pas menyifatkan keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan sebagai mengikut skrip yang disediakan.
Amatlah malang, kalau perwakilan Pas memilih Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas, jika inilah pendirian dia terhadap apa yang berlaku di Perak. Mohamad Sabu sepatutnya tahu yang 31 itu adalah lebih besar dari 28 jika Mohamad Sabu pernah masuk tadika ketika berusia 6 tahun. Tak tahulah kalau dia masuk Pasti, mungkin dia tak belajar kira-kira atau matematik.
Baguslah kalau harakahdaily.net menyiarkan berita-berita seumpama ini kerana pembaca yang selama ini menjadikan harakahdaily.net sebagai sumber mendapat berita dari saluran kedua selepas media massa arus perdana akan dapat berfikir kembali kewajaran mereka menjadikan media Pas ini sebagai bahan rujukan.
Dalam perkembangan yang sama, rakyat Perak jangan terpengaruh dengan hasutan dari mereka yang inginkan populariti seperti Mohamad Sabu. Dalam Pas sendiri, Mohamad Sabu yang dijadikan seperti umang-umang, sentiasa berpindah randah bertanding dalam pilihan raya, semakin disisihkan.
Itulah sebabnya, nama Mohamad Sabu yang dikatakan bakal dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, digugurkan disaat-saat akhir kerana Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang tidak berminat untuk mendengar cadangan Mursyidur Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya Mohamad Sabu dicalonkan. Sebaliknya Pas menamakan Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon Pas.
Itulah sebabnya, ketika Mohamad Sabu mengatakan demokrasi sudah mati di Malaysia, hakikat sebenarnya, demokrasi sudah mati dalam Pas.
Kenyataan Mohamad Sabu itu bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang melahirkan rasa kesalnya dengan sikap parti pembangkang yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah.
Perdana Menteri berkata, adalah tidak adil untuk menuduh badan kehakiman negara mengikut telunjuk kerajaan hanya kerana penghakiman yang dbuat itu memihak kepada kerajaan.
“Tetapi apabila sesuatu keputusan itu memihak kepada pihak berkenaan, maka mereka katakan sistem kehakiman kita bebas, sikap seperti ini tidak boleh diamalkan.
“ Mahkamah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak. Malah, keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak juga selaras pandangan pakar perundangan antarabangsa , Queen’s Counsel (Peguam Diraja) Lord Anthony Lester.
“Kita dapatkan pandangan perundangan berhubung perkara itu, baru-baru ini.
“Jika Queen’s Counsel boleh keluarkan pendapat bahawa kita berada di landasan yang betul seperti keputusan Mahkamah Rayuan, oleh itu jangan disalahertikan atau diberi pandangan negatif kepada badan kehakiman negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di IOI Mall, Petaling Jaya, Ahad 24 Mei 2009.
Hari ini hidup dan mati politik Mohamad Sabu dilihat jika dia menang atau kalah dalam pemilihan nanti. Jika dia kalah, khabarnya Pas akan melantiknya menjadi Ketua Penerangan kerana kehadiran Mohamad Sabu mampu untuk menarik pendengar ceramah yang ramai dan banyaklah kutipan wang dapat dikumpulkan.
Jika tidak, Pas akan mengalami kekurangan sumbangan jika Mohamad Sabu tidak terus memberi ceramah. Pas di kawasan-kawasan dan ranting biasanya hidup dengan kutipan karung berjalan, atas nama sumbangan untuk membangunkan Islam tetapi wang itu sebahagiannya dibayar kepada penceramah.
Jika ramai orang datang dan memberikan sumbangan, maka banyaklah wang yang dapat dibayar kepada penceramah. Jika sedikit orang yang datang mendengar ceramah, kuranglah kutipan dan kecillah bayaran kepada penceramah.
Pas memang memerlukan penceramah yang mampu menarik pendengar. Kalau boleh mereka mahu mencari penceramah yang lebih polupar dari penyanyi Mawi. Aura Mawi khabarnya ada pada Mohamad Sabu, walaupun isi ceramahnya entah apa-apa tetapi kehebatannya memaki hamun Umno dan kepimpinan negara, maka dia menjadi cukup popular.
Mudah-mudahan, rakyat Perak tidak akan terpedaya dengan ceramah berbaur hasutan seperti ini kerana faktanya, 31 kerusi DUN adalah lebih besar (majoriti) daripada 28 kerusi DUN (minoriti).

Tiada ulasan: