Oleh Zainal Yusof
KENYATAAN Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya dan Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang mengatakan haram bagi orang Islam menyertai atau menyokong mogok lapar, terfikir saya apa pula hukum mereka berabung dengan memakai baju hitam seperti berkabungnya orang Cina bila ada kematian keluarga mereka.
Membaca tulisan Zamzuri Damanhuri bertajuk Mogok lapar : Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya dalam http://citra-bangsa.blogspot.com yang dipetik dari http://www.parpukari.com antara lain, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming mengajak seberapa ramai rakyat Negeri Perak supaya datang ke majlis perasmian Mogok Lapar di Wisma DAP itu, dengan memakai pakaian serba hitam.
Jangan pula ada yang datang dengan baju berbelang-belang macam kuda belang, takut kena usir dengan petugas-petugas DAP pula nanti.
Malahan, Nga Kor Ming juga terus menerus bercakap soal apa yang berlaku di Perak sebagai rampasan kuasa. Dia faham bahawa ada dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP meninggalkan parti masing-masing dan menyokong BN.
Ini bukan rampasan kuasa.
Mustahil rakyat Perak tidak tahu yang mana rampasan kuasa dan yang mana bukan rampasan kuasa. Kalau penyokong DAP, PKR dan Pas tidak tahu, mungkin kita semua boleh maafkan mereka, kerana mereka kalau boleh mahu membutakan mata mereka untuk melihat kebenaran, memekakkan telinga mereka untuk mendengar kebenaran dan mereka akan menolak segala-galanya, kecuali dari Tok Guru mereka, Nga Kor Ming.
Menurut laporan berita Sinar Harian (Ahad, 24 Mei 2009), pelbagai aktiviti mahu diadakan antaranya mengutip tanda tangan dan menyalakan lilin, ketika bekalan elektrik ada, sebagai usaha mahu menuntut pembubaran DUN.
Mereka tidak sabar-sabar untuk melihat DUN dibubarkan sedangkan mereka tahu, tempoh matang DUN adalah lima tahun dan terpulanglah kepada pihak yang memerintah, bila agaknya mahu DUN dibubarkan.
Kalaulah rakyat Perak masih tidak faham permainan politik DAP, selama itulah sentimen rakyat ini akan dimainkan. Mereka menamakan pakatan tidak terikat mereka sebagai Pakatan Rakyat sedangkan pakatan mereka itu adalah pakatan pembangkang yang tidak layak menerima atau menggunakan nama Pakatan Rakyat. Tidak ada rakyat yang mahu berpakat untuk memusnahkan keharmonian, menyalakan lilin dan menentang polis yang mahu mengekalkan keamanan.
Kalaulah pihak polis tidak bertegas dan tidak menguatkuasakan undang-undang, sudah lama DAP bermaharajalela di Perak.
Kalaulah Polis tidak serius berdepan dengan pelbagai rancangan tunjuk perasaan yang dianjurkan PAS, DAP dan PKR ini, sudah lama penyokong-penyokong Pas tidur dan berbaring atas jalan raya, seperti yang pernah mereka lakukan, selepas Sholat Jumaat di Bukit Chandan dahulu.
Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Kam tidak perlu berbaring atas jalan raya. Mereka arahkan sahaja, penyokong Pas dan PKR akan berlumba-lumba menawarkan diri berbaring atas jalan raya kerana mereka ingat arahan Nga dan Ngeh itu sebagai ‘seruan mati syahid’ jika berlaku kematian.
Ingat! Tiada dalam ajaran Islam istilah mogok lapar ini. Tiada sesiapa pun Tok Guru yang boleh mengatakan Islam membenarkan umatnya ‘mogok lapar’. Ingat! Janganlah kerana keghairahan berpolitik kita umat Islam menjadi mangsa kepada ‘fatwa-fatwa songsang’ yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Islam ada mengajar kita berpuasa. Kembali kepada Allah dan ajarannya jika menghadapi masalah dan kebuntuan.
Tidak perlu hadir untuk bersama-sama memakai baju hitam, berkabung atas kematian sanak saudara kerana dalam episode politik di Perak, tiada siapa yang mati kecuali ada seorang dua yang hilang kerusi Menteri Besar dan Exco yang selama ini mereka nikmati.
Memetik kata-kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, “saya tidak meminta untuk menjadi Menteri Besar. Berilah saya peluang.”
Ketika Datuk Seri Dr. Zambry mahu bertugas dan menggerakkan jentera untuk membantu rakyat, ada-ada sahaja gangguan dan halangan yang dicipta oleh mereka yang memang hidup kerana ketegangan dan kekecohan.
Kepada seluruh rakyat Perak, mari kita katakan kepada DAP, PKR dan Pas “si Luncai terjun dengan labu-labunya… biarkan, biarkan, biarkan”.
Kita sama-sama mengharapkan Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya dan Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsudin turut memberitahu apakah hukumnya memakai baju serba hitam atas niat mahu mengambarkan kononnya kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi mereka. Kononnya, demokrasi sudah mati yang menyebabkan mereka mesti berkabung sebagai tanda kesedihan di atas kematian.
Umat Islam, khususnya yang menyokong Pas, kini sudah semakin ‘bole semua hal’ asalkan ia dilihat menguntungkan Pas. Begitu juga dengan penyokong PKR, yang mereka anggap mengarak lilin, memakain pakaian serba hitam itu perkara yang dibenarkan Islam, asalkan ulama Pas kata, ok.
Nanti, selepas mengatakan Allah pun mencarut, berbogel dan serumah sebelum berkahwin pun mendapat sokongan dari Pas dan PKR, janganlah hendaknya selepas ini mogok lapar dan berarak lilin dibolehkan oleh Tok Guru Pas, asalkan DAP sanggup menyokong mereka menjadi Menteri Besar Perak.
Ya Allah! Selamatkanlah bangsa ku yang semakin sesat sekarang ini dengan ajaran-ajaran Tok Guru yang sempit otaknya kerana lilitan serban.
Isnin, 25 Mei 2009
Haram Mogok Lapar, Berkabung Pakai Baju Hitam Macam Mana?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan